Monday, March 19, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 12


“Sita,” kata Rama seketika kemudian. “Cepat ambil semula anak kera itu. Biar kita bunuh sahaja dengan segera.”

“Jangan!”

Anjathi Devi memelukku. Air matanya turun memanaskan pipiku. Dikucupnya pipiku.
“Biarlah anak ini bersamaku. Aku akan memeliharanya.”

Anjathi Devi merenung wajahku.

“Tapi ingatlah, wahai Rama.” Muka Anjathi Devi memerah semasa dia berkata begitu. “Kau pasti akan menyesali perbuatan ini. Tuhan pasti membalas kekejaman kau. Kau mahu membuang anak kecil yang masih memerlukan kasih sayang ibu bapa.”

Anjathi Devi memandang wajahku sekilas lalu sebelum kembali memandang ke arah Rama, Sita dan Letchumanen.

“Suatu hari nanti, kau akan kehilangan apa yang paling kau sayangi. Pada waktu itu nanti, hanya ini yang akan dapat membantu kau memperolehnya kembali.”

Rama ketawa. Letchumanen ketawa. Sita pula hanya berdiam diri. Pucat wajah putihnya.
“Aku? Rama yang perkasa ini dalam bahaya? Usah mengarutlah, Anjathi Devi. Selagi namaku tetap Ramachandra, selagi itu tidak akan ada satu apa kuasa pun di mayapada ini yang akan berupaya mempengapakan aku!”

“Ya. Cuma kehadiran anak kera ini yang akan mencemarkan nama baik kami,” sambung Sita.
Anjathi Devi terdiam. Direnungnya aku yang tidak memahami apa-apa pada waktu itu. Diciumnya ubun-ubunku yang masih lembik. Diusapnya rambut putih di kepalaku.

“Simpanlah subang berlian ini sebagai upah menjaga kera ini.”
Sambil berkata begitu, Rama menghulurkan subang yang dipakainya sejak kecil.

“Tapi ingat, kalau anak kera ini bertindak mendedahkan kepada sesiapa bahawa dia sebenarnya anak aku, nescaya akan leburlah tubuhnya pada saat itu juga.”

Rama merenung tepat ke arah Anjathi Devi yang mendukung aku.
“Tuhan menjadi saksi terhadap sumpah ini. Tubuh kera ini wajib hancur lebur sebaik sahaja dia memberitahu walau siapa sahaja bahawa dia sebenarnya anak aku!” Rama menegaskan.

Anjathi Devi terkejut. Namun diambilnya juga subang yang Rama hulurkan. Ditenungnya. Lama.
“Suatu hari nanti, kau sendiri akan mengakui kera ini sebagai anak kandung kau. Untuk itu, aku pakaikan subang yang kau berikan ini pada telinga kirinya, wahai Rama.”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/03/11/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-12/

No comments: