Showing posts with label Hanuman. Show all posts
Showing posts with label Hanuman. Show all posts

Wednesday, August 22, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 55


“Ampun, tuanku.”

“Hm?”

“Siapakah yang kita nantikan, tuanku?”

“Kau akan tahu sebentar lagi, Maramanden.”

Ah, bahagianya jiwaku! Kebahagiaan yang meluap-luap minta diluahkan.

“Kau tahu siapa yang saya nantikan, Maramanden?”

“Tidak, tuanku.” Dia mengerling.

“Kau masih ingat akan pasangan musafir itu?”

“Musafir yang mana, tuanku?”

“Yang datang dalam mimpi saya malam tadi.”

“Mimpi yang mana, tuanku?” Mungkin Maramanden sudah nyanyuk kerana meningkat tua.

Pasangan musafir itu berlari masuk ke istana. Maramanden menyambut mereka. Seorang manusia sedang duduk atas singgahsana!

Ah, mimpi itu!

“Kita akan tahu sebentar lagi. …”

Mimpi itu. Aku berusaha melupakannya.

Ayah dan ibu sedang datang. Aku dapat merasakan kedatangan mereka. Semakin dekat.
Mereka akan menerima aku sebagai anak kandung mereka. Aku akan dapat mengecap kasih sayang ayah dan ibu secara mutlak.

Betapa hebat perasaan kasih ini. Betapa bahagia perasaanku. Kebahagiaan yang meluap-luap minta diluahkan dengan segera.

“Maramanden. …”

“Ya, tuanku?”

“Hanuman. Sayalah kera putih itu. Sayalah yang dianugerahkan Tuhan keupayaan membesar sebesar alam dan mengecil sekecil kuman. Sayalah yang hadir walau di mana pun nama Rama diseru. Sayalah yang dikatakan pengikut setia Rama. Itu kau pun tahu.”

Maramanden membiarkan sahaja aku meluahkan perasaan dalam hati.

“Tapi saya bukan sekadar pengikut setianya. Ada yang lebih istimewa daripada itu. Ada yang lebih berharga, lebih membahagiakan. Saya juga … anak kandungnya!”

“Benarkah, tuanku?”

Mata Maramanden terbeliak. Aku mengangguk dengan perasaan megah yang tidak terhingga.
Akan tetapi, tiba-tiba sahaja pandanganku mula menjadi kabur. Imej Maramanden menjadi pudar.

“Tuanku!”

Badanku terasa panas yang terlalu amat. Bagaikan tubuhku sedang terbakar.

“Tuanku!”

Suara itu semakin sayup. Kemudian hilang. – TAMAT


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/20/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-55/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 54


“Kanda, adinda mahu segera bertemu Hanuman. Adinda mahu meminta ampun padanya. Adinda berdosa. Adinda mahu segera menemui anak adinda. Adinda mahu mendodoikannya atas ribaan adinda.”

“Benar, adinda. Dosa kita terlalu besar untuk diampunkan. Kita sedang cuba menebus dosa kita dalam masa setahun sedangkan anak kita telah menanggung derita batin selama tiga dekad. Biarlah dia memanggil kita ‘ayah’ dan ‘ibu’ walau hanya sekali. Kekanda tidak kisah jika kita berdua terbakar hangus selepas itu.”
Rama dan Sita bergegas bangun.

“Sebentar!”

Pasangan yang sudah mula melangkah pergi itu berpaling dengan hati yang berat.

“Lihat!”

Maharishyi Kala berdiri mendepa tangan ke arah mata angin. Ular danu sedang turun dari langit petang sambil tersenyum mesra lalu melingkari puncak Gunung Maha Purita.

“Dewata Mulia Raya sudah mengutuskan berita pengampunan. Dosa kalian berdua sudah terampun.”
Rama dan Sita berpelukan sambil menangis. Maharishyi Valmiki mencatatkan setiap pergerakan.

“Pulanglah. Hanuman masih menunggu kepulangan kalian berdua. Pergilah membuat pengakuan terbuka di hadapan penduduk Kerajaan Indus bahawa Hanuman adalah anak kandung kalian berdua.”

Dosa ayah dan ibu sudah terampun!

Aku mencelikkan mata. Maramanden masih berdiri di sisi. Aku ingin menceritakan kejadian tadi kepadanya. Tapi aku kehilangan kata.

Ayah dan ibu akan kembali!

Aku bergegas bangkit. Aku berjalan ke arah pintu masuk istana. Maramanden mengikut.

“Ampun, tuanku,” katanya. “Tuanku mahu ke mana?”

Tanpa menjawab pertanyaan itu, aku terus berjalan keluar pintu utama. Aku menanti kepulangan ayah dan ibu di luar istana. Maramanden berdiri penuh bingung di sisiku.

Setelah sekian lama mengharap, akhirnya aku akan merasai kasih sayang ayah dan ibu secara mutlak.
Hanuman. Akulah kera putih itu. Akulah yang dianugerahkan Dewata Mulia Raya keupayaan membesar sebesar alam dan mengecil sekecil kuman. Akulah yang hadir di mana sahaja nama Rama diseru.

Akulah yang dikatakan pengikut setia Rama. Tapi aku bukan sekadar pengikut setianya. Aku juga … –


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/18/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-54/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 53


“Sejak lahir.”

“Sejak lahir? Bagaimana mungkin?”

“Kalian lupakah siapa dia? Dia adalah Hanuman, kera putih bermata hijau yang istimewa. Dia adalah utusan daripada Brahma. Dia boleh berada di mana sahaja ibu bapanya berada. …”

“Jadi,” mata Rama terbeliak sambil bertanya, “semasa Belia Raja menyerahkannya kepada aku, Hanuman sudah tahu aku ayahnya?”

“Ya.”

“Ketika aku memperkecil-kecilkan keupayaannya, dia sudah tahu aku ayahnya?”
Maharishyi Kaswa mengangguk sekali lagi.

“Semasa dia datang menemuiku di Langkapuri, dia memang sudah tahu bahawa aku ibu kandungnya?”
Maharishyi Kaswa mengiakan.

“Sewaktu aku menghinanya di hadapan Tilewi, dia sudah tahu aku ibunya?”

“Ya.”

“Sewaktu kematian Tamnat Gangga, dia tahu kami adalah ibu bapa kandungnya?”
Maharishyi Kaswa mengangguk dua kali.

“Tatkala kami meninggalkan istana setahun lalu untuk menebus dosa, dia tahu kami ibu bapanya?”

“Hmm.”

Diam. Daun-daun kering pohon bodhi gugur bersama-sama gugurnya air mata Rama dan Sita.

“Dia juga tahu bahawa kalian sedar dia anak kalian.”

Kata-kata Maharishyi Kala pula menyumbang lagi kepada rasa terkejut pasangan berkenaan.

“Kenapa dia tidak pernah mendedahkan hal itu?” Sita memegang erat tangan suaminya. Suaranya terketar.

“Sudah lupakah kalian? Bukankah sewaktu kalian menyerahkan Hanuman kepada Anjathi Devi dahulu, kalian sudah bersumpah bahawa jika anak kera itu bertindak mendedahkan kepada sesiapa pun yang dia anak kalian, maka tubuh badannya akan hancur lebur?”

Rama dan Sita terdiam mendengar kata-kata itu. Baru mereka teringat kembali akan peristiwa tersebut. Sesungguhnya mereka menyesali tindakan terburu-buru itu.

“Hanuman tidak kisah jika dia mati. Dia hanya mahu memanggil kalian sebagai ayah dan ibu walau hanya sekali. Akan tetapi, kalau dia berbuat demikian, Brahma telah memutuskan bahawa kalian berdua juga akan terbakar hangus.”

Mata Rama dan Sita terbeliak.

“Maka Hanuman tidak ada pilihan lain selain daripada terus memendam perasaan. Dia hanya berharap agar suatu hari nanti, kalian akan menerimanya sebagai anak kandung kalian.”

Diam. Maharishyi Kala meneliti warna angin dan getar cahaya matahari.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/11/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-53/

Monday, August 06, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 52


“Kelahiran Hanuman adalah untuk membawa sinar kebahagiaan dalam hidup kalian. Dia diutuskan untuk membantu Rama menentang kejahatan. Tapi kalian pula telah bertindak membuangnya.”

Rama dan Sita memilih untuk membisu.

“Dia sepatutnya lahir sebagai manusia biasa. Ingat lagikah kalian berdua akan pertemuan kita semasa kalian baru sampai di hutan? Bukankah saya sudah menasihati kalian supaya minum air dari telaga berair keruh?”

Maharishyi Kala turut mengangguk-angguk mendengar penceritaan Maharishyi Kaswa. Maharishyi Valmiki pula terus tekun menulis.

“Oleh kerana kalian melanggar nasihat saya, maka kalian bertukar menjadi kera. Sebab itulah anak yang lahir itu menjadi kera juga. Bukan dosa Hanuman maka dia dilahirkan sebagai seekor kera.”

Muka Rama dan Sita memerah.

“Sebenarnya, itu adalah akibat kesilapan kalian berdua,” Maharishyi Kaswa meneruskan. “Apabila kalian membuang anak itu, kalian dimurkai oleh Brahma. Itulah sebabnya kalian berdua terpaksa menderita sekian lama.”

“Oh, bodohnya kami! Kami telah bertindak melalu. Sekarang kami menyesali perbuatan itu. …”

“Lalu mengapa kau tidak menerimanya sebagai anak kau apabila Belia Raja menyerahkannya kepada kau dahulu?” tanya Maharishyi Kala.

“Aku masih terlalu angkuh pada waktu itu,” Rama membuat pengakuan. “Lagi pun, kami telah bersumpah untuk tidak mengakui Hanuman anak kami. …”

Diam.

“Kau tidak pernah menyesal selepas itu?”

“Ada. Tapi Hanuman sudah besar pada waktu itu. Aku fikir, biarlah dia terus kekal sebagai anak angkatku sahaja. Apa lagi yang diharapkannya?”

Maharishyi Kaswa ketawa kecil.

“Kasih sayang,” katanya.

“Kasih sayang? Kasih sayang siapa?”

“Ibu bapanya.”

“Siapa?”

“Tentulah kalian berdua!”

Mulut pasangan suami-isteri yang menyamar sebagai musafir itu terlopong besar. Mata masing-masing merenung wajah Maharishyi Kaswa tanpa berkelip; sedaya upaya cuba mentafsir makna kata-katanya.

“Kami? Dia tahu kami ibu bapa kandungnya?”

Maharishyi Kaswa mengangguk sekali sahaja.

“Hanuman tahu bahawa kami adalah ibu bapanya?”

Wajah Rama dan Sita bersinar. Masing-masing tidak dapat menahan perasaan gembira.

“Sejak bila?” Sita tiba-tiba musykil.



Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/05/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-52/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 51


“Sudah setahun kami berdua berusaha menebus dosa kami. Belum terampun lagikah diri kami?” Rama memandang ketiga-tiga maharishyi berpakaian serba jingga itu.

Maharishyi Kala memandang kejauhan. Seperti cuba menelaah hembusan bayu dan sinaran cahaya matahari.
“Belum.”

Sita mengeluh. Dipandangnya Rama yang masih kelihatan sasa pada usia yang kian menghampiri separuh abad. Sita sendiri masih seperti dahulu; ramping dan awet muda. Cuma sehelai dua rambutnya mula berubah warna.

“Kami tinggalkan takhta kerajaan. Kami berpuasa lima purnama. Kami juga cuba menemui Anjathi Devi untuk memohon ampun. Tapi khabarnya dia sudah meninggal dunia. Kami menyucikan diri di Sungai Gangga. Kami lakukan pooja saban hari di kuil Vishnu. Kami berzikir setiap malam.”

Rama mengeluh. Menggeleng. Memejamkan mata. Air matakah itu di kelopak matanya?

“Itu sahaja?” tanya Maharishyi Kaswa sementara Maharishyi Valmiki terus-menerus duduk membisu sambil tekun mencatatkan segala butir perbincangan.

“Ya. Itulah sahaja arahan Bibasenam.”

Maharishyi Kala dan Maharishyi Kaswa berbalas pandangan. Masing-masing kurang faham mengapa agaknya dosa Rama dan Sita belum terampun; kalau benar mereka berdua sudah melakukan segala apa yang diarahkan oleh Bibasenam. Masakan Bibasenam tersilap memberikan arahan.

“Aneh. Jika begitu, mengapa tiada lagi utusan pengampunan?” Diamatinya lagi gerak angin dan sinar mentari. Mencari kalau-kalau perutusan pengampunan sudah sampai.

“Adinda menyesal, kanda.” Seketika Sita melupakan kehadiran ketiga-tiga maharishyi itu di hadapannya.

“Masakan dosa kita terlalu besar sehingga tidak mungkin diberi pengampunan sampai bila-bila.”
Rama meredakan tangisan isterinya.

“Bertenanglah, adinda. Tuhan Maha Pengampun. Kita sudah menyesali tindakan bodoh kita. Kita insaf. Sekarang terpulanglah kepada Dewata untuk sama ada mahu memaafkan atau tidak segala dosa kita.”

Maharishyi Kala mentafsir lagi suara angin. Kemudian mengeluh. Maharishyi Kaswa pula mengusap-usap janggutnya sambil membetulkan kedudukan di bawah pokok bodhi.

“Mungkin juga tempoh setahun belum memadai untuk menebus dosa kalian sehabis-habisnya.”

Maharishyi Kala dan Maharishyi Valmiki memandang Maharishyi Kaswa. Rama dan Sita turut memandangnya.



Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/04/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-51/

Monday, July 30, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 50


“Dirgahayu, tuanku,” sembah Maramanden sebaik aku melangkah masuk melalui pintu istana selepas menghabiskan masa dari awal pagi hingga lewat petang di makam Tamnat Gangga. Tentu dia telah lama menunggu aku di pintu istana.

“Semoga dilanjutkan usia kau juga, Maramanden.”

“Terima kasih, tuanku,” ucap Maramanden sambil berjalan mengiringi langkahku ke arah singgahsana di balairung. “Ini ada utusan daripada Baginda Bibasenam.”

“Utusan daripada Bibasenam? Apa katanya?”

Aku duduk di singgahsana.

“Ampun, tuanku. Katanya, dua musafir yang tuanku kenal itu berada di negeri Panggala.”
Aku termenung sebentar. Mustahil mereka masih berada di negeri tersebut.

“Bilakah utusan ini dikirim?” tanyaku sambil membetulkan kedudukan mahkota di atas kepala.

“Tujuh hari yang lalu, tuanku.”

“Patutlah. Mereka berada di tengah hutan bersama-sama Maharishyi Kala dan Maharishyi Kaswa sekarang ini.”

“Kedua-dua musafir itu, tuanku?”

“Ya, Maramanden, pasangan musafir itulah yang saya maksudkan. …”

Kedua-dua musafir itu masuk ke istana. Individu yang duduk di singgahsana bukan seekor kera!
Mimpi itu masih juga mengganggu fikiranku. Pasangan musafir dalam mimpi itu adalah ayah dan ibu yang menyamar menjadi orang kebanyakan sejak setahun lalu.

Hari ini genap setahun mereka pergi. Masih belum tertebus lagikah dosa mereka?

Kini mereka bersama-sama Maharishyi Kala. Bagaimana aku tahu? Bukankah aku Hanuman, kera putih bermata hijau. Bukankah aku berada di mana sahaja ayahku berada!

Akan tetapi, ayah dan ibu masih belum mengakui siapa diri aku yang sebenar. Pada usia tiga puluh tahun sekarang ini pun aku masih belum berpeluang merasai kasih sayang ayah dan ibu secara mutlak.

Dosa apakah yang aku lakukan maka Tuhan terus menghukum aku sampai begini sekali?

Aku duduk bersandar pada singgahsana di balairung. Aku pejamkan mata. Lalu aku dapat melihat ayah dan ibu dengan amat jelas. Bukankah ini merupakan salah satu daripada sekian banyak anugerah Tuhan kepadaku.

Aku nampak ayah dan ibu sedang duduk menghadap Maharishyi Kala di tempat pertapaannya. Maharishyi Kaswa juga ada sama. Turut kelihatan Maharishyi Valmiki.

Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/29/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-50/

Saturday, July 28, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 49


“Suatu hari nanti, kami akan datang selepas menyucikan diri. Berjanjilah, Hanuman, bahawa kau akan menunggu sehingga hari itu. Akan aku ceritakan segalanya nanti.”

“Saya akan setia menunggu,” aku berjanji dengan penuh harapan.

Aku sujud di kaki ayah. Ayah menyerahkan cokmar sebelum mengucup dahiku. Aku memeluk ayah. Ayah membalasnya dengan dakapan yang erat. Itulah kami, seorang ayah dan seorang anak pada malam perpisahan.

Matahari sudah mula terbenam di puncak bukit. Aku mengesat air mata dan membetulkan mahkota di atas kepala. Kemudian aku bersedia untuk meninggalkan makam Tamnat Gangga setelah bertafakur seketika.
Perjalananku pulang ke istana diiringi dentingan loceng dari kuil Mariamman yang berdekatan. Ini diselang-seli pula oleh suara bacaan mantera yang ritual daripada sami yang melakukan pooja enam kali sehari.

Kemudian kedegaran pula suara mendayu-dayu nyanyian bhajan oleh anak-anak di perkarangan kuil Vishnu di kaki Gunung Maha Purita. Sebaik sampai di hadapan kuil tersebut, entah mengapa tergerak hatiku untuk berbual-bual bersama anak-anak itu.

Melihat kedatanganku di perkarangan kuil Vishnu, anak-anak yang berjumlah sekitar lima belas orang itu berdiri menyembah. Masing-masing kelihatan agak gementar.

Aku senyum ke arah mereka. Akan tetapi, mereka terus memandang dengan semacam perasaan takut.
Aku duduk di atas lantai di dalam kuil. Anak-anak tersebut masih lagi memandangku seperti melihat sesuatu yang terlalu gharib. Aku menepuk lantai di sisi kiri tempat dudukku; menjemput mereka duduk.

Seorang demi seorang mula duduk – bukan sebagai menerima pelawaanku, tetapi lebih seperti menurut perintah. Aku lalu mengengsot menghampiri mereka.

“Kenapa kalian takut melihat saya?”

Mereka berpandangan.

“Bukankah tuanku pemerintah kerajaan ini?” Seorang anak kecil memandangku. Ah! Betapa murninya senyuman itu.

“Ya.”

“Tuanku adalah Maharaja Hanuman, bukan?”

“Benar.”

Aku mengelus rambut kanak-kanak lelaki itu yang memberanikan diri untuk bertanya.

“Bapa saya selalu bercerita tentang tuanku.”

“Ya?”

“Ya. Tuanku adalah pengikut Rama yang paling setia.”

Aku mengangkat anak kecil itu dan meletakkannya di atas ribaan. Dia tersenyum gembira.

“Kata bapa saya, tuanku amat sayang akan Rama dan Sita. Kalau dibelah dada tuanku, akan kelihatan rupa mereka berdua tertera pada jantung tuanku.”

Aku tersenyum sendiri. Kalau dibelah dadaku, mungkin akan kelihatan juga seekor kera putih yang menangis kerana rindu akan kasih-sayang ibu bapanya.

Kumpulan kanak-kanak yang sebentar tadi takut melihatku, kini mula mengerumuniku. Aku membenarkan. Seketika aku merasakan diriku seusia dengan mereka.

“Tuanku suka akan kanak-kanak?”

Aku mengangguk, mengiakan.

“Tuanku ada anak?”

Aku memandang budak lelaki itu. Aku merenung anak matanya. Aku nampak mata Tamnat Gangga. Aku nampak wajah Tamnat Gangga. Aku nampak anakku di hadapanku.

Dia senyum padaku. Aku memeluknya erat, melepaskan rindu. Air mataku gugur lagi

Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/28/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-49/

Monday, July 23, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 48


Sedang aku bersendirian di luar istana selepas menghadiri upacara penyerahan wasiat, ayah mendatangiku. Kami pun duduk bersama-sama di bawah cahaya bulan menikmati keindahan pelangi lunar.

“Hanuman, maafkan aku atas segala tindakanku pada masa lalu. Aku faham betapa kecewanya kau atas kematian anak kau itu. Ada kalanya manusia biasa seperti aku mengambil tindakan yang tidak betul akibat hasutan suara hati yang terlalu mementingkan diri sendiri.”

Ayah meramas bahu kiriku. Bukankah elok jika perbuatan ini dilakukannya dengan menyebut aku sebagai anaknya? Apalah gunanya ayah menyerahkan Kerajaan Indus kepadaku sedangkan ayah tidak mengakui aku anaknya!

“Mengapa perlu diceritakan semua ini kepada saya? Saya hanyalah seekor kera putih …”

Ayah ketawa kecil sambil memegang tapak tanganku di antara jari-jemari kasarnya.

“Aku sudah menyedari kebolehan kau. Kau handal. Entah apalah yang telah aku lakukan tanpa sokongan kau selepas kematian Letchumanen dahulu. Aku pasti bahawa keturunan Dravida akan tetap mengenang kau sebagai lambang keberanian dan kesetiaan.”

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 47


Hanya kerana seorang wanita, banyak nyawa terkorban. Indrajit mati lantaran tindakan taat setianya yang berlebihan; biarpun dia sedar bahawa dia berada di pihak yang bersalah.

Matinya memikul dosa. Akan tetapi, semasa tubuh Indrajit jatuh menghempas bumi, dia menjeritkan nama bapanya. Bapa yang baginya telah membesarkannya dengan kasih-sayang.

Bukankah dia lebih bertuah berbanding aku? Kalau aku dijemput Yama sekarang ini pun, aku masih tidak berhak memanggil Rama sebagai ayahku. Kalau aku cuai, ayah dan ibu boleh terbakar hangus.
Begitulah. Harapanku agar segala-galanya pulih seperti yang aku harapkan setelah kematian Ravana tidak menjadi kenyataan.

Ayah seolah-olah lupa bahawa sebenarnya, segala malapetaka yang menimpa dirinya adalah balasan Tuhan akibat tindakannya sendiri pada suatu masa dahulu.

Sesudah aspirasinya tercapai, ayah semacam diselubungi rasa keteledoran. Kealpaan. Setelah memperoleh kembali isteri dan anaknya, Tilewi, ayah lupa bahawa penculikan ibu juga adalah lantaran tindakan mereka berdua dahulu.

Monday, July 16, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 46


Bibasenam memegang bahu Rama. Letchumanen sudah tidak terkapai-kapai lagi.

Aku?

“Ravana melepaskan panah Aanavam,” Bibasenam menjelaskan. “Ia hanya membunuh sasaran yang terlalu mementingkan diri sendiri. …”

Aku? Tiada bekas luka pada tubuh. Hanya darah yang mengalir keluar dari tubuh Tamnat Gangga tadi.
Ravana kembali mara di atas rata ajaibnya.

“Kau telah menderhaka, Sita!” Rama menjerit. “Kau telah menipu! Kau sengaja mahu aku mati!”

Apa yang ayah cakap ini? Aku memegang lengan ayah; cuba meredakan keberangannya.

“Dia telah menipu, Hanuman. Dia menipu kononnya nyawa Ravana terletak pada lubang hidung. …”
Ayah tersedu. Bukan ini masanya untuk menangis. Bukan ini masanya untuk menyerah kalah.

Ravana semakin mara.

“Bertenang. Letchumanen memanah kepala yang ketujuh dari sebelah kiri. Bukankah menurut Sita, nyawa Ravana tersimpan di dalam lubang hidung sebelah kiri pada kepala Ravana yang ketujuh dari sebelah kanan?”

“Benarkah begitu, Hanuman?”

Ayah kembali bertenaga. Dia mengangkat busur. Diisinya anak panah. Diacunya pada Ravana yang semakin hampir.

Ayah membusur. Ravana terkejut melihat anak panah yang tiba-tiba terbang melayang. Dielaknya. Terlambat.

Panah menikam lubang hidung sebelah kiri pada kepala Ravana yang ketujuh dari sebelah kanan. Ravana meronta-ronta. Jeritannya hampir memekakkan telinga kami, kaum kera.

Ravana mencabut anak panah itu. Darah mengalir deras. Lima tangan Ravana menghayun syamsir. Lima tangan memegang busur. Lima tangan  memasukkan anak panah. Lima tangan memacu kuda yang menarik rata.

Semakin menghampiri Rama, Bibasenam dan aku.

“Kau telah mengkhianati cinta kita, Sita,” bisik ayah sambil melepaskan busur dari tangan.Ravana terus mengamuk. Para tentera Rama dan Ravana terpaku melihat kegentingan itu.


Ayah tidak boleh menyerah kalah. Pantang keturunan Dravida mati sebelum ajal!

Aku ambil busur ayah. Aku letakkan pada tapak tangan ayah. Aku ambil anak panah. Aku hulurkan kepada ayah.

Pantang kaum Dravida menyerah tanpa berjuang hingga ke hembusan nafas terakhir! Hingga titisan darah terakhir.

“Cubalah sekali lagi. Cubalah sekali lagi,” rayuku.

Ayah mengangkat busur; mencari sasaran.

“Lihat!” Jerit Bibasenam tiba-tiba sebelum ayah sempat membusur.

Ravana sedang meronta-ronta kesakitan. Kemudian jatuh dari rata ajaibnya. Gugur menimpa bumi Langkapuri.

Alam membisu seketika.

Benarlah kata-kata Indrajit bahawa Tuhan tidak mungkin akan memberikan kemenangan kepada pihak yang bersalah.

Benarlah juga kata Sita bahawa nyawa Ravana terletak di dalam lubang hidung sebelah kiri pada kepalanya yang ketujuh dari sebelah kanan.


Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/15/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-46/

Saturday, July 14, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 45


Tentera Vanara datang mengerumuni kami dengan linangan air mata simpati.

Ravana makin mara di atas rata ajaib. Rama dan Letchumanen terus menanti kedatangan Ravana. Sepuluh kepala Ravana menyala. Lima tangan memegang syamsir ajaib. Lima tangan bersedia untuk membusur. Lima tangan memacu tali rata berkuda sepuluh. Lima tangan memegang ekor anak panah.

Rama sedia membusur. Dia mahu anak panah mengena tepat pada sasarannya. Biar kali ini kepala Ravana tidak tumbuh kembali. Biar kali ini tangan Ravana tidak tumbuh semula. Biar nafas Ravana terhenti. Biar dia mampus.

Letchumanen turut sedia membusur bila-bila masa. Sesekali dia melihat pergerakan tangan Rama dengan ekor mata. Kemudian pandangannya tajam tertumpu pada Ravana yang makin melayang menghampiri mereka.

Saat kematian Ravana sudah semakin hampir. Ravana pasti tumpas pada kali ini.

Tiba-tiba Letchumanen membusur! Aneh. Mengapa dia tergamak memanah mendahului abangnya?

Mungkinkah kealpaan menguasai diri? Mungkinkah Letchumanen mahu menjadi wira yang membunuh Ravana?

Kalau boleh, aku tidak mahu mempercayai apa yang baru berlaku. Ke mana hilangnya kesetiaan diri Letchumanen yang Rama peragung-agungkan selama ini?

Anak panah terus melayang. Rama terpaku melihat tindakan adiknya. Anak panah terus melayang. Rama terpaku melihatnya melayang. Bibasenam juga begitu. Aku turut terpaku melihat anak panah itu melayang.
Mata Ravana terbeliak. Anak panah mengena lubang hidung sebelah kiri pada kepala Ravana yang ketujuh. Ravana meronta-ronta.

Letchumanen tersenyum. Senyum angkuh. Dipandangnya Rama yang masih terkejut. Dipandangnya aku yang masih terpaku di sisi mayat Tamnat Gangga.

Ravana pula ketawa. Ketawa angkuh. Ketawa mengejek. Rama terkejut. Letchumanen menjadi pucat.
Ravana melepaskan panah Aanavam. Letchumanen tidak sempat bertindak. Rama tidak sempat membalas. Anak panah itu terus melayang. Ravana ketawa megah.

Rama tidak harus kehilangan Letchumanen. Rama masih memerlukan adiknya. Aku mesti bertindak. Aku mesti!

Anak panah sudah semakin menghampiri Letchumanen. Letchumanen berpaling untuk berlari. Tapi anak panah sudah terlalu hampir padanya.

Aku melompat ke arah Letchumanen. Aku menahan panah Aanavam. Aku sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan orang yang ayah sayang.

Saat itu aku dapat merasakan anak panah menembusi dada kiri. Selamat tinggal, ayah. Ah, pada saat ini pun aku tidak dapat memanggilnya begitu.

Rama berlari ke arah kami. Letchumanen jatuh. Panah Aanavam kelihatan menerobos jantungnya dari arah belakang. Letchumanen terkapai-kapai.

Aku? Aku berdiri kaku.

Ravana menghentikan rata ajaibnya. Dia ketawa angkuh melihat keadaan Letchumanen.
“Hanuman, akar wasliwayan! Akar wasliwayan!” Rama menjerit separuh mati di sisi adik kandungnya.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/14/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-45/

Monday, July 09, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 44


“Hanuman, sudah kau dapatkan petua daripada Sita?” Ayah menghampiri kami sedang Ravana masih mengamuk.

“Lihatlah, wahai Rama! Anak saya sedang berperang dengan maut. Apa yang harus saya lakukan?”

“Tiada apa-apa yang yang boleh kau lakukan. Kita sudah kehabisan akar wasliwayan,” ayah menjawab.
Aku memeluk Tamnat Gangga. Darahnya banyak yang mengalir keluar lalu melekat di dadaku.

“Sudah! Apa petua yang Sita berikan?”

“Tamnat Gangga anak saya! Apa yang perlu saya buat untuk menyelamatkan nyawanya, wahai Rama?”

“Biarkan sahaja. Kita tidak akan kehilangan apa-apa dengan kematian seekor kera.” Ayah bagaikan tidak mengendahkan perasaanku. “Apa yang Sita beritahu?”

Ravana semakin mara di atas rata ajaib.

Aku tersandar lemah pada makam Tamnat Gangga. Aku cuba menghentikan tangisanku kerana bimbang kalau-kalau penjaga kubur itu nampak.

Tapi kali ini aku sudah tidak dapat mengawal air mata yang gugur menimpa makam anakku. Setiap kali aku terkenang akan kejadian itu, setiap kali itulah juga aku benar-benar kecewa dengan sikap ayah yang meminta aku membiarkan sahaja anakku mati.

Apakah pada pandangan ayah, nyawa seekor kera tidak bernilai langsung? Lupakah ayah bahawa dia dan ibu sendiri pernah menjadi kera sebelum melahirkan aku?

Tidakkah sedarkah ayah bahawa kera juga ada perasaan? Tidakkah ayah ingat bahawa semasa Letchumanen mahu memanah ibu yang menjelma menjadi kera dahulu, ayah telah datang mempertahankannya? Bukankah itu tanda kasih?

Sehingga kini aku masih dapat membayangkan kejadian itu: Letchumanen mengangkat busur Rama. Dimasukkannya panah. Diacunya tepat ke arah Sita. Rama menyerang dari belakang. Letchumanen menangkap Rama. Rama meronta. Letchumanen melepaskan Rama jatuh ke dalam telaga. Sita berlari pantas ke arahnya. Rama jatuh ke dalam telaga berair keruh. Sita turut serta.

Sedih hatiku pada setiap kali memikirkan bagaimana ayah sampai hati untuk tidak mengambil kisah tentang Tamnat Gangga yang berperang dengan maut.

Sebaliknya, ayah terus mendesakku agar menceritakan petua daripada Sita. Dengan perasaan sedih, aku pun menceritakannya.

Rama dan Letchumanen berlalu setelah kuceritakan petua tersebut. Tinggallah aku dan Tamnat Gangga. Apa yang patut aku lakukan, anakku?

“Siapakah itu yang tiada rasa belas kasihan, ayah?”

“Rama.” Aku tersedu.

“Anak Dasaratha?”

Aku memandang Tamnat Gangga. Dia melutut sambil meletakkan kedua-dua tangan pada dada kiri. Aku mengangguk lemah.

“Ayah lebih mulia daripada—”

Tamnat Gangga jatuh terkulai di kakiku.

“Anakku!”

Untuk inikah kita dipertemukan? Untuk berpisah?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/08/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-44/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 43


Aku bergegas keluar dari bilik. Aku mahu mendapatkan Tamnat Gangga. Aku akan membawanya pergi. Akan aku tunjukkan kepada ayah.

Mungkin kemudian ayah akan mengakui siapa aku sebenarnya.

“Ayah!”

Tamnat Gangga berlari masuk. Dipeluknya aku pada leher. Kemudian di belakangnya hinggap sebatang tombak!

“Anakku!”

Datang sebatang lagi tombak. Aku sambut. Aku lepaskan kembali ke arah raksasa pengawal istana.
“Ayah. …”

Aku memapah Tamnat Gangga. Untuk inikah aku diketemukan dengan anakku? Untuk dia menggantikan tempatku menerima tusukan tombak musuh?

“Ayah, tinggalkanlah hamba di sini. Pergilah ayah meneruskan tanggungjawab ayah.”
“Tidak, anakku!”

Aku mencabut tombak yang hampir mengena jantung Tamnat Gangga. Aku menuntunnya keluar dari istana Ravana. Aku membawa anakku terbang ke tempat Rama.

Air mataku bersatu dengan darah anakku lalu jatuh menimpa bumi Langkapuri yang dengan rakus segera menyerapnya.

Perjalanan kami terasa amat jauh. Aku seperti sedang terbang di titik yang sama sahaja. Istana Ravana sudah lama kami tinggalkan. Tapi kubu Rama masih tidak kelihatan.

Tamnat Gangga mengerang. Setiap kali nadinya berdenyut, setiap kali itulah juga darah tersembur keluar dari bekas tikaman pada tubuhnya.

Anakku! Jangan tinggalkan ayah. Aku sudah kehilangan segala-galanya. Aku sudah kehilangan isteri. Aku kehilangan kasih ayah. Aku kehilangan kasih ibu. Aku tidak sanggup kehilangan anakku pula.
Aku memeluk erat Tamnat Gangga.

“Bertenang, anakku. Kita akan segera sampai di tempat Rama. Ayah akan mengubati luka ini dengan ubat akar wasliwayan. Kau belum tahu kemujaraban akar itu, anakku. Ia dapat menyembuhkan segala macam luka. Kau akan sembuh dengan segera. Bertenanglah. Ingat akan Tuhan.”

Ah! Mengapa perjalanan terasa terlalu jauh?

Darah Tamnat Gangga dan air mataku terus jatuh mewarnai tanah Langkapuri.

Di kejauhan, kelihatan kubu Rama. Ravana kelihatan sedang terbang menggunakan rata ajaibnya. Ayah sedang menepis serangan. Letchumanen sedang memberi arahan kepada para tentera.

Bibasenam menjadi penasihat kepada ayah. Surgiwa pula sedang merawat tentera yang cedera. Ratusan mayat kaum Vanara terdampar di sana sini.

“Kita sudah sampai, anakku!”

Aku mendarat di sisi Letchumanen.

“Letchumanen, berikan ubat akar wasliwayan!”

“Sudah kehabisan, Hanuman.”

Aduh! Mengapa pula pada waktu begini? Aku telah membawa akar wasliwayan untuk mengubati tentera Dravida dan Vanara yang cedera. Akan tetapi, apabila sampai pada ketika menyelamatkan nyawa anakku sendiri, mengapa akar itu harus habis?

Untuk memaksa aku melihat kematian anakku sendiri?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/07/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-43/

Monday, July 02, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 42


“Ah, lihat apa yang telah kau lakukan,” rungut ibu. “Dia baru tidur sebentar tadi.”
Tilewi duduk di atas katil lalu memperhatikan aku.
“Siapa dia ni, emak?”
“Utusan daripada ayah kau.”
“Daripada Maharaja Ravana?”
Sita tersenyum malu. Mukanya memerah.
“Tilewi, sayang. Sudah berapa kali emak katakan kepada kau. Ayah kandung kau adalah Ramachandra, bukan Maharaja Ravana.”
“Tapi, emak.” Tilewi mencebikkan bibir sebelah bawah. “Maharaja Ravana selalu memanggil saya sebagai anaknya.”
“Kau tidak akan faham semua ini, Tilewi. …”
Tilewi merenungku. Aku membalas tenungannya.
“Emak, tengok kera ini! Matanya hijau. Cantik. Bulunya putih bersih. Badannya tegap.” Tilewi memicit-micit lengan kananku. “Bolehkah saya menyimpannya?”
Ah, lihat nasib diriku! Adik aku sendiri mahu menjadikan aku binatang peliharaannya!
“Tak boleh, Tilewi. Emak akan minta Maharaja Ravana mendapatkan binatang peliharan lain untuk kau.” Ibu menarik Tilewi ke sisinya sambil berkata begitu. “Kera ini perlu pergi sekarang.”
Aku masih dihurungi keterkejutan.
“Sebenarnya …”
“Ha, ada apa lagi?”
“Rama mengutus saya untuk bertanyakan di mana letaknya nyawa Ravana. Tanpa maklumat itu, Ravana tidak mungkin dapat ditewaskan.”
“Isy! Kenapa kau tak beritahu sejak awal tadi?”
Sita membaringkan Tilewi di atas katil tanpa mengharapkan sebarang jawapan daripadaku.
“Hm, akhirnya aku juga yang diperlukan. Tidak aku sangka langsung! Suamiku yang perkasa itu sebenarnya masih memerlukan bantuan seorang perempuan untuk mencapai wijaya. Tapi pasti dalam catatan sejarah nanti, hanya namanya disebut sebagai wira; bukan namaku.”
Sita mula mendodoikan anak berumur sekitar empat belas tahun itu. Aku sabar menanti.
“Aku tahu di mana letaknya nyawa Ravana.”
Bagus! Wijaya sudah semakin menghampiri ayah.
“Baru malam tadi aku berjaya memujuk Ravana agar menceritakan rahsia peribadi itu kepadaku.”
Aku terus menanti.
“Beritahu Rama, nyawa Ravana terletak di dalam lubang hidung sebelah kiri pada kepalanya yang ketujuh dari sebelah kanan.”
Bagus! Wijaya kini di tangan ayah. Akan berakhirlah riwayat hidup Ravana. Akan kembali amanlah seluruh alam. Akan bertemu semulalah Rama, Sita, Tilewi dan Letchumanen. Akan berbahagialah mereka.
Aku pula?
Mungkin selepas itu, ayah akan membuat pengakuan terbuka bahawa aku juga anak kandungnya; anak sulung. Dan Tamnat Gangga akan tahu bahawa dia adalah cucu kepada Rama, raja kaum Dravida. 

Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/01/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-42/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 41


Aku menyuruh Tamnat Gangga menunggu di luar sementara aku pergi mendapatkan ibu. Mahu rasanya aku menceritakan kepada ibu tentang Tamnat Gangga secara terperinci.
“Syy! Jangan bising. Tilewi sedang tidur,” kata ibu sebaik sahaja aku masuk ke biliknya.
Tilewi? Oh, anak itu. Adik aku!
Tilewi sedang tidur di peraduan. Wajahnya tenang. Sita duduk di sisi katil dan mengipas badan kanak-kanak berumur sekitar empat belas tahun itu.
“Belum selesai?”
“Hm?”
“Perang belum selesai lagi?”
“Belum. Itulah sebabnya Rama mengutuskan saya datang ke sini.”
“Untuk apa?” pintas ibu. “Untuk membawa lari aku dan Tilewi dari istana ini? Bukankah sudah aku katakan dahulu bahawa aku tidak sanggup disentuh oleh seekor kera?”
Aku hanya tertunduk tanpa mampu berkata apa-apa.
“Biar Rama menunjukkan keperwiraannya menentang Ravana. Hanya selepas itu aku akan meninggalkan istana ini dengan penuh maruah. Itu pun jika Rama sendiri yang datang menjemput.”
Aku cuba menerangkan perkara sebenar tetapi tidak sempat.
“Lagi pun,” ibu meneruskan tanpa memberikan aku peluang untuk menjelaskan tujuan sebenar kedatanganku, “aku cukup selesa di sini. Tilewi selamat di sini. Selagi Ravana tetap yakin bahawa Tilewi adalah zuriatnya, selagi itulah Tilewi tidak akan menghadapi apa-apa masalah.”
Aku masih tidak sempat menjelaskan perkara sebenar.
“Ravana juga tidak mungkin akan terfikir untuk menghantar Tilewi ke medan perang untuk menentang Rama. Tilewi masih terlalu muda untuk semua itu. Apa yang pasti, Tilewi cukup selesa dan selamat di sini buat masa ini.”
“Sebenarnya. …”
“Apa pula yang sebenarnya?” ibu terus memintas sebelum aku sempat menerangkan tujuan sebenar kedatanganku. “Rama menyuruh kau mengambil Tilewi? Aku tidak sanggup melepaskannya pergi. Tilewi anak tunggal kami!”
Aduh! Begitu hinakah aku sehingga ibu masih tidak sanggup mengatakan bahawa aku juga anaknya?
“Tilewi satu-satunya anakku. Aku tidak sanggup berpisah dengannya. Dia masih memerlukan kasih sayangku. Dia juga lebih selamat tinggal bersamaku. Elok kau pergi sahaja dari sini. Pergilah bantu apa yang patut di medan perang. Jangan datang bersembunyi di sini bak seekor kera yang dayus.”
Telingaku bagaikan terbakar hangus. Mujurlah aku berjaya memujuk diriku supaya bertenang.
Pada waktu itu, Tilewi tersedar daripada tidur.

Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/30/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-41/

Monday, June 25, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 40


Aku segera terkenang akan kejadian empat belas tahun yang lalu. Aku berusia enam belas tahun ketika itu. Perang masih berlanjutan. Terlalu ramai tentera yang cedera.

Ramai yang terpukau akibat panahan Mayagiri daripada Mula Matani. Letchumanen turut cedera semasa cuba membantu Surgiwa. Ayah pula cedera pada lengan.

Aku perlu segera meramu akar wasliwayan. Itu sahaja yang dapat aku lakukan. Bukahkah ayah masih memerlukan adik dan bala tenteranya? Apa gunanya aku, seekor kera putih dari segi ketenteraan? Bukankah demikian tanggapan ayah pada waktu itu?

Tapi biar aku buktikan keupayaan yang dianugerahkan Tuhan. Lalu aku terbang ke Banjaran Himalaya di bahagian utara Benua Hindia untuk mengambil akar wasliwayan.

Di tengah perjalanan, aku berhenti di tepi sebuah kolam untuk menghilangkan dahaga. Di situ kutemui seorang puteri kayangan. Entah mengapa jantungku berdebar kencang. Matanya menarikku dekat padanya. Lalu hatiku bergelora.

Mengapa? Apakah ini? Entah! Tapi kurasakan suatu perbezaan. Suatu perasaan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini.

Aku meneliti paras rupanya. Rambut panjang terurai. Wajah tersenyum manis. Mata biru bersinar. Sari warna putih bertepi kain zari menutupi tubuh langsingnya.

“Adinda datang.”

Tentulah aku terkejut mendengar suara halusnya itu. Siapakah dia? Penunggu tasik atau siapa?

“Siapakah engkau, wahai puteri yang manis?”

“Suvarchala Devi.” Dia tertunduk malu.

“Suvarchala Devi?”

Aku masih ingat pertemuanku dengan Surya Dewa dahulu. Nampaknya Surya Dewa telah menghantar anaknya menemuiku. Tapi mengapa pula sewaktu perang belum tamat?

Aku memandang Suvarchala Devi. Isteriku! Mungkinkah dia akan menjadi tempat untuk aku menagih kasih yang tidak kuperoleh daripada ayah dan ibu?

Suvarchala Devi menghampiriku. Ada semacam perasaan halus yang mendesakku supaya memeluknya. Seketika aku lupa tentang perang yang masih berlanjutan. Seketika aku terasa seperti berada di taman firdaus.

Selepas pertemuan singkat itu, Suvarchala Devi kembali ke keinderaan. Itulah isteriku yang pergi membawa bersamanya anak tunggalku; dengan janji akan menyerahkan anak itu kepadaku apabila sampai masanya nanti.

Setelah berpelukan sebentar dengan Tamnat Gangga untuk melepaskan rindu, aku teringat akan tujuan kedatanganku ke istana Ravana. Aku perlu menemui Sita untuk bertanyakan kalau-kalau dia tahu di mana tersembunyinya nyawa Ravana.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/24/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-40/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 39


Pagi-pagi lagi, sementara ayah bersedia untuk menentang Ravana bagi ke sekian kali, aku terbang ke istana Ravana dalam bentuk jelmaan sekecil kumbang.Makin aku mendekati istana Ravana, makin kencang debaran jantung. Mungkin kepenatan.Tapi mustahil! Ini bukan kali pertama aku terbang ke istana berkenaan. Aku pasti bahawa ada sesuatu di sana. Aku dapat merasakannya dalam hati. Dalam jiwa; dalam sanubari. Dalam diri.


Benarkah seperti yang aku rasakan? Diakah itu di sana? Tapi bagaimana? Mengapa di sini? Mungkin mainan hati cuma. Hati ini tidak mudah tertipu. Yang di pintu masuk istana itu bukan bayangan. Benarlah bukan mainan mataku semata-mata. Tapi diakah itu?

Di pintu masuk ke istana Ravana, aku disapa seekor anak kera. Diakah itu? Tamnat Gangga? Atau muslihat Ravana? Timbul pelbagai kemungkinan yang sukar diandaikan.

“Siapakah engkau, wahai kera kecil?” tanyaku sebaik sahaja mendarat di sisinya dalam bentuk diriku yang asal; sedang hatiku masih terus bergelora.

“Nama hamba Tamnat Gangga.”

Nama itu bergema di dalam telingaku. Ya! Dialah anak itu. Dialah yang dibawa pergi oleh ibunya ke kayangan, lapan tahun lalu. Dialah yang telah Indrajit sebutkan dahulu.

“Tamnat Gangga? Apa yang kau buat di sini?”

“Ibu hamba yang menyuruh hamba supaya menunggu ayah di pulau ini.”
“Di mana ibu kau?”

“Sudah mencapai nirwana. Katanya, ayah hamba berada di pulau ini.”

Aku memeluk Tamnat Gangga. Anak kecil itu masih kebingungan. Namun kupeluk erat. Degup jantungnya dapat kurasakan di dalam diriku. Dalam hatiku; dalam jiwaku.

“Anakku!”

Rupa-rupanya aku telah benar-benar menjerit di sisi makam Tamnat Gangga. Suara jeritanku sendiri mengejutkan aku ke alam nyata. Aku merenung makam Tamnat Gangga yang berbatu marmar dan dibina begitu indah.

Ah! Mengapa anakku perlu meninggal dunia dalam usia semuda tujuh tahun cuma? Mengapa dia perlu meninggal dunia sebelum aku dapat mencurahkan kasih sayangku terhadapnya?

Hanya dengan cara duduk di sisi makam anakku ini membuatkan hatiku tenang. Sejak pemergian ayah dan ibu setahun lalu, aku semakin kerap datang ke makam Tamnat Gangga. Berada di sini sentiasa membuatkan aku merasakan seolah-olah anakku itu masih ada bersama-samaku.


Anakku, Tamnat Gangga!




Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/23/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-39/

Monday, June 18, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 38


Letchumanen mengumpulkan panah dan lembing untuk digunakan pada esok hari. Anbala dan Ankada, anak-anak kembar seiras Belia Raja, sedang membantu.

Aku duduk di hadapan unggun api. Dari dalam khemah-khemah, terdengar suara erangan tentera kera yang cedera parah. Jika semua ini berterusan, apakah akhirnya? Aku pasti bahawa itu juga persoalan yang difikirkan oleh ayah.

“Hanuman.”

Entah bila ayah keluar dari khemahnya. Dia sudah duduk bersila di sisiku. Aku bingkas bangun sebagai tanda hormat. Tapi ditahannya. Ayah menarik lenganku; selaku mengisyaratkan supaya duduk di sebelahnya.

“Hanuman, mungkin kau masih tidak memahami segala apa yang berlaku ini. Maafkan aku kerana melibatkan kau dalam semua ini.”

“Tapi saya melakukan semua ini secara rela.”

Aku senyum sambil memandang ayah. Pada usiaku dua puluh empat tahun ketika itu, Rama masih belum mengakui aku anaknya. Entahlah apa punca sebenar kebongkakannya.

“Entahlah, Hanuman. Mungkin salah aku. Mungkin semua ini ada kaitan dengan hukum karma dan dharma. Mungkin juga benar bahawa semua yang terjadi adalah kerana dosaku pada masa lalu.”

Ayah memandang kejauhan sambil berkata-kata begitu. Kemudian dia memandang ke dalam unggun api.

“Dosa?” Sengaja aku bertanya setelah beberapa ketika.

“Kau tidak perlu tahu. Kau tidak akan faham.”

Ayah menghulurkan tepak sirih kepadaku. Aku mencapainya dengan penuh hormat.

“Hanuman, boleh kau lakukan sesuatu untukku?”

Aku berhenti menyapu kapur pada daun sirih. Aku memandang ke dalam mata ayah yang redup.
“Nyatakan; apa sahaja.”

“Maafkan aku kerana memperkecilkan kebolehan kau selama ini.” Ayah meminta maaf dengan pandangan matanya. “Aku perlukan bantuan kau. Menurut Bibasenam, Ravana hanya dapat dibunuh dengan cara memanah tepat pada tempat di mana nyawanya disembunyikan.”

Aku mendengar dengan penuh teliti setiap kata yang diucapkan oleh ayah.

“Kau pergilah kepada isteriku di istana Ravana. Bertanyalah kalau-kalau dia tahu di mana letaknya nyawa Ravana. Boleh?”

“Tentu sahaja!” pantas aku menjawab.

Ayah tersenyum. Aku juga.

Itulah kami. Seorang ayah dan seorang anak. Betapa indahnya apabila dapat bersama ayah. Tapi malang. Ada kejadian masa lalu yang memisahkan kami.

Bilakah penyeksaan batin ini akan berakhir?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/17/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-38/

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 37


Ayah melepaskan panah Vishnuasara. Kena bahu Ravana. Lengannya putus. Jatuh ke laut. Tumbuh yang baru!

Ravana melontar lembing. Nyaris mengena leher ayah. Terus menjunam ke bumi. Berdentam-dentum. Membunuh kaum kera dan tentera ayah.

Ayah melepaskan panah Shivasara. Kepala Ravana gugur. Tumbuh yang baru. Tangannya putus berganti baru.

Ravana melepaskan panah nagi. Ayah membalas dengan panah kiri. Kedua-duanya bertempur di langit terbuka. Akhirnya gugur berdentum-dentum ke bumi Langkapuri. Para raksasa lari mencari suaka.

Begitulah sehingga malam berlabuh. Selagi Ravana belum kalah, selagi itu Rama belum menang. Selagi Rama belum menang, selagi itulah Ravana tetap menang!

“Tuanku.”

Ah! Penjaga kubur itu lagi. Bukankah sudah aku pesan kepadanya supaya membiarkan aku bersendirian?
“Ada apa?” Aku masih berupaya untuk bertenang.

“Ini ada orang suruhan dari istana,” kata si penjaga kubur sambil tangannya masih menunjukkan tanda vanakam. “Hamba sudah katakan yang tuanku tidak mahu diganggu, tapi dia tetap mahu berjumpa tuanku.”
Aku memandang orang suruhan yang sedang berdiri di sebelah si penjaga kubur.

“Ampun, tuanku. Kalau boleh, memanda Maramanden meminta tuanku pulang segera. Kata memanda, ada utusan penting daripada Baginda Bibasenam. Lagi pun, hari sudah petang. Tuanku belum bersantap sejak pagi tadi.”

Aku sekadar mengangguk kosong. Orang suruhan dan penjaga kubur itu pun berlalu setelah tercegat seketika. Aku harap mereka tidak akan datang menggangguku lagi. Aku mahu bersendirian. Aku mahu meneruskan lamunan ke masa silam.

“Ravana tidak alah pada mana-mana panah yang aku lepaskan. Jika beginilah seterusnya, sampai bila-bila pun perang ini tidak akan berakhir.”

Suara ayah terdengar lagi di telingaku. Selaras dengan itu, gambaran peristiwa masa lalu juga mula terbayang di depan mata.

“Kita semakin kehabisan stok akar wasliwayan,” Surgiwa pula mengingatkan sambil mengubati tentera Dravida dan Vanara yang cedera.

Aku lihat memang benarlah akar wasliwayan tinggal sedikit sahaja. Mungkin boleh bertahan untuk tempoh sehari lagi. Kami terpaksa cermat dalam menggunakan akar sakti itu. Jika habis bekalan ini, habislah semuanya. Sudah tiada lagi baki pokok wasliwayan di Banjaran Himalaya.

Aku harap Ravana akan dapat dikalahkan sebelum bekalan akar wasliwayan benar-benar habis. Aku tidak berani membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku jika bekalan akar sakti berkenaan habis sebelum Ravana tewas!


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/16/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-37/

Monday, June 11, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 36


Tiba-tiba sahaja Ravana melepaskan teevil, panah berapi. Ayah sempat mengelak. Teevil jatuh ke laut. Ayah membalas dengan panah saktinya. Hampir mengena rata Ravana.

Rama dan Ravana sama hebat. Ravana ada panah sakti kuasa hitam. Rama ada panah sakti pemberian Brahma.

Begitulah. Perang berlanjutan dari pagi hingga senja. Pada malam hari, ayah menyusun strategi. Ravana pula terus memujuk Sita supaya menjadi isterinya yang sah.

Menjelang pagi, perang bermula lagi. Ravana melepaskan panah mahayamen. Ayah balas dengan panah thirulingam. Kedua-duanya bertemu dilangit, lalu ghaib.

Aku mengangkat ayah di atas bahu. Aku membawanya ke atas awan. Ravana mendekatkan kenaikannya.
Ravana mula memuntahkan bahang. Tempat ayah berdiri mula luruh bak hujan. Aku meniup ke arah ayah agar bahang itu reda. Aku membesarkan lagi diriku. Aku melapik tempat ayah berdiri dengan lebih banyak gumpalan awan.

Ravana melampot naik ke atas gumpalan awan itu. Buat pertama kali, Rama dan Ravana bertentang mata. Agak lama.

“Pulangkan isteriku. Dan aku bersedia mengampunkan kau.”

“Sudah terlewat, wahai anak Dasaratha. Aku terpaksa membalas dendam atas kematian anak-anakku.”
“Tindakan kau sendiri yang menyebabkan banyak nyawa melayang.”

“Dan kini nyawa kau!”

Ravana menghimbau seraya menikam dengan syamsir ajaibnya. Ayah menepis.

Perang semakin hangat. Semakin sengit. Aku terus menjunjung awan yang menjadi arena pertempuran mereka berdua.

Apabila senja buta menjelma, perang bersurai mengikut adat. Ayah menyusun strategi baru. Ravana ketawa mengilai di mahligai.

Awal subuh berikutnya, Ravana melepaskan ribuan panah. Rama menepis. Aku menepis. Banyak yang jatuh bersimpang-siur ke bumi mengena tentera Rama dan kera-kera Surgiwa.

Aku mengangkat ayah di atas bahu. Kami menghampiri kenaikan Ravana yang berkuda seribu.

“Wahai Rama, sudah letihkah kau sehingga terpaksa dijunjung oleh kera putih peliharaan kau itu?”

“Bukan itu sebabnya, Ravana. Tidakkah kau tahu, Rama lebih mulia kedudukannya berbanding kau. Dia dianugerahkan uca. Masakan Rama boleh berdiri sama rata dengan kau!”

Sengaja aku menambahkan kemarahan Ravana. Bukankah orang yang memuncak kemarahannya senang hilang akal dan pertimbangan?

“Ravana! Kembalikan Sita kepadaku.”

Ravana ketawa tanpa mengendahkan ultimatum ayah. Kenaikannya terhinggut-hinggut.
Ayah melepaskan panah Brahmaasara. Kena kepala Ravana. Putus. Jatuh ke bumi. Tumbuh yang baru!


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/10/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-36/