Monday, July 02, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 41


Aku menyuruh Tamnat Gangga menunggu di luar sementara aku pergi mendapatkan ibu. Mahu rasanya aku menceritakan kepada ibu tentang Tamnat Gangga secara terperinci.
“Syy! Jangan bising. Tilewi sedang tidur,” kata ibu sebaik sahaja aku masuk ke biliknya.
Tilewi? Oh, anak itu. Adik aku!
Tilewi sedang tidur di peraduan. Wajahnya tenang. Sita duduk di sisi katil dan mengipas badan kanak-kanak berumur sekitar empat belas tahun itu.
“Belum selesai?”
“Hm?”
“Perang belum selesai lagi?”
“Belum. Itulah sebabnya Rama mengutuskan saya datang ke sini.”
“Untuk apa?” pintas ibu. “Untuk membawa lari aku dan Tilewi dari istana ini? Bukankah sudah aku katakan dahulu bahawa aku tidak sanggup disentuh oleh seekor kera?”
Aku hanya tertunduk tanpa mampu berkata apa-apa.
“Biar Rama menunjukkan keperwiraannya menentang Ravana. Hanya selepas itu aku akan meninggalkan istana ini dengan penuh maruah. Itu pun jika Rama sendiri yang datang menjemput.”
Aku cuba menerangkan perkara sebenar tetapi tidak sempat.
“Lagi pun,” ibu meneruskan tanpa memberikan aku peluang untuk menjelaskan tujuan sebenar kedatanganku, “aku cukup selesa di sini. Tilewi selamat di sini. Selagi Ravana tetap yakin bahawa Tilewi adalah zuriatnya, selagi itulah Tilewi tidak akan menghadapi apa-apa masalah.”
Aku masih tidak sempat menjelaskan perkara sebenar.
“Ravana juga tidak mungkin akan terfikir untuk menghantar Tilewi ke medan perang untuk menentang Rama. Tilewi masih terlalu muda untuk semua itu. Apa yang pasti, Tilewi cukup selesa dan selamat di sini buat masa ini.”
“Sebenarnya. …”
“Apa pula yang sebenarnya?” ibu terus memintas sebelum aku sempat menerangkan tujuan sebenar kedatanganku. “Rama menyuruh kau mengambil Tilewi? Aku tidak sanggup melepaskannya pergi. Tilewi anak tunggal kami!”
Aduh! Begitu hinakah aku sehingga ibu masih tidak sanggup mengatakan bahawa aku juga anaknya?
“Tilewi satu-satunya anakku. Aku tidak sanggup berpisah dengannya. Dia masih memerlukan kasih sayangku. Dia juga lebih selamat tinggal bersamaku. Elok kau pergi sahaja dari sini. Pergilah bantu apa yang patut di medan perang. Jangan datang bersembunyi di sini bak seekor kera yang dayus.”
Telingaku bagaikan terbakar hangus. Mujurlah aku berjaya memujuk diriku supaya bertenang.
Pada waktu itu, Tilewi tersedar daripada tidur.

Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/30/hanuman-suara-hati-%E2%80%93-bahagian-41/

No comments: