Monday, December 02, 2013

Mahabharata – Bahagian 51

Beberapa minggu sudah berlalu sejak peristiwa Devayani jatuh ke dalam perigi buta di tepi tasik.

Para penduduk di bawah pemerintahan Raja Vrishaparva sudah melupakan kisah itu.

Akan tetapi, tentulah Puteri Sarmista tidak dapat melupai peristiwa berkenaan yang benar-benar menjatuhkan maruah dan kedudukannya sebagai golongan berdarah pemerintah.

“Kononnya saya telah menghina, memperlekeh dan menjatuhkan maruah Devayani! Pada hakikatnya, dialah yang menghina saya.

Saya pasti akan membalas dendam. Hanya itulah motif saya dalam hidup sekarang!” Demikian fikir puteri kepada ketua asura itu.

Sementara itu, Devayani pula sudah tidak meluangkan masa bersama-sama Sarmista.

Sebaliknya dia menggunakan jaringan rangkaian sosial yang dimilikinya untuk berusaha mengesan Raja Yayati, pemerintah Kerajaan Bharata.

“Raja itu bukan sahaja telah menyelamatkan saya dari dalam perigi buta, tetapi juga telah melihat saya dalam keadaan bogel.

Maka hanya baginda yang harus menjadi suami saya,” fikir anak Maharishi Sukracharya sambil melakukan pencarian.

Akhirnya Devayani berjaya memperoleh maklumat lengkap mengenai Yayati.

Ternyata raja itu masih bujang. Terbukti baginda tidak ada kekasih. Tidak ada tanda-tanda Yayati mengamalkan gaya hidup songsang atau terlarang.

Maka, Devayani bertekad untuk bersuamikan pemerintah itu. Tanpa menghiraukan kata-kata raja itu dahulu, Devayani memutuskan untuk pergi menemui Yayati dan memujuknya supaya mereka berkahwin.

Devayani pergi tanpa pengetahuan Sukracharya. Apabila dia sampai di istana Kerajaan Bharata, Yayati terkejut melihat wanita itu. Muka baginda memerah; bukan kerana marah tetapi kerana serba salah.

Tanpa membuang masa, Devayani sekali lagi merayu kepada Yayati supaya menjadi suaminya.

Sekali lagi dia menggunakan ugutan psikologi iaitu dengan mengulangi kenyataan bahawa raja itu telah melihat tubuhnya dalam keadaan berbogel bulat.

“Tetapi pada waktu itu kau berada di dalam perigi buta dan sedang menangis. Kau memerlukan pertolongan.

 Saya membantu dengan ikhlas. Malah, tubuh kau tidak sedikit pun menggoda saya,” kata Yayati dengan gelisah.

“Tapi bukankah tuanku juga telah memegang tangan kanan saya? Maka saya tidak boleh menjadi isteri orang lain.

Kahwinilah saya,” pintas Devayani pula dengan nada yang berbaur antara merayu, mengugut dan mengarahkan.

Yayati termenung seketika. Baginda sedar bahawa kedudukan sosial yang berbeza pasti menjadi salah satu penghalang.

Tambahan pula, terus-terang, baginda tidak sepenuhnya tergoda pada wanita itu sehingga sanggup menjadikannya teman sepanjang hidup.

“Baiklah, kita akan pergi berjumpa ayah kau, Maharishi Sukracharya. Sebagai penasihat kepada Raja Vrishaparva iaitu ketua golongan asura, pasti ayah kau boleh memberikan penyelesaian terbaik.”

Maka Yayati dan Devayani kembali ke rumah Sukracharya. Maharishi itu terasa amat gembira kerana anaknya yang meninggalkan rumah untuk kahwin lari sudah kembali.

Sekurang-kurangnya maruah dan nama baik keluarga tidak terjejas.

Sukracharya dan Yayati berbincang secara teliti dan mendalam mengenai keinginan Devayani untuk menjadikan Raja Bharata itu sebagai suaminya.

Walaupun wujud perbezaan kedudukan dalam masyarakat serta perkara-perkara yang bertentangan dengan budaya dan tradisi, Sukracharya bersetuju untuk menerima Yayati sebagai menantu.

“Usahlah risau tentang segala peraturan dalam masyarakat. Semua itu untuk dipatuhi sepenuhnya oleh golongan bawahan.

Sebagai pemerintah dan kuasawan, tuanku bebas melakukan apa sahaja. Kedudukan tuanku adalah di atas segala undang-undang dan peraturan. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.”

Selepas mendapatkan jaminan dan sokongan moral daripada Sukracharya, Yayati bersetuju untuk berkahwin dengan Devayani. Majlis diadakan secara ringkas dan sederhana.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/10/06/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-51/

No comments: