Saturday, March 24, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 15


“Pergilah. Tengok apa yang berlaku,” kata Sita.

“Saya rasa itu bukan kekanda Rama. Mungkin hantu syaitan yang punya muslihat.”

“Pergilah,” desak Sita.

“Masakan Rama yang perkasa itu dalam kesulitan,” Letchumanen cuba meyakinkan kakak iparnya.
“Kau mahu pergi atau tidak?” Kasar suara Sita.

Terkejut besar Letchumanen melihat perubahan sikap pada diri Sita. Ke mana hilang sifat lemah-lembutnya? Ah, mungkin lantaran rasa cinta yang terlalu mendalam terhadap suaminya. Demikian Letchumanen membuat andaian.

“Bukankah kekanda Rama menyuruh saya supaya menunggu rumah dan menjaga kekanda Sita?”

“Memang sudah aku duga sejak dahulu,” sampuk Sita. “Kau ternyata memang berahikan aku.”

“Kekanda Sita!”

“Kau mahu kekanda Rama mati supaya kau pula boleh memiliki aku!”

“Kekanda Sita!”

Terasa lemah segala nadi Letchumanen. Ke mana hilangnya peribadi mulia Sita yang diagung-agungkannya selama ini?

Lalu, dengan hati yang berat, Letchumanen pergi meninjau dari mana datangnya suara meminta tolong itu. Suara yang Letchumanen pasti benar bukan suara abangnya.



Namun, apalah daya Letchumanen. Tidakkah hina dituduh cuba merampas isteri abang kandungnya sendiri.
Sepemergian Letchumanen, Koorva datang memujuk Sita supaya mengikutnya dan menjadi permaisuri di kerajaan Ravana. Meninggalkan hidup tersisih bersama-sama Rama yang memilih untuk hidup sederhana.

“Mustahil. Khabarkan tidak boleh kepada Maharaja Ravana. Aku sudah diperisterikan oleh Rama. Adat kaum Dravida menghalang wanita bersuami dua.”

“Kau mahu terus hidup terseksa bersama-sama Rama di dalam hutan ini? Bukankah semasa berkahwin dengannya dahulu, Rama berjanji akan menjadikan kau permaisuri di Ayodhya?”

“Usahlah kau bangkitkan lagi kisah lama. Sakit hati aku mendengarnya. …”

Koorva terus memujuk Sita. Sita pula terus mencari alasan untuk tidak berlaku curang terhadap suaminya.
Maka, akhirnya Koorva melarikan Sita secara paksa. Ravana sudah sedia menanti dengan rata ajaibnya tidak jauh dari situ. Lalu, Sita pun dilarikan ke istana Ravana yang baru sahaja siap dibina di Langkapuri.
Lama selepas itu, pulanglah Rama dan Letchumanen ke pondok mereka. Seekor burung jentayu menceritakan kepada mereka bahawa Ravana telah menculik Sita ke sekian tempat.

“Aduhai adindaku sayang, tidak pernah kuduga begini sekali jadinya nasib kita,” rintih Rama.

Buat pertama kali, Rama menangis kerana kehilangan orang yang paling disayanginya. Tangisan Rama diiringi dentingan loceng besar kuil Visnu di hadapan pondok.

Para dewa, para malaikat bersimpati. Tapi Rama terpaksa melalui semua ini kerana itulah pilihan yang dibuatnya. Itulah balasan yang dijanjikan lantaran perbuatan pasangan suami-isteri itu pada masa lalu.

“Lihatlah betapa mudahnya seorang wira gagal melindungi isterinya,” tangis Rama. “Lihatlah apa yang termampu aku lakukan.”

Dentingan genta kuil Visnu bergema. Makin lama, makin kuat memalu gegendang telinga Rama. Makin hilang suara Sita yang dapat Rama rasakan dalam hati. Dan Rama pun rebah.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/03/24/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-15/

No comments: