“Malah, Belia Raja kini menjaga seekor anak kera yang terlalu luar biasa. Anak kera itu boleh menjelma dalam pelbagai rupa. Dia boleh diutus terbang ke istana Ravana untuk meninjau keadaan isteri kau.”
Setelah dipujuk dan disogokkan dengan pelbagai pulangan yang lumayan, Rama bersetuju untuk membantu Surgiwa merampas takhta Belia Raja.
Lalu berangkatlah Rama, Letchumanen dan Surgiwa ke istana raja kera.
“Selamat datang, wahai anak-anak Dasaratha. Memang telah beta jangka Surgiwa akan meminta bantuan kalian.”
“Wahai kera tua, elok kau kembalikan takhta itu kepada Surgiwa!”
“Kembalikan?” Belia Raja yang sudah agak bongkok itu mula berang. “Mahkota ini milik beta. Lapan purnama lalu, beta pergi bertapa di Laut Malgudi. Beta amanahkan kepada adinda beta supaya mentadbir kerajaan kera ini bagi pihak beta sehingga beta kembali. Tapi dia pula mengangkat dirinya menjadi pengganti beta.”
“Tapi aku sangka kekanda sudah lemas di Laut Malgudi,” sampuk Surgiwa.
“Lemas! Lemas kata kau?” Belia Raja melangkah menuruni tangga. “Bukankah beta akan mati hanya apabila telinga kiri beta dikerat oleh tangan manusia biasa?”
“Tapi kekanda pergi terlalu lama. …”
“Lama?” Belia Raja merenung Surgiwa. “Bukankah beta kembali tepat pada masanya? Beta bertapa tujuh purnama di dasar laut. Kemudian beta menemui Anjathi Devi. Dia menyerahkan Hanuman kepada beta.”
“Anjathi Devi?” Mata Rama terbeliak.
“Ya, dia serahkan Hanuman kepada beta.”
“Hanuman?”
“Ya, Hanuman. Kera putih yang dianugerahkan keupayaan membesar sebesar alam dan mengecil sekecil kuman. Kera yang sudah Surya Dewa jadikan menantunya. Kera yang masih mencari ibu bapa kandungnya.”
“Cukup!” tempik Rama. Wajahnya memerah.
“Mengapa Ramachandra? Mengapa kau perlu marah? Beta bercerita tentang sepasang suami-isteri yang bertindak kejam membuang anak yang baru lahir. …”
“Cukup!” Seraya itu, Rama mencabut pisau yang terselit di pinggang Surgiwa. Dikeratnya cuping telinga kiri Belia Raja.
Anak-anak kembar Belia Raja yang bernama Anbala dan Ankada membawa aku masuk ke balai pada ketika itu. Aku terkejut melihat keadaan Belia Raja yang berlumuran darah.
“Maafkan aku, anakku. Hanya setakat ini ayahanda dapat bersama-sama kau,” katanya.
Belia Raja mencium pipiku. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia menyerahkan aku kepada Rama.
“Hanya dia yang akan dapat membantu kau, wahai Ramachandra.”
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/04/08/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-20/
No comments:
Post a Comment