Monday, December 02, 2013

Mahabharata – Bahagian 54

Kata-kata berupa jaminan yang diberikan oleh Maharishi Sukracharya memberikan sedikit harapan kepada Raja Yayati yang sudah disumpah menjadi orang tua.

“Apakah cara untuk membuang sumpahan ini?” Raja Kerajaan Bharata bertanya tanpa sabar.

“Kau perlu mencari seorang individu yang sanggup bertukar tempat dengan kau,” penasihat kepada golongan asura menjelaskan.

“Maksudnya?”

“Carilah seorang lelaki yang sanggup menyerahkan keremajaan dan kemudaannya kepada kau. Lelaki itu pula akan mengambil alih usia tua yang kini kau miliki.”

Yayati terdiam mendengar akan kata-kata itu. Mana mungkin ada lelaki muda dan bertenaga yang sanggup mengambil alih kedudukannya sebagai seorang warga emas.

Sejurus kemudian, Yayati teringat akan kelima-lima puteranya yang berumur antara 15 dan 20 tahun. Pasti salah seorang daripada mereka akan sanggup berkorban demi bapa yang dicintai.


Tanpa berlengah, Yayati pergi menemui putera sulung di istana. Putera berkenaan sedang bermadu-kasih dengan beberapa dayang istana semasa Yayati meluru masuk ke dalam kamar.

“Wahai puteraku, warisku!” Yayati merayu selepas menceritakan mengenai sumpahan yang dikenakan oleh Sukracharya. “Ayah harap kau akan bersetuju supaya kita bertukar tempat.”

Putera sulung itu membeliakkan mata. Dia memandang para dayang bertubuh montel di sisinya.

Yayati turut memandang mereka dan terasa amat kesal kerana tidak akan berpeluang untuk berseronok bersama-sama mereka jika sumpahan tidak diatasi.

Sebentar kemudian, empat lagi putera datang selepas dipanggil. Para dayang pula diarahkan supaya keluar dari bilik. Yayati sekali lagi menceritakan mengenai apa yang berlaku.

“Ayah masih mahu menikmati hidup dan kehidupan seksual. Walaupun baru beberapa jam disumpah menjadi warga emas, ayah sudah dapat merasakan perbezaan yang amat ketara,” Yayati berterus-terang kepada para puteranya.

Putera-putera itu saling berpandangan. Mereka menelan air liur membayangkan betapa penderitaan yang perlu dialami apabila mereka juga menjadi tua nanti dan tidak dapat memenuhi keinginan seksual.

“Siapakah antara kamu yang sanggup bertukar tempat dengan ayah?” Yayati bertanya tanpa berselindung.

“Anggaplah ini sebagai pengorbanan seorang anak kepada bapanya.”

Kelima-lima putera terdiam dan tertunduk. Masing-masing berharap orang lain akan bersuara.

“Sesiapa antara kamu yang bersedia untuk mengambil alih ketuaan ini, maka orang itu juga akan menjadi pemerintah kerajaan.

Ayah akan serahkan tampuk pemerintahan kepada orang itu tanpa sebarang syarat.”

Kata-kata berupa tawaran yang dikemukakan oleh Yayati juga gagal mendapatkan sebarang reaksi daripada putera-putera berkenaan yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

Mereka ternyata amat keberatan untuk tiba-tiba meninggalkan usia muda dan serta-merta menjadi warga emas. Maknanya mereka terpaksa melepaskan segala nikmat hidup orang muda.

Apatah lagi sebagai putera yang pada masa kini menjadi rebutan ratusan gadis jelita yang mahu ditiduri golongan diraja.

Daripada putera sulung hingga kepada putera bongsu, masing-masing tidak mahu kehilangan peluang yang sedang dinikmati itu.

“Ayah harap kau akan bersetuju,” kata Yayati kepada putera sulung.

“Tidak perlukah kita merujuk kepada ibu?” tanya putera berkenaan dalam usaha mengelak daripada memberikan jawapan.

“Persetankan ibu kau! Kerana dialah maka ayah menjadi begini,” kata Yayat sambil berjalan menghampiri putera sulung. “Kau bersetuju untuk bertukar tempat dengan ayah, bukan?”



Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/10/27/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-54/

No comments: