Monday, April 02, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 18


Aku tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa pertemuan dengan Surya Dewa, lapan belas tahun lalu. Aku mendongak memandang matahari.

Tentu Surya Dewa masih duduk di sana memperhatikan gelagat penghuni bumi. Tentu dia nampak aku yang sedang melutut di hadapan makam Tamnat Gangga.

Tidak ramai yang tahu bahawa aku yang pada hari ini menjadi raja di Kerajaan Indus adalah menantu Surya Dewa. Mereka masih menganggap aku brahmachari.

Malah, tidak ramai juga yang tahu siapa Tamnat Gangga. Mungkin juga kerana dia meninggal dunia pada usia yang terlalu muda.

Selepas meluangkan sedikit masa bersama-sama Surya Dewa, aku meminta diri untuk pulang.
Apabila aku kembali ke dasar laut tempat pertapaan Ibu Anjathi, aku lihat ibu angkatku itu sedang berbual-bual bersama seekor kera dewasa yang kelihatan agak tua.

“Ke mari anakku yang kini menantu Surya Dewa. Ibu mahu perkenalkan kau kepada Belia Raja, raja segala kera.”

Aku sujud memohon restu raja itu.

“Kau ikutlah dia, anakku. Ibu sudah semakin tua. Setakat ini saja yang dapat ibu bantu kau. Belia Raja akan bertanggungjawab menemukan kau dengan ibu bapa kau.”

Aku tidak sampai hati untuk berpisah dengan Ibu Anjathi yang telah banyak berkorban untukku. Namun, apalah dayaku. Aku sedar akan tujuan sebenar kelahiranku.Aku harus bersama-sama Rama; membantunya membunuh Ravana.

Maka, aku pun mengikut Belia Raja pulang ke istana kaum kera yang menggelarkan diri mereka kaum Vanara.Anehnya, sepanjang perjalanan itu, aku semacam dapat merasakan bahawa hari-hari untuk aku bertemu dengan ayah sudah semakin hampir. Aku dapat merasakan bahawa ayah akan datang menemuiku dalam masa beberapa hari lagi!

Setibanya kami di istana kerajaan kera di Kishikindha, Belia Raja terkejut melihat Surgiwa yang sudah menabalkan dirinya menjadi raja.Setelah bertikam lidah seketika, Belia Raja mengusir Surgiwa dari istana. Aku pada waktu itu tidak berapa memahami butir pertelingkahan mereka.

“Kasihan Surgiwa. Mengapa ayahanda mengusirnya?”

“Hanuman, aku melakukan tindakan nekad itu demi kebaikan kau.”

“Saya kurang faham. …”

“Bukankah kau sendiri mengatakan bahawa kau dapat merasakan kehadiran Ramachandra tidak jauh dari sini?”

“Benar, ayahanda. Saya dapat merasakannya.”

“Ayahanda pasti bahawa Surgiwa akan meminta bantuan Ramachandra dan Letchumanen. Apabila Ramachandra datang ke mari, ayahanda akan cuba menyerahkan kau kepadanya.”

“Benarkah?” Aku benar-benar riang.

“Ya, ayahanda sanggup bergadai nyawa untuk menemukan semula kau dengan Ramachandra,” kata Belia Raja.

Aku duduk termenung di sisi Belia Raja. Ayah akan datang. Ayah akan menerima aku. Ayah akan membawa aku pergi bersama-samanya.

Ayah! Aku merindui belaian kasihmu.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/04/01/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-18/

No comments: