Monday, February 13, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 4


“Mengucap, tuanku! Itu hanyalah mainan fikiran. Mimpi hanyalah mainan tidur. Jangan biarkan mimpi-mimpi buruk seperti itu mengganggu ketenangan jiwa tuanku.”Maramanden datang berdiri di sisiku. Dia terus memegang bahuku. Aku membenarkan.Memang antara kami tidak timbul perasaan takbur. Aku lebih suka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua orang.Raja dan rakyat adalah sama sahaja di sisi Tuhan. Itu peganganku. Persetankan raja-raja yang menganggap diri mereka sebagai bayangan Tuhan! Ada balasan menanti mereka di akhirat.

“Apa agaknya maksud mimpi itu?” Aku cuba mencungkil pendapat Maramanden berhubung mimpiku.
Aneh, bukan? Aku berupaya masuk ke dalam mimpi orang yang aku sayang; tetapi aku tidak dianugerahkan kebolehan mentafsir mimpi aku sendiri.Aku agak risau juga memikirkan kemungkinan yang terkandung dalam mimpi itu: Dua musafir itu pulang ke istana, tetapi bukan aku yang memerintah kerajaan ini!
“Tuanku jangan terlalu percaya pada mimpi. Lupakan sahaja mimpi itu. Bukankah tuanku perlu pergi ke makam Tamnat Gangga sekarang?”Masakan aku terlupa! Setiap pagi, sejak enam tahun lalu, aku ke makam Tamnat Gangga.Berada di sisi makam itu memberikan semacam ketenangan kepada jiwaku. Ia mengajarku erti pengorbanan. Ia mengajarku erti kasih sayang.

Sesungguhnya kematian menyedarkan penghuni alam tentang kuasa mutlak Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya.Tanpa membuang masa. Aku berangkat ke makam Tamnat Gangga yang terletak kurang lebih dua pelaung dari istana.Aku pergi bersendirian sahaja. Aku lebih suka begitu. Lagipun, buat apa perlu membawa seribu pengiring istana sedangkan aku pergi ke sana atas urusan peribadi.Demi Tuhan, aku tidak mahu menjadi pemerintah yang menggunakan khidmat rakyat untuk kepentingan diri.Pemerintah sebegitu tidak akan lama bertahan. Pemerintah seperti itu akan jatuh apabila rakyat yang ditindas bangkit berjuang menuntut keadilan.Sambil berjalan menuju ke makam Tamnat Gangga, aku mula terkenang akan Rama dan Sita. Hari ini genap setahun pemergian mereka.Entah mengapa fikiranku tiba-tiba sahaja melayang jauh. Lalu aku pun terkenang kembali segala kejadian masa silam.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/12/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-4/

No comments: