Monday, March 19, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 13


Setelah berurusan dengan Anjathi Devi, maka Rama, Sita dan Letchumanen berjalan lagi meredah hutan.
Hari demi hari, mereka terus cuba melupakan kisah lalu. Mereka juga bersumpah untuk tidak bertemu semula dengan Anjathi Devi. Biarlah episod hitam itu tamat di situ sahaja. Mereka mahu membina hidup baru yang bahagia.

Hampir tujuh hari mereka berjalan tanpa henti, akhirnya sampai di suatu tempat yang dipenuhi pokok-pokok buluh di tebing sebatang sungai.

“Kita tebang rimbunan buluh ini dan kita buat tempat tinggal di sini,” kata Rama kepada adiknya.
Dalam masa tiga hari, berdirilah sebuah pondok lengkap dengan sebuah kuil di hadapannya. Itulah yang tinggal bagi Rama, Sita dan Letchumanen.

“Ampun, tuanku.”

Suara parau itu mengejutkan aku daripada lamunan. Pencedok air aku letakkan semula di sisi telaga. Penjaga kubur sedang menyembah di hadapanku.

“Ampun, tuanku,” ulangnya.

Aku senyum padanya. Dia tentu mahu mengiringiku ke makam Tamnat Gangga. Selalu juga dia menawarkan diri untuk membersihkan makam Tamnat Gangga bagi pihakku setiap pagi.

Setiap kali itu juga aku pasti menolak dengan cara yang baik. Aku mahu tanganku sendiri yang membersihkan makam itu. Baru puas rasa dalam hati.

“Hamba sedia melakukan apa saja yang tuanku arahkan. Mintalah apa saja, tuanku.”

“Tidak perlulah. Terima kasih saja,” aku menolak khidmatnya dengan selembut mungkin.

Hati budi rakyat perlu sentiasa dijaga. Pemerintah yang tidak tahu menghormati rakyat pasti tidak akan kekal lama di atas takhta, di atas bumi, mahupun dalam hati rakyat jelata. Namanya juga akan segera hilang ditelan zaman.

Si penjaga kubur berlalu pergi. Aku melangkah ke arah makan Tamnat Gangga. Sambil berjalan, aku memetik bunga pecah periuk dan bunga raya dadu yang tumbuh di sepanjang jalan masuk. Boleh aku taburkan di makam Tamnat Gangga sebentar lagi sesudah merenjiskan air mawar.

Di mana lamunanku terhenti tadi? Ya … Rama, Sita dan Letchumanen berusaha memulakan hidup serba baru di dalam hutan.

Enam tahun berlalu. Namun, hidup mereka tetap tidak aman. Mereka telah membuang anak yang diutus oleh Brahma. Akibatnya, penderitaan dan dugaan Dewata mendatangi mereka dalam pelbagai bentuk dan rupa.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/living/2012/03/17/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-13/

No comments: