Monday, February 20, 2012

Hanuman: Potret Diri – Bahagian 5

Begitulah rendahnya nilai seorang wanita. Bagaimana pula perasaan Dasaratha jika ibunya yang diminta oleh Ravana? Sanggupkah dilepaskannya sebagaimana dia melepaskan Mandodari?Selagi ada orang seperti Dasaratha, selagi itulah wanita akan kekal sebagai hamba abdi yang boleh dijual-beli.

Pernah Belia Raja, iaitu raja kera, menceritakan kepadaku kisah Dasaratha sewaktu aku bersamanya di negeri Kishikindha dahulu.Dasaratha adalah raja jurai keturunan Dravida di Ayodhya. Dia beristerikan Mandodari yang merupakan puteri buluh betung.

Perkahwinan Dasaratha dan Mandodari menghasilkan dua anak lelaki yang diberi nama Ramachandran atau Rama dan Letchumanen. Isteri kedua Dasaratha yang bernama Kikewi pula melahirkan Bharata.

Sementara itu, Ravana adalah ketua jurai keturunan Arya. Dia melakukan pertapaan yang hebat memuja Brahma.Akhirnya, Brahma muncul di hadapan Ravana dan berjanji akan memenuhi tiga permintaan Ravana. Ravana bertindak pantas mengemukakan permintaannya.

Pertama, Ravana meminta Brahma menyembunyikan nyawa Ravana di satu tempat yang mana hanya mereka berdua tahu.Kedua, Ravana meminta supaya Brahma tidak memberitahu sesiapa pun di mana letaknya nyawa Ravana.Dan ketiga, Brahma tidak akan membunuh Ravana dengan tangannya sendiri.

Brahma sangat terkejut mendengar permintaan Ravana. Tetapi Brahma terpaksa memenuhi permintaan itu kerana harus berpegang pada janji.Maka, jadilah Ravana seorang raja yang kebal. Para dewa sendiri tidak dapat menentangnya.Ravana telah pergi ke kayangan dan berkahwin dengan seorang puteri di sana. Lalu, lahirlah Indrajit.

Kemudian, apabila turun semula ke bumi, Ravana terdengar khabar tentang Dasaratha yang memperisterikan puteri buluh betung.Menurut cerita Belia Raja, Ravana meminta Dasaratha menyerahkan Mandodari kepadanya. Dasaratha membenarkan sahaja!

Mandodari pula memohon petunjuk Brahma. Lagu-lagu pujaan yang dinyanyikannya semalaman memohon simpati Tuhan membuahkan hasil apabila wujud seorang puteri replika.Demikianlah, demi cinta terhadap suaminya, Mandodari mencipta Mandudaki untuk diserahkan kepada Ravana.

Keesokan harinya, setelah Ravana pergi bersama-sama Mandudaki yang difikirnya Mandodari, Dasaratha terkejut melihat isterinya masih ada.Pada malam itu, dia pergi meniduri Mandudaki di istana Ravana yang terletak di Panggala.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/18/hanuman-potret-diri-%e2%80%93-bahagian-5/

No comments: