Monday, December 02, 2013

Mahabharata – Bahagian 56

Putera keempat berminat untuk mengetahui tawaran terkini yang dikemukakan oleh Raja Yayati. Para putera lain juga ingin tahu.

“Ayah menjadi tua akibat sumpahan Maharishi Sukracharya. Kalau kau bersetuju menyerahkan usia muda kau kepada ayah, maka kau boleh menggantikan ayah sebagai raja Kerajaan Bharata.

“Apabila ayah sudah puas menikmati hidup bersama-sama para gadis dan wanita, maka ayah akan kembalikan usia muda ini kepada kau. Kau pula boleh terus kekal sebagai raja,” Yayati mencadangkan.

Putera keempat berfikir sebentar. Dia sedar bahawa dia perlu membuat keputusan teliti agar tidak menyesal nanti. Misalnya, Yayati menyebut “apabila ayah sudah puas” dan perkara itu adalah amat subjektif.

Mungkin mengambil masa setahun, lima tahun atau sepuluh tahu sebelum Yayati benar-benar berasa puas.

“Maafkan saya, ayah. Saya tetap terpaksa menolak tawaran ini.”

“Kenapa?” Yayati bertanya dengan penuh sedih dan suara merayu.

“Suatu hakikat yang diketahui umum adalah bahawa warga emas yang sudah terlalu lanjut usia – seperti ayah sekarang – akan menghadapi masalah untuk membersihkan diri sendiri sekali pun,” kata putera keempat tanpa mendedahkan mengenai isu “apabila ayah sudah puas” itu.

“Oh! Bukankah dayang-dayang boleh memandikan kau dengan penuh manja dan mesra?”

“Bagaimana kalau saya sarankan perkara sama kepada ayah? Supaya ayah membiarkan dayang-dayang melayan ayah?”

Yayati terkedu mendengar jawapan yang amat pedas dan menikam kalbu. Raja berkenaan sedar bahawa putera keempat juga tidak bersedia untuk menyerahkan usia muda kepadanya.

Dalam diam, Yayati menyumpah-nyumpah isterinya, Devayani. Kalau bukan kerana wanita itu mengadu kepada bapanya iaitu Sukracharya, tentulah segala masalah ini tidak wujud.

Tidak timbul keperluan untuk Yayati merayu-rayu kepada putera-puteranya.

“Bagaimana pula dengan kau?” Yayati memandang sekilas putera bongsunya yang berumur 15 tahun.

Yayati sedar bahawa sebagai seorang remaja yang baru sahaja mula menikmati keseronokan berkasih dan meniduri wanita, putera kelima itu pasti amat keberatan untuk meninggalkan alam remaja.

“Demi ayah, saya bersetuju.”

Yayati amat terkejut mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Puru. Keempat-empat putera turut hairan dengan jawapan yang diberikan oleh adik bongsu mereka.

“Nampaknya dia masih terlalu mentah untuk memahami apa yang bakal dia kehilangan,” bisik putera keempat kepada abang-abangnya.

 “Dalam masa sehari sahaja, dia pasti tidak dapat mengawal nafsu dan mahu kembali menjadi remaja.”

Yayati berpura-pura tidak mendengar bisikan itu. Sebaliknya dia segera berdiri lalu menghampiri Puru.

Putera bongsu itu juga berjalan ke arah ayahnya yang ternyata terlalu lemah untuk berjalan dengan cepat.

“Betulkah apa yang ayah dengar? Benarkah kau bersetuju dan bersedia untuk menyerahkan usia muda kau kepada ayah?” Yayati bertanya dengan penuh tidak sabar.

“Benar, ayah. Demi ayah, saya bersedia untuk menjadi orang tua. Biarlah ayah menikmati kepuasan seks seperti yang ayah impikan,” kata Puru tanpa berselindung.

“Benarkah?” Yayati bertanya lagi – lebih kepada dirinya sendiri – seraya fikirannya sepantas kilat sudah mula membayangkan tubuh-tubuh montok yang bakal dapat dinikmatinya dalam masa terdekat.

Tambahan pula, dia bakal memiliki nafsu dan tenaga seperti seorang remaja berumur 15 tahun!


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/11/17/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-56/

No comments: