“Kau kahwinlah dengan aku, wahai pemuda kacak,” kata seorang perempuan yang tiba-tiba muncul di pintu rumah mereka dengan sanggul dihiasi bunga cempaka.
“Maafkan aku, wahai gadis rupawan. Aku sudahpun beristeri,” Rama merangkul tangan Sita di sisi. Sita tersenyum.
“Gadis mentah ini kau jadikan isteri?”
Surpanakha ternyata cemburu. Ternyata mengiri kejelitaan Sita. Amat cemburu melihat kemesraan Rama dan Sita.
Bukankah pemuda sesasa Rama layak menjadi suamiku? Demikian fikirnya.
“Kau ikutlah aku,” sambungnya. “Hutan ini dipenuhi raksasa dan abang aku rajanya. Tentu dia akan melindungi kita berdua. Isteri, kau serahkan kepada adik kau.”
“Mustahil!” Rama semakin erat merangkul Sita.
“Sudah enam tahun kau bersamanya di pondok ini tapi dia belum juga berupaya melahirkan zuriat. Eloklah kau tinggalkan saja perempuan mandul ini.”
“Tidak!”
Merah muka Rama. Merah lagi muka Sita. Malu digelar wanita mandul yang tidak mampu melahirkan anak.
Kemarahan Surpanakha berbaur dengan rasa cemburu. Badan rampingnya kembali ke asal. Rambut mengerbang.
Dialah Surpanakha, adik Ravana. Diterkamnya Sita yang sempat mengelak.
Letchumanen bertindak tangkas mengerat hidung peset Surpanakha. Lalu larilah dia kepada abangnya dengan muslihat terancang dalam kepala.
“Adinda minta Sita datang untuk kekanda jadikan isteri. Wanita secantik itu hanya layak menjadi isteri kekanda. …” Surpanakha memuji Sita.
“Tapi anak-anak Dasaratha itu menghalang. Lihat apa yang dibuat pada hidung adinda. Patutkah mereka itu dibiarkan? Kekanda wajib merampas Sita. Wajib membalas perbuatan anak-anak Dasaratha itu!”
Sepuluh kepala Ravana menyala. Dua puluh penumbuk digenggam. Tapi cepat-cepat wajahnya tersenyum.
Jelitakah Sita? Demikian tanya hatinya, tidak sabar.
Lalu, Ravana mengatur rancangan bagi mendapatkan Sita. Dihantarnya raksasa kecil Koorva untuk mengintip pergerakan manusia bertiga itu.
Pada suatu hari, setelah Rama keluar berburu, Koorva bersembunyi di sebalik pohon-pohon buluh tidak berapa jauh dari pondok Sita.
“Tolong! Tolong!” Jeritnya dengan meniru bulat-bulat suara Rama yang serak-serak basah.
Sita tergamam. Terlalu sukar pula bagi Letchumanen untuk mempercayai bahawa itu adalah suara abangnya.
“Adinda Letchumanen, tolonglah kekanda!”
Suara Rama masih jelas. Sita mula gelisah.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/03/18/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-14/
No comments:
Post a Comment