Saturday, March 10, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 11


Sita bergegas turun dari pohon bodhi. Rama terus meronta. Letchumanen melepaskan Rama. Sita berlari pantas ke arahnya.Rama jatuh ke dalam telaga berair keruh. Sita turut serta.Selepas seketika, Letchumanen membantu Rama dan Sita keluar dari dalam telaga. Mereka sudah bertukar menjadi manusia seperti sedia kala. Letchumanen menceritakan segala apa yang terjadi.

Cukup masa sepuluh bulan, Sita melahirkan anak sulung. Tetapi kegembiraan mereka bertiga terus lenyap apabila mendapati bahawa bayi yang lahir adalah seekor anak kera! Seekor anak kera berwarna putih.

“Malulah kalau seorang putera raja mendapat anak kera!” Kata Letchumanen. “Tentu anak ini terhasil dalam kandungan semasa kekanda berua menjadi kera dahulu.”

Setelah berbincang sebentar, mereka mengambil keputusan nekad untuk membuang anak itu. Mereka bersumpah tidak akan memecahkan rahsia tentang kelahiran anak kera tersebut sampai mati.

Lalu, anak kera itu dibuang ke laut dengan harapan ia akan mati lemas. Tapi mujur sempat diselamatkan oleh Anjathi Devi yang bertapa di laut.

Anjathi Devi ialah seorang wanita tua yang kuat beribadat. Dia menyambut anak kera yang dilontarkan oleh Rama ke dalam Laut Malgudi.

Atas rayuan Anjathi Devi, anak kera itu tidak jadi dibunuh. Sebaliknya diserahkan kepada wanita tua berkenaan.

“Jangan sesekali beritahu sesiapa tentang asal-usul kera ini,” Rama memberi amaran.

“Kalian akan menyesali perbuatan ini,” Anjathi Devi menceritakan firasatnya.

“Kami menyesal melahirkannya,” pantas sahaja Rama memintas sebelum wanita itu sempat meneruskan kata-katanya.

“Mengucaplah!” Anjathi Devi tidak pernah menyangka bahawa Rama yang diperkatakan orang sebagai wira yang perkasa itu sanggup berkata demikian. “Anak ini adalah pemberian Pencipta. Terimalah dia semula.”

“Jangan cuba menukar fikiran kami.” Letchumanen menghampiri Rama. “Kami sudah bersumpah untuk tidak mengakui kera ini sebagai anak Rama dan Sita. Kera hodoh ini bakal membawa malu kepada jurai keturunan Rama jika ia terus bersama-sama kami.”

“Mengucaplah. … Anak ini ada kelebihannya. Dia bakal mengharumkan nama kaum Dravida suatu masa nanti. Fikirkanlah semasak-masaknya. Jangan menyesal kemudian.”

Rama merenung Anjathi Devi. Agak lama juga.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/03/10/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-11/

No comments: