Sedang aku bersendirian di luar istana selepas menghadiri upacara penyerahan wasiat, ayah mendatangiku. Kami pun duduk bersama-sama di bawah cahaya bulan menikmati keindahan pelangi lunar.
“Hanuman, maafkan aku atas segala tindakanku pada masa lalu. Aku faham betapa kecewanya kau atas kematian anak kau itu. Ada kalanya manusia biasa seperti aku mengambil tindakan yang tidak betul akibat hasutan suara hati yang terlalu mementingkan diri sendiri.”
Ayah meramas bahu kiriku. Bukankah elok jika perbuatan ini dilakukannya dengan menyebut aku sebagai anaknya? Apalah gunanya ayah menyerahkan Kerajaan Indus kepadaku sedangkan ayah tidak mengakui aku anaknya!
“Mengapa perlu diceritakan semua ini kepada saya? Saya hanyalah seekor kera putih …”
Ayah ketawa kecil sambil memegang tapak tanganku di antara jari-jemari kasarnya.
“Aku sudah menyedari kebolehan kau. Kau handal. Entah apalah yang telah aku lakukan tanpa sokongan kau selepas kematian Letchumanen dahulu. Aku pasti bahawa keturunan Dravida akan tetap mengenang kau sebagai lambang keberanian dan kesetiaan.”
Aku masih terus berdiam sementara ayah meramas jejariku.
“Kau tidak perlu merendah diri lagi. Engkaulah yang menjadi penggantiku memerintah kerajaan ini sekarang.”
“Mengapa?” Aku merenung ayah dengan penuh tanda tanya.
“Aku minta bantuan terakhir daripada kau. Pada awal pagi esok, umumkan bahawa aku dan isteriku sudah mencapai nirwana,” kata ayah dengan suara yang rendah.
“Meninggal dunia?”
Aku terkejut, tentunya. Aku memegang erat tangan ayah.
“Ya. Dan kau ganti tempatku memerintah.”
“Apakah maksud semua ini?” Aku bingung.
“Aku mahu kau menyimpan satu rahsia. Hanya kita bertiga yang boleh tahu,” ayah membisikkan ke telingaku.
“Rahsia?”
“Aku dan Sita akan menyamar menjadi orang kebanyakan. Kami mahu pergi menebus dosa.”
“Dosa?”
“Aku tidak dapat menceritakannya. Dan kau mungkin tidak akan berupaya untuk memahaminya.”
Aku faham, ayah! Tapi pada saat segenting ini pun aku tidak dapat menyatakan demikian kerana aku segera teringat akan pesanan Ibu Anjathi.
Aku tidak boleh memecahkan rahsia bahawa Rama adalah ayahku selagi dia sendiri tidak membuat pengakuan terbuka di khalayak ramai. Jika aku melanggar sumpahan itu, maka ayah dan ibu akan serta-merta terbakar hangus.
“Mungkin saya faham.”
Aku tenung ke dalam mata ayah. Ayah menggeleng lemah.
Ayah tahu siapa aku. Dan aku tahu hal itu. Aku tahu siapa ayah. Tapi ayah tidak tahu hal itu!
“Tidak, Hanuman. Kami berdua masih terikat pada sumpah yang kami lafazkan dua puluh sembilan tahun lalu. Kami terpaksa menebus dahulu dosa itu.”
“Mengapa pula perlu meninggalkan takhta?”
“Itu langkah pertama ke arah menebus dosa. Bibasenam yang menujum hal itu. Apa pun, kau tidak perlu faham apa yang sebenarnya telah dan sedang berlaku,” kata ayah.
No comments:
Post a Comment