“Tapi kekanda, hanya dia yang dapat membantu kita sekarang. Siapa lagi yang boleh terbang ke istana Ravana di Langkapuri?”
“Jadi? Tidak perlu aku akui dia anak kandungku.”
Itulah Rama yang agung.
Aku biarkan sahaja air mata gugur satu per satu menimpa makam Tamnat Gangga. Angin laut menaburkan kuntum-kuntum bunga cempaka menimpa mahkotaku.
Apalah gunanya mahkota yang menjadi lambang pemerintahan! Apakah gunanya istana tujuh lapis bertingkat tujuh belas yang menjadi tempat bersemayam jika ayah tidak pernah mengakui aku sebagai anak kandungnya?
Wasiatnya masih implisit. Masih mengandungi ketaksaan. Aku mahukan pengakuan yang eksplisit.
Pengakuan yang dapat membuktikan kepada dunia, siapa aku sebenarnya.
Tidak mengapa. Ayah sekurang-kurangnya telah bermurah hati mengambil aku menjadi anak angkatnya. Tapi setakat itu sahajakah kelayakanku?
“Aku anggap kau sebagai anak angkatku,” kata ayah setelah kami selesai makan nasi atas daun pisang yang sama. “Bawalah cincin ini kepada Sita. Kalau dia masih ada, katakan kepadanya bahawa aku akan datang menyelamatkannya.”
Tidak mengapa. Ini sudah cukup bagiku buat masa ini. Tentu ayah akan mengakui aku anaknya suatu hari nanti. Begitulah fikirku sewaktu dalam perjalanan ke Langkapuri.
Sementara aku terbang ke Langkapuri, Rama dan orang-orangnya – termasuk Surgiwa dan kaum Vanara – mula berjalan ke arah Pantai Malabar. Rama memintaku agar menemuinya di sana apabila pulang dari Langkapuri nanti.
“Bagaimana?” Demikian tanya Ibu Anjathi semasa aku singgah di tempat pertapaannya di Laut Malgudi sebelum ke Langkapuri.
Aku menceritakan kepadanya tentang kematian Belia Raja. Aku nyatakan juga bagaimana ayah berpura-pura tidak mengenaliku.
“Kau teruskanlah perjalanan, anakku. Ibu doakan semoga apabila kau menemui Sita di Langkapuri nanti, dia akan mengakui kau anaknya. Tapi kau harus sentiasa berjaga-jaga. Jangan kau bocorkan rahsia itu walau kepada ayah dan ibu kau sendiri. Kau mesti sabar menanti sehingga mereka membuat pengakuan terbuka bahawa kau adalah anak mereka.”
Adilkah semua ini? Ayah berhak untuk memerangi Ravana bagi mendapatkan kembali isterinya. Ayah berhak mendapat kasih sayang isterinya.
Mengapa pula aku tidak berhak mendapat kasih sayang ayah dan ibu? Berdosakah aku dilahirkan serupa kera? Bukan aku yang minta dijadikan begini. Semua ini kuasa Tuhan, kuasa Dewata Mulia Raya.
Lalu, mengapa ayah harus berasa malu untuk mengakui aku anaknya? Tidakkah ayah sedar bahawa aku menagih kasih sayangnya?
Tidakkah ayah tahu bahawa aku telah menanti dan mengharap sekian lama untuk mendapat kasih sayangnya? Tidakkah ayah mengerti bahawa aku juga ada perasaan?
Bahawa aku juga seperti anak-anak lain yang memerlukan belaian kasih ayah dan ibu!
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/04/15/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-22/
No comments:
Post a Comment