Monday, April 02, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 17


Pertemuan pertama aku dengan ayahku tidak membuahkan apa-apa hasil. Cuma aku sedar betapa ayah masih terlalu membenci akan aku. Dia berasa malu untuk mengakui aku anaknya.

Lalu aku terus tinggal bersama-sama Ibu Anjathi Devi sementara menantikan peluang yang lebih baik untuk menyedarkan ayah tentang dosa yang dilakukannya.

Pada suatu hari, dari dasar Laut Malgudi, aku nampak sesuatu yang berkilauan nun di atas sana.

“Itu Surya Dewa,” Ibu Anjathi menjelaskan.

“Saya mahu mendapatkannya.”

“Mustahil, anakku. Surya Dewa sukar didekati. Dia amat berkuasa dan pemarah pula.”

Aku mendongak. Seri Surya Dewa menembusi permukaan laut dan datang menyinari dasar laut, tempat pertapaan Ibu Anjathi. Persekitaran mula berwarna emas.

“Saya mahu pergi menemuinya.”

Ibu Anjathi memandangku. Rambutnya yang putih dan panjang terurai itu berwarna emas disimbah cahaya Surya Dewa. Rambut itu berombak-ombak diusik alunan arus laut.

“Kalau kau pergi, nanti dikahwinkannya pula kau dengan anak gadisnya.”

Aku tahu benar bahawa Ibu Anjathi hanya berseloroh. Aku terus merayu kepada Ibu Anjathi. Akhirnya dia pun membenarkan aku pergi melawat Surya Dewa.

Makin aku terbang menghampirinya, makin terasa bahang yang membakar. Aku nampak wajah Surya Dewa. Dia ketawa melihatku.

Tiba-tiba terasa silau dan bahang yang amat sangat. Aku terlontar jatuh ke bumi.

Namun begitu, aku masih tidak mahu mengaku kalah. Pantang aku menyerah begitu sahaja. Aku melompat lagi ke langit. Aku terbang semula ke arah Surya Dewa. Makin lama, makin dekat.

Makin silau, makin hangat. Terasa bulu di seluruh tubuhku bagai terbakar hangus. Aku kuatkan tekad. Aku mesti bertemu dengan Surya Dewa.

Tiba-tiba badanku terasa dingin. Aku mendongak. Surya Dewa tersenyum padaku. Berseri wajahnya.
“Selamat datang, anak Rama.”

“Anak Rama? Bagaimana kau tahu siapa aku? Bukankah Ibu Anjathi tidak menceritakannya kepada sesiapa?”

Surya Dewa ketawa. Anehnya, aku tidak terasa bahangnya. Hanya tiupan angin yang segar nyaman.
“Bukahkah aku sabah hari duduk di sini menonton gelagat hidupan pada muka bumi? Aku tahu kisah kau.”
Aku memandang ke arah bumi. Wah, indahnya! Aku cuba melambai. Mana tahu kalau-kalau Ibu Anjathi nampak.

“Sebagai menghargai keberanian kau, aku kahwinkan kau dengan anak aku.”

“Hah? Bukankah Ibu Anjathi berseloroh sahaja?”

“Tidak, anakku. Kaulah menantu aku kini. Anak aku, Suvarchala Devi, kini di kayangan. Dia akan aku hantarkan kepada kau apabila tiba masa yang sesuai nanti.”

Aku bingung, tentunya. Aku menjadi menantu Surya Dewa? Pada usia dua belas tahun!


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/03/31/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-17/

No comments: