Wednesday, June 09, 2010

Kaum India pertaruh nasib kepada RMK-10

9 JUN — Lebih dua juta masyarakat India di negara ini sekali menaruh harapan dan keyakinan tinggi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Parlimen esok.Dalam erti kata lain, mereka sebut “Puthiya Nampikai”, yang bermaksud “harapan baru” dalam bahasa Tamil.


Begitulah senario yang dapat digambarkan di setiap wajah, hati dan perasaan masyarakat India setlepas beberapa rancangan Malaysia sebelum ini dikatakan tidak mencerminkan serta membawa aspirasi sebenar mereka sehingga munculnya suara yang lantang terhadap kerajaan.Implikasinya, ramai pemimpin utama MIC tersungkur pada Pilihan Raya Umum 2008 sehingga menjejaskan nama baik parti itu. Malah Barisan Nasional pula kehilangan sokongan masyarakat India buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun sejarah negara. MIC pula terpaksa bekerja keras untuk terus menjadi sebuah parti politik yang relevan mewakili suara masyarakat India.Banyak sudah diperkatakan, dibincangkan dan juga diperdebatkan mengenai RMK-10 ini khususnya dalam konteks hala tuju masa depan masyarakat India, selari dengan proses pembangunan negara menjelang 2020 nanti.Sudah tentu isu sensasi seperti gaji pekerja ladang dan taraf kehidupan, biasiswa pendidikan, pembangunan sekolah Tamil, peluang pekerjaan, isu warga negara antara elemen yang sering kali menjadi tumpuan di media massa, akan menjadi perhatian. Isu itu amat dekat dengan masyarakat India sejak 50 tahun dulu.

MIC yang dekat dengan kerajaan sudah mengemukakan 12 cadangan mengenai “Agenda Untuk Pembangunan” masyarakat India bagi dimasukkan dalam pelan RMK-10. Buat pertama kali segala cadangan itu, dirangka MIC dengan kerjasama 75 badan bukan kerajaan yang berasaskan kaum India dan Jabatan Pengajian Etnik Universiti Malaya.Antara cadangannya, termasuk menangani masalah kemiskinan dan gejala sosial merangkumi mengenal pasti bilangan sebenar masyarakat India yang tidak memiliki sijil kelahiran, kad pengenalan dan menyelesaikan kes tertangguh.Cadangan lain pula memantau bilangan kes jenayah di kalangan belia India dan mewujudkan satu strategi bersama MIC, PDRM, Yayasan Pencegahan Jenayah dan NGO bagi mengurangkan pembabitan mereka dalam jenayah, mengenal pasti semua kejiranan bandar yang mempunyai tumpuan masyarakat India selain menyediakan perumahan alternatif yang mampu dibeli golongan miskin bandar.Turut dicadangkan, peluang pekerjaan dan penyertaan di dalam sektor awam supaya mencapai sasaran 7.4 peratus, mewujudkan lebih banyak peluang menyertai GLC, terutama dalam jawatan tinggi dan meningkatkan peluang kenaikan pangkat serta memperuntukkan 10 peratus daripada projek kepada usahawan serta kontraktor India.Bilangan di kalangan masyarakat India dalam GLC kini hanya ada tujuh ahli Lembaga Pengarah keturunan India daripada 132 GLC sedia ada. Untuk bidang pendidikan pula MIC mencadangkan keperluan bantuan kewangan berterusan kepada sekolah Tamil merangkumi bantuan penuh dan modal termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas wakil MIC, komuniti, sekolah dan agensi kerajaan dan berkaitan untuk melaksanakan projek pembangunan sekolah Tamil khasnya bantuan modal.
Secara kesimpulannya, MIC turut mencadangkan pembentukan sebuah badan dinamakan sebagai Malaysia Indian Development Agency (MINDA) yang dapat bergerak di bawah Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India.Di satu sudut lain pula ramai berpandangan, konflik politik di kalangan masyarakat India akan mencecah paras yang cukup membimbangkan sekiranya mereka tidak mahu bersatu lagi demi masa depan agama dan bangsa mereka sendiri. Sampai bila mereka mahu bergelut antara satu sama lain di medan politik? Jangan jadi umpama “musuh dalam selimut”. Mereka perlu keluar daripada sindrom perpecahan ini sekiranya betul-betul serius mahu membantu masyarakat India.
Justeru, masyarakat India percaya faktor Najib akan berupaya mereformasikan taraf kehidupan dan juga masa depan mereka, selaras dengan gagasannya rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Dalam tempoh masa setahun menerajui kepemimpinan negara, Najib berjaya menambat hati masyarakat India dengan pendekatannya “PM untuk semua kaum”.Kunjungan bersejarahnya ke Chennai, Batu Caves dan Brick-fields, serta ke majlis lain termasuk mendengar “suara hati rakyat” meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang memahami kehendak, keinginan, harapan dan keperluan masyarakat India.

Keputusannya, memperuntukkan satu lagi jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada MIC dalam rombakan kabinet baru-baru ini, jelas menunjukkan keprihatinannya untuk menangani dilema masyarakat India di sektor perladangan, walaupun parti itu dilanda pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini.Yang pasti RMK-10 ini diharap dapat memberi semangat dan iltizam baru ke arah pencapaian tiga peratus ekuiti masyarakat India daripada 1.5 peratus ketika ini. Ekuiti dan kepentingan masyarakat India perlu diberi keutamaan dan kepentingan kerana ia adalah aspek serta usaha untuk menegakkan hak semua rakyat 1 Malaysia seperti dijamin dalam perlembagaan negara. —

Source : Berita Harian

No comments: