Saturday, February 11, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 3

Rama tidak pernah mengakui kelayakan sebenar yang aku miliki. Cuma, sebelum dia pergi tahun lalu, dia menyerahkan cokmarnya kepadaku.“Engkaulah penggantiku, Hanuman,” katanya.
Tapi bukankah aku hanya anak angkat Rama? Bukankah itu sahaja kedudukan tertinggi yang Rama anugerahkan kepadaku?

Bukan itu soalnya kini, kukira. Aku perlu memikirkan hal-hal yang kontemporari.Kerajaan sudah di tangan. Bukan ini masanya mempersoalkan kelayakan.Akulah kera putih itu. Pengikut setia Rama. Aku kini menggantikan tempatnya memerintah kerajaan yang maha luas ini.Tiada musuh. Bukankah semuanya sudah Rama uruskan? Tiada masalah. Bukankah semuanya sudah Rama uruskan? Aman.Seluruh isi istana tujuh belas tingkat aman. Para penduduk sekitar dua puluh enam ribu orang, semuanya hidup aman damai.
Apa lagi yang perlu mereka risaukan? Semuanya sudah Rama uruskan sebelum dia pergi.
Demikianlah seorang raja yang rakyat kasihi. Hingga dianggap sebagai jelmaan Vishnu sendiri. Dan ada pula ura-ura mahu membina kuil di tempat kelahirannya di Ayodhya!Demikianlah Rama berjaya mendapat tempat istimewa dalam hati rakyat.

Tapi dalam hatiku? Amankah; tenangkah?

“Dirgahayu, tuanku,” sembah Maramanden.

Tiba-tiba sahaja dia sudah berdiri di hadapanku di balairung. Entah sudah berapa lama dia berdiri di situ.
Mungkin aku terlalu leka mengimbas kejadian masa lalu sehingga tidak menyedari kedatangannya tadi.

“Tuanku sihat sekarang?”

“Kenapa dengan saya?”

“Ampun, tuanku. Malam tadi, tuanku mengigau. …”

“Mengigau?”

“Benar, tuanku. Mungkin perasaan tuanku terganggu mengenangkan Rama dan Sita yang pergi meninggalkan kita semua setahun lalu. Tuanku meracau dalam tidur. Mungkin bermimpi.”

Istana tujuh lapis bertingkat tujuh belas tersergam indah di Gunung Maha Purita. Ular danu melengkungi puncak istana.

Sepasang musafir berlari masuk ke balairung. Maramanden menyambut mereka.
Di atas singgahsana, duduk seorang manusia. Tubuhnya tegap berotot. Wajahnya bersinar-sinar. Bibir tersenyum gagah. Matanya bercahaya. Subang di telinga kirinya berkilau.

“Saya bermimpi, mamanda. …”
“Mimpi yang bagaimana, tuanku?”
“Saya bermimpi, kononnya bukan saya yang duduk di singgahsana ini. …”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/11/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-3/

No comments: