Monday, April 02, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 16


Aku pula pada waktu itu sedang bersama-sama Ibu Anjathi Devi di dasar laut. Aku sudah pun tahu siapa ibu bapaku. Brahma yang muncul dalam mimpiku menceritakan semuanya.

Ibu Anjathi pula memintaku agar bersabar sehingga tiba masa yang sesuai untuk aku pergi menemui Rama dan Sita.

Sewaktu Rama rebah di hadapan pondoknya, aku dapat merasakan kejadian itu. Aku lantas memberitahu Ibu Anjathi. Dia mengangguk buat seketika.

“Masanya mungkin sudah tiba, anakku. Inilah peluang pertama untuk kau menemui ayah kau. Menjelmalah dalam mimpinya. Katakan padanya bahawa kehilangan Sita adalah sebagai membalas perbuatan mereka membuang anak mereka pada suatu masa dahulu.”
Aku mendengar cadangan Ibu Anjathi dengan teliti.

“Tapi, anakku, jangan dedahkan kepadanya rahsia tentang siapa diri kau. Cuma, pujuklah dia supaya menerima kembali anaknya.”

Lalu aku pun segera menemui Rama dalam mimpinya. Aku jelmakan diriku sebagai seorang maharishyi. Aku mahu sujud di kaki Rama. Akan tetapi, mustahil seorang maharishyi menyembah kaki seorang putera raja.
Aku tenung wajah Rama. Benarlah seperti yang Ibu Anjathi ceritakan. Rama gagah.

“Siapakah engkau, maharishyi?”

“Bukan itu soalnya sekarang, wahai anak Dasaratha. Kau tahu di mana isteri kau sekarang?”

“Baru sahaja dilarikan Ravana yang kejam.”

“Kejam?”

“Ya! Bukankah kejam dan hina melarikan isteri orang dengan tipu muslihat?”

“Sekejam membuang anak ke laut?”

“Maksud kau?”

“Semua ini adalah dugaan Dewata Mulia Raya kerana dosa engkau membuang anak yang masih memerlukan kasih sayang ibu bapanya.”

Rama tergamam. Aku dapat menangkap apa yang termateri dalam fikirannya. Bukankah dia mahu melupakan episod hitam itu? Mengapa perlu diungkitkan.

“Bukankah dia bakal membawa malu padaku? Maka wajarlah dia aku buang.”

“Kini hanya dia yang akan dapat membantu kau menyelamatkan isteri kau daripada cengkaman Ravana.”

“Persetankan anak itu. Kau kenal siapa aku? Aku Rama, wira yang tiada tandingannya di mayapada!”

“Tidak malukah kau menjadi seorang wira yang berlaku kejam ke atas anaknya sendiri?”

“Dia bukan anak aku!”

Itulah Rama. Rama yang agung. Siapa yang tahu akan kisah hitamnya selain Letchumanen, Sita, Ibu Anjathi, Brahma dan Rama sendiri. Dan aku.

Siapa aku? Akulah Hanuman, kera putih itu. Akulah yang kemudiannya menjadi pengikut setia Rama. Akulah kera yang dianugerahi Dewata Mulia Raya kuasa membesar sebesar alam; mengecil sekecil kuman.

Akulah Hanuman yang diutuskan Brahma untuk membantu Rama membunuh Ravana. Akulah yang diutuskan oleh Ibu Anjathi untuk menyedarkan Rama tentang kesilapannya pada masa lalu.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/03/25/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-16/

No comments: