Monday, December 02, 2013

Mahabharata – Bahagian 53

Selepas berfikir seketika, Maharishi Sukracharya memutuskan untuk menghukum Raja Yayati atas perbuatan menjalinkan hubungan sulit bersama-sama Puteri Sarmista selama hampir 20 tahun.

“Saya menyumpah raja Kerajaan Bharata itu kehilangan segala ciri orang muda dan terus menjadi seorang warga emas yang tidak mampu berbuat apa-apa bagi memenuhi keinginan seksualnya!”

Sebaik sahaja penasihat kepada golongan asura itu melafazkan kata-kata berkenaan, Yayati serta-merta menjadi seorang lelaki tua.

Baginda yang sedang berada di istana bersama-sama Sarmista benar-benar terkejut.

Sarmista yang menyaksikan apa yang berlaku di depan matanya turut terkejut.

Tanpa berlengah, puteri itu segera mengambil segala barang-barang miliknya dan kembali ke istana bapanya iaitu Raja Vrishaparva.

Yayati pula sedar bahawa perubahan mendadak pada dirinya pasti disebabkan perbuatan Devayani yang pergi bertemu bapanya.


 Maka Yayati segera menaiki kereta kuda menuju ke ashram milik Sukracharya.

Apabila Yayati berdiri berdepan dengan Sukracharya, amat jelas bahawa raja itu sudah menjadi jauh lebih tua berbanding pendeta berkenaan.

“Mengapakah beta dihukum sehingga ke tahap ini?” tanya Yayati walaupun baginda sedar akan sebab dan punca sumpahan itu.

“Nafsu menjadikan kau seorang pemerintah yang sukar dikawal.

Walaupun Devayani melayan kau dengan sebaik-baiknya selama lebih 20 tahun dahulu, kau tetap memilih untuk menjalinkan hubungan sulit dengan Sarmista,” Sukracharya menjawab dengan marah dan kecewa.

“Akan tetapi, mengapa beta dijadikan tua? Hilanglah segala tenaga dan keupayaan beta. Malah, untuk berdiri tegak pun sudah tidak boleh,” Yayati meluahkan dengan sedih.

“Biarlah hukuman ini menjadi suatu pengajaran berguna!” Devayani berkata sambil memalingkan muka kerana tidak rela memandang wajah suaminya yang bermain kayu tiga.

“Akan tetapi, bukankah beta pernah menyelamatkan kau daripada mati di dalam perigi buta itu dahulu?

Bukankah beta juga akhirnya bersetuju untuk menjadikan kau permaisuri walaupun kedudukan kita berbeza?”

Sukracharya terdiam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Yayati kepada Devayani. Sesungguhnya apa yang dikatakan oleh raja Bharata itu adalah benar.

Malah, atas kedegilan Devayani jugalah maka Sarmista dibawa ke istana Kerajaan Bharata untuk menjadi pekerja di sana. Natijahnya, terjalin hubungan sulit antara Yayati dan Sarmista.

“Tidak adakah apa-apa cara untuk mengurangkan atau membatalkan sumpahan ini?” Yayati bertanya kepada Sukracharya.

 “Tambahan pula, saya bukannya menjalinkan hubungan sulit dengan kaum sejenis!”

Sukracharya termenung seketika. Maharishi itu sedar bahawa hujah yang dikemukakan oleh Yayati memang berasas.

Sebagai seorang maharaja, tentulah Yayati berhak memenuhi tuntutan budaya golongan bangsawan untuk mempunyai ramai ramai isteri.

Sebaliknya, raja itu hanya ada seorang isteri. Hubungan sulitnya bersama-sama Sarmista sejak hampir dua dekad lalu tidak menghasilkan zuriat.

Maknanya, Yayati dan Sarmista tahu mengawal diri serta sentiasa berwaspada dalam menjalinkan hubungan sulit.

Sarmista juga tidak berniat merampas tampuk pemerintahan kerana dia tidak mendesak mahu menjadi isteri Yayati secara sah.

Devayani sudah melahirkan lima putera tetapi Sarmista tidak ada walau seorang pun anak.

Maknanya, Sarmista tidak ada niat atau rancangan supaya anak-anaknya mengambil alih kuasa pemerintahan Kerajaan Bharata.

Demikianlah Sukracharya berfikir dengan tenang. Lama-kelamaan, pendeta itu rasa bersalah kerana menyumpah menantunya menjadi lelaki tua yang sudah tidak mampu menikmati apa-apa keseronokan seksual.

“Sumpahan ini tidak boleh ditarik balik begitu sahaja.

Akan tetapi, memandangkan kau nampaknya menyesali perbuatan menjalinkan hubungan sulit dengan Sarmista, maka aku akan beritahu cara untuk membuang sumpahan ini,” kata Sukracharya seketika kemudian.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/10/20/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-53/

No comments: