Monday, August 06, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 51


“Sudah setahun kami berdua berusaha menebus dosa kami. Belum terampun lagikah diri kami?” Rama memandang ketiga-tiga maharishyi berpakaian serba jingga itu.

Maharishyi Kala memandang kejauhan. Seperti cuba menelaah hembusan bayu dan sinaran cahaya matahari.
“Belum.”

Sita mengeluh. Dipandangnya Rama yang masih kelihatan sasa pada usia yang kian menghampiri separuh abad. Sita sendiri masih seperti dahulu; ramping dan awet muda. Cuma sehelai dua rambutnya mula berubah warna.

“Kami tinggalkan takhta kerajaan. Kami berpuasa lima purnama. Kami juga cuba menemui Anjathi Devi untuk memohon ampun. Tapi khabarnya dia sudah meninggal dunia. Kami menyucikan diri di Sungai Gangga. Kami lakukan pooja saban hari di kuil Vishnu. Kami berzikir setiap malam.”

Rama mengeluh. Menggeleng. Memejamkan mata. Air matakah itu di kelopak matanya?

“Itu sahaja?” tanya Maharishyi Kaswa sementara Maharishyi Valmiki terus-menerus duduk membisu sambil tekun mencatatkan segala butir perbincangan.

“Ya. Itulah sahaja arahan Bibasenam.”

Maharishyi Kala dan Maharishyi Kaswa berbalas pandangan. Masing-masing kurang faham mengapa agaknya dosa Rama dan Sita belum terampun; kalau benar mereka berdua sudah melakukan segala apa yang diarahkan oleh Bibasenam. Masakan Bibasenam tersilap memberikan arahan.

“Aneh. Jika begitu, mengapa tiada lagi utusan pengampunan?” Diamatinya lagi gerak angin dan sinar mentari. Mencari kalau-kalau perutusan pengampunan sudah sampai.

“Adinda menyesal, kanda.” Seketika Sita melupakan kehadiran ketiga-tiga maharishyi itu di hadapannya.

“Masakan dosa kita terlalu besar sehingga tidak mungkin diberi pengampunan sampai bila-bila.”
Rama meredakan tangisan isterinya.

“Bertenanglah, adinda. Tuhan Maha Pengampun. Kita sudah menyesali tindakan bodoh kita. Kita insaf. Sekarang terpulanglah kepada Dewata untuk sama ada mahu memaafkan atau tidak segala dosa kita.”

Maharishyi Kala mentafsir lagi suara angin. Kemudian mengeluh. Maharishyi Kaswa pula mengusap-usap janggutnya sambil membetulkan kedudukan di bawah pokok bodhi.

“Mungkin juga tempoh setahun belum memadai untuk menebus dosa kalian sehabis-habisnya.”

Maharishyi Kala dan Maharishyi Valmiki memandang Maharishyi Kaswa. Rama dan Sita turut memandangnya.



Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/08/04/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-51/

No comments: