Monday, July 23, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 47


Hanya kerana seorang wanita, banyak nyawa terkorban. Indrajit mati lantaran tindakan taat setianya yang berlebihan; biarpun dia sedar bahawa dia berada di pihak yang bersalah.

Matinya memikul dosa. Akan tetapi, semasa tubuh Indrajit jatuh menghempas bumi, dia menjeritkan nama bapanya. Bapa yang baginya telah membesarkannya dengan kasih-sayang.

Bukankah dia lebih bertuah berbanding aku? Kalau aku dijemput Yama sekarang ini pun, aku masih tidak berhak memanggil Rama sebagai ayahku. Kalau aku cuai, ayah dan ibu boleh terbakar hangus.
Begitulah. Harapanku agar segala-galanya pulih seperti yang aku harapkan setelah kematian Ravana tidak menjadi kenyataan.

Ayah seolah-olah lupa bahawa sebenarnya, segala malapetaka yang menimpa dirinya adalah balasan Tuhan akibat tindakannya sendiri pada suatu masa dahulu.

Sesudah aspirasinya tercapai, ayah semacam diselubungi rasa keteledoran. Kealpaan. Setelah memperoleh kembali isteri dan anaknya, Tilewi, ayah lupa bahawa penculikan ibu juga adalah lantaran tindakan mereka berdua dahulu.

Selepas kematian Ravana, Bibasenam dirajakan di Langkapuri. Kemudian aku menerbangkan Rama, Sita, Surgiwa dan saki-baki tentera ke negeri Kishikindha.

Pesta besar-besaran diadakan di sana selama tujuh hari tujuh malam. Barisan lampu juga dipasang di setiap rumah sebagai tanda memperingati peristiwa kejayaan Rama membunuh Ravana.

Kemudian, Rama membuka sebuah negeri di Lembah Sindhu. Kaum Vanara sekali lagi dikerah membina istana tujuh lapis bertingkat tujuh belas di kaki Gunung Maha Purita.

Istana ini serta kota yang mengelilinginya menjadi bukti ketinggian tamadun. Sistem perparitan bawah tanah serta teknologi canggih yang digunakan pasti menjadi sebutan ramai zaman-berzaman.

Apabila istana siap, Rama bersemayam di sana bersama-sama isterinya. Mereka mendesak aku supaya terus tinggal bersama-sama mereka. Tentulah aku terima!

Aku membuka mata dan melihat ke arah istana di kaki Gunung Maha Purita. Ia amat jelas kelihatan dari sisi makam Tamnat Gangga. Kalau aku berdiri berhampiran tingkap istana di tingkat ketujuh pun aku akan dapat melihat makam Tamnat Gangga dengan jelas.

Tetapi cara itu tidak berguna. Aku mahu benar-benar berada di sisi makam anakku. Berada di sini sentiasa membuatkan aku teringat kembali akan sejarah silam diriku.

Cuma, pada hari ini, aku rasa aku sedang menghabiskan lebih banyak masa terkenang kembali akan rentetan peristiwa itu.

Aku cuba untuk tidak kembali hanyut dalam lamunan ke masa lalu. Akan tetapi, anehnya, pada saat itu juga fikiranku kembali melayang kepada kejadian yang berlaku hampir setahun lalu.

Malam itu, Rama menyerahkan wasiatnya kepada Tilewi. Rama menamakan aku sebagai penggantinya. Akan tetapi, dalam wasiat itu tidak disebut langsung bahawa aku adalah anaknya. Cuma dinyatakan bahawa kerajaan ini diserahkan kepadaku sebagai tanda mengenang segala jasaku terhadap Rama.


No comments: