Monday, February 20, 2012

Hanuman: Potret Diri – Bahagian 6 Hanuman: Potret Diri – Bahagian 6

Berbalik pada cerita Ravana pula, setelah memperoleh isteri Dasaratha, raksasa itu terasa amat gembira.
Dia mendukung Mandudaki, iaitu klon Mandodari, dengan sepuluh tangan. Tidak sabar untuk sampai ke istana bersama-sama hadiah yang diserahkan oleh Dasaratha.

Dalam perjalanan ke Panggala, Ravana bertemu Maharishyi Kaswa yang duduk di atas pokok sambil menjuntaikan kaki ke arah muka Ravana.Maharishyi Kaswa adalah seorang maharishyi yang sangat alim. Dia sedang melakukan pertapaan untuk memohon kesejahteraan dan keamanan di mayapada.

“Siapakah engkau, wahai manusia biadab; sedang berkelakuan seperti kera yang paling hina? Tidakkah kau tahu siapa aku?” Tengking Ravana.“Patutkah aku yang tua dan daif ini kau hina sebegitu rupa? Nescaya engkaulah nanti dibunuh oleh kera atau manusia.”

Ravana ketawa. Bergegar dua puluh bahunya.

Biarkan lelaki tua ini dengan sumpah serapahnya. Aku perlu segera sampai di istana, bisik kepalanya yang keenam.Setelah Ravana pergi, Maharishyi Kaswa meneruskan pertapaannya. Akhirnya, Brahma menjelma di hadapannya.

Maharishyi Kaswa memohon kepada Brahma agar diberi jaminan bahawa bumi akan aman setiap detik buat selama-lamanya.“Aku memuji kemuliaan hati kau kerana membuat permintaan demikian,” kata Brahma. “Tetapi keamanan tidak akan wujud selagi Ravana masih ada.”

Lalu Brahma menceritakan kepada Maharishyi Kaswa mengenai tiga permintaan Ravana dahulu.

“Tidak bolehkah Ravana dihapuskan? Adakah dunia akan selama-lamanya huru-hara?”“Aku telah menggantikan Mandodari dengan Mandudaki. Sekarang Ravana sedang membawa Mandudaki ke istananya,” Brahma menghuraikan.“Om, shanti, shanti, shanti,” sahut Maharishyi Kaswa.

“Tidak lama lagi, wanita itu akan melahirkan seorang anak. Jika anaknya lelaki, anak itu sendiri akan membunuh Ravana.”“Om, shanti, shanti, shanti.”

“Sebaliknya, jika anak itu perempuan, suami kepada anak itu akan membunuh Ravana. Tapi terpulang pada kebijaksanaan anak itu sendiri untuk mengetahui di mana letaknya nyawa Ravana.”“Om, shanti, shanti, shanti.”

“Sekiranya dia gagal, Ravana akan kekal kebal buat selama-lamanya.”“Tapi cukupkah seorang manusia biasa untuk membunuh Ravana yang perkasa?” Tanya Maharishyi Kaswa.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/19/hanuman-potret-diri-%e2%80%93-bahagian-6/

No comments: