Berbalik pada cerita Ravana pula, setelah memperoleh isteri Dasaratha, raksasa
itu terasa amat gembira.
Dia mendukung Mandudaki, iaitu klon Mandodari,
dengan sepuluh tangan. Tidak sabar untuk sampai ke istana bersama-sama hadiah
yang diserahkan oleh Dasaratha.
Dalam perjalanan ke Panggala, Ravana
bertemu Maharishyi Kaswa yang duduk di atas pokok sambil menjuntaikan kaki ke
arah muka Ravana.Maharishyi Kaswa adalah seorang maharishyi yang sangat
alim. Dia sedang melakukan pertapaan untuk memohon kesejahteraan dan keamanan di
mayapada.
“Siapakah engkau, wahai manusia biadab; sedang berkelakuan
seperti kera yang paling hina? Tidakkah kau tahu siapa aku?” Tengking
Ravana.“Patutkah aku yang tua dan daif ini kau hina sebegitu rupa?
Nescaya engkaulah nanti dibunuh oleh kera atau manusia.”
Ravana ketawa.
Bergegar dua puluh bahunya.
Biarkan lelaki tua ini dengan sumpah
serapahnya. Aku perlu segera sampai di istana, bisik kepalanya yang
keenam.Setelah Ravana pergi, Maharishyi Kaswa meneruskan pertapaannya.
Akhirnya, Brahma menjelma di hadapannya.
Maharishyi Kaswa memohon kepada
Brahma agar diberi jaminan bahawa bumi akan aman setiap detik buat
selama-lamanya.“Aku memuji kemuliaan hati kau kerana membuat permintaan
demikian,” kata Brahma. “Tetapi keamanan tidak akan wujud selagi Ravana masih
ada.”
Lalu Brahma menceritakan kepada Maharishyi Kaswa mengenai tiga
permintaan Ravana dahulu.
“Tidak bolehkah Ravana dihapuskan? Adakah dunia
akan selama-lamanya huru-hara?”“Aku telah menggantikan Mandodari dengan
Mandudaki. Sekarang Ravana sedang membawa Mandudaki ke istananya,” Brahma
menghuraikan.“Om, shanti, shanti, shanti,” sahut Maharishyi
Kaswa.
“Tidak lama lagi, wanita itu akan melahirkan seorang anak. Jika
anaknya lelaki, anak itu sendiri akan membunuh Ravana.”“Om, shanti,
shanti, shanti.”
“Sebaliknya, jika anak itu perempuan, suami kepada anak
itu akan membunuh Ravana. Tapi terpulang pada kebijaksanaan anak itu sendiri
untuk mengetahui di mana letaknya nyawa Ravana.”“Om, shanti, shanti,
shanti.”
“Sekiranya dia gagal, Ravana akan kekal kebal buat
selama-lamanya.”“Tapi cukupkah seorang manusia biasa untuk membunuh
Ravana yang perkasa?” Tanya Maharishyi Kaswa.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/19/hanuman-potret-diri-%e2%80%93-bahagian-6/