Monday, March 05, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 9

Aku sudah sampai di pintu masuk kawasan perkuburan. Makam Tamnat Gangga tersergam indah di bahagian paling tengah tanah perkuburan.Sebelum melangkah masuk ke dalam kawasan berpagar itu, aku mencedok air dari telaga untuk membasuh muka.

Kocakan air jernih di dalam telaga itu sekali lagi mengembalikan ingatanku pada persetua lebih tiga puluh tahun yang lalu.Selepas berjaya memiliki Sita, Rama bersedia untuk berangkat pulang ke istana Dasaratha di Ayodhya.

Sementara itu, di Ayodhya pula sudah timbul suatu masalah. Kikewi, iaitu isteri kedua Dasaratha, mahukan supaya anaknya menjadi pengganti Dasaratha sebagai raja di Ayodhya.Dasaratha pula termakan pujuk dan hasutan Kikewi. Lalu, diangkatnyalah Bharata menjadi yuvaraja yakni raja muda.

Apabila Rama pulang ke Ayodhya, dia sangat kecewa mendengar cerita Dasaratha. Lalu dia membawa diri ke hutan. Dia membawa Sita bersamanya.Letchumanen berkeras untuk turut serta. Lalu dibenarkan oleh Rama.

Setelah lama berjalan meredah hutan, mereka menemui Maharishyi Kaswa yang sedang bertapa di bawah sebatang pohon neem.Serta-merta Maharishyi Kaswa sedar bahawa Rama adalah orang yang bakal membunuh Ravana.“Wahai Maharishyi,” sapa Rama, “adakah punca air di sini? Kami bertiga sangat dahaga.”

“Teruskanlah perjalanan. Tidak jauh dari sini ada dua telaga; sebuah berair keruh dan sebuah berair jernih. Minumlah air dari telaga berair keruh itu. Nescaya kalian akan menerima berkat Brahma,” nasihatnya.
Rama, Letchumanen dan Sita meneruskan perjalanan. Tidak lama selepas itu, mereka menemui telaga yang dimaksudkan.

Letchumanen menyuruh Rama dan Sita berehat di bawah sebatang pokok ru sementara dia pergi mengambil air untuk meredakan haus.Letchumanen mencedok air dari telaga berair keruh dan membawanya kepada Rama dan Sita di bawah pokok ru.

Akan tetapi mereka berdua sudah tiada di situ. Letchumanen memandang sekeliling. Tiada kelibat abang dan kakak iparnya.Letchumanen amat terkejut apabila terlihat dua ekor kera di sisi telaga berair jernih yang bersebelahan dengan telaga berair keruh.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/03/03/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-9/

No comments: