Monday, April 23, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 24


Tidak! Jika itu yang aku katakan, ayah dan ibu akan meninggal dunia. Aku tidak sanggup. Jadi, apa yang perlu aku lakukan? Ya, sengaja aku menggaru telinga kiri.

“Ke sini, wahai kera,” panggil Sita.

Matanya asyik tertumpu pada subang di telinga kiriku. Dia akan tahu siapa aku. Akulah Hanuman, anak Rama. Akulah anak yang menagih kasih sayang orang tuanya.

“Di mana kau curi subang ini?” Sita terus merenung telingaku. Kemudian wajahku.

Ya, ibu. Akulah anakmu! Peluklah aku, ibu. Aku menagih kasihmu.

Ibu berlalu ke jendela. Sugul. Air matakah itu?

“Mengapa? Adakah ia membawa apa-apa erti?”

“Tidak. Tidak.”

Ibu mengesat air mata. Dia memandang keluar jendela melewati tendas. Di luar sana, para pengawal sedang taat menjaga pintu masuk ke istana Ravana.

“Ibu menangis?”

Hah? Apa yang telah aku sebutkan?

“Tidak! Dan jangan kau panggil aku ibu. Aku bukan ibu kau. Kalau Rama sanggup mengambil seekor kera menjadi anak angkat, tidak bermakna aku juga akan turut sama menjadi bodoh untuk menganggap kau anakku.”

Ibu!

Itulah Sita, ibu kandungku. Itulah Sita yang tidak membenarkan mana-mana lelaki lain – termasuk anak kandung – menyentuhnya.

Dan inilah aku, anak yang menagih kasih. Salah akukah dilahirkan sebagai seekor kera? Hinakah aku sehingga ayah dan ibu tidak sanggup menerima aku dalam hidup mereka?

Lebih baik aku mati, fikirku sambil berdiri sedih di hadapan ibu. Lebih baik aku menyerah diri kepada Ravana. Biar dibalutnya ekor aku dengan kain. Biar disimbahnya minyak tanah ke atas tubuhku. Biar dibakarnya aku hidup-hidup. Mustahil akan lebih menyeksakan daripada seksaan yang sedang aku tempuhi sekarang.

Bodoh! Kalau aku mati, siapa yang akan membantu mempertemukan ayah dan ibu? Siapa yang akan membantu ayah membunuh Ravana? Letchumanen? Dewata Mulia Raya sudah pun mentakdirkan bahawa hanya aku dan ayah dapat bekerjasama membunuh Ravana.

Mungkin selepas itu sahajalah ayah akan mengakui aku anaknya. Sekarang biarlah dia berusaha mendapatkan isterinya. Sehingga itu, aku hanyaah pengikut setia Rama. Paling lebih, anak angkat. Tidak boleh lebih daripada itu. Aku mesti tekadkan hati.

Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya aku tetap boleh memanggilnya sebagai ayah di dalam hati. Kami tetap boleh bersama. Demikian aku berfikir lagi sambil memandang keluar ke arah raksasa yang sedang mengawal pintu kota ke istana Ravana.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/04/22/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-24/

No comments: