Monday, April 16, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 21


Aku pasti bahawa Rama sedar siapa aku. Akulah kera putih yang bakal membantunya membunuh Ravana.Atau lebih daripada itu, akulah anak yang dibuangnya ke laut sekitar dua belas tahun yang lalu.

Pertama kali ayah memandangku, matanya tertumpu pada subang di telinga kiriku. Itulah subang yang diberikannya kepada Ibu Anjathi dahulu.

“Ternyata dia anakku,” bisik ayah kepada adiknya. Telingaku memang mendengar.

Aku begitu pasti bahawa ayah akan memelukku erat. Aku pasti ayah akan memberitahu Surgiwa bahawa aku anaknya. Malangnya ternyata aku silap.

“Wahai kera kecil yang kotor, bolehkah kau terbang ke Langkapuri menengok kalau-kalau isteriku masih ada?”

Ayah! Suaraku tersekat di kerongkong. Aku teringat akan nasihat Ibu Anjathi.

“Kau tidak boleh memecahkan rahsia tentang siapa diri kau selagi ayah kau belum mengakui kau anaknya.”

“Kalau saya mungkir?” Pernah aku bertanya.

“Tubuh badan kau akan terus lebur. …”

“Itu sahaja? Saya tidak kisah.”

“Bukan itu sahaja. Ibu bapa kau akan serta-merta terbakar hangus. …”

“Bolehkah?” Ayah mengulangi pertanyaannya.

“Boleh,” aku menjawab dengan tenang walaupun hatiku terluka.

Mengapa ayah tidak menyatakan siapa aku sebenarnya? Mengapa ayah masih tidak berubah?

“Bagus. Kau pergi dan lihat sama ada isteriku masih ada, agar tidak sia-sia aku menyerang Ravana.”

Aduh! Untuk inikah aku merelakan kematian Belia Raja? Apa gunanya segala rancangan kami berdua jika ayah terus juga berpura-pura? Sia-sia belaka.

Namun begitu, aku tidak patut menyerah begitu sahaja.

“Saya akan pergi dengan satu syarat.”

“Syarat? Mintalah. Minta apa sahaja, akan aku penuhi jua,” ayah menjawab tanpa memandangku.

Mengapa, ayah? Begitu hinakah aku sehingga ayah sendiri terasa amat jijik untuk memandangku?

“Saya mahu makan nasi sedaun dengan Rama,” tegas aku menjawab.

“Mungkinkah dia sudah tahu siapa kita?” Demikian bisik ayah kepada Letchumanen.

“Mustahil, kekanda.”

“Lalu, mengapa dia membuat permintaan sedemikian?” bisik ayah. “Bukankah adat memakan nasi sedaun melambangkan perhubungan erat antara dua individu?”

“Biarkanlah. Dia hanya kera kecil yang baru sahaja kehilangan penjaga. Apa salahnya kalau kekanda makan sedaun dengannya?”

Ayah memandangku. Aku berpura-pura tidak mendengar apa yang mereka berdua bisikkan.
“Kekanda akan mengakui dia anak kekanda?”

“Tidak mungkin. Tidakkah malu jika seorang putera raja yang agung mengaku seekor kera sebagai anaknya?”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/04/14/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-21/

No comments: