Monday, December 02, 2013

Mahabharata – Bahagian 55

“Maafkan saya, ayah,” kata putera sulung sambil menundukkan kepala.

“Maksud kau?” Raja Yayati bertanya dengan rasa tidak percaya. “Kau tidak sanggup berkorban bagi ayah?”

Putera sulung kepada Raja Kerajaan Bharata itu terus tertunduk. Empat orang adiknya juga tertunduk. Yayati memandang mereka silih berganti.

“Ayah perlu faham bahawa umur saya sekarang 20 tahun. Ayah mengharapkan saya menyerahkan keremajaan dan usia muda saya kepada ayah.

 Sebagai ganti, saya akan menjadi tua.”

“Ya, benar. Dan kau akan segera ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan ini, wahai putera sulungku,” Yayati memintas dengan suara memujuk.

“Maafkan saya, ayah,” balas putera sulung sambil mengangkat kepala dan memandang wajah Yayati.

“Kalau saya menjadi tua seperti ayah, maka para wanita dan gadis tidak akan memandang saya.


Nikmat hidup saya bersama-sama mereka lebih penting berbanding menjadi seorang raja.”

Yayati terkejut menerima jawapan itu. Memandangkan tubuhnya sudah menjadi tua dan tidak bermaya akibat sumpahan Maharishi Sukracharya, maka Yayati tidak mampu menunjukkan kekuatan di hadapan anak-anaknya.

Menampar putera sulung itu pun tidak mampu dilakukannya.

“Bagaimana pula dengan kau?” Yayati beralih kepada putera kedua dengan penuh harapan. “Apakah kau sanggup berkorban demi ayah?”

Putera kedua teragak-agak sebentar. Kemudian dia mengangkat kepala yang sekian lama tertunduk lalu meluahkan keputusannya:

“Saya juga terpaksa meminta maaf, ayah. Memanglah tawaran yang diberikan ini amat lumayan iaitu peluang menjadi pemerintah Kerajaan Bharata.”

Yayati dapat mengagak bahawa putera kedua juga kurang bersedia untuk menyerahkan keremajaannya kepada baginda.

“Saya masih muda. Saya belum bersedia untuk kehilangan tenaga dan wajah yang kacak.

Kehilangan tenaga fizikal akan turut menghalang prestasi dan kemampuan saya melayan para gadis dan wanita. Apatah lagi jika saya sudah tidak kacak. Maka, maafkan saya,” katanya sebelum kembali tertunduk.

Yayati beralih pula kepada putera ketiga yang berumur 18 tahun. Putera ini tidak teragak-agak untuk segera meluahkan pegangan dan pendiriannya.

“Lihatlah pada diri ayah sendiri. Selepas disumpah menjadi tua, ayah sudah kehilangan upaya untuk bercakap dengan jelas seperti dahulu.

 Itu pun sudah cukup untuk membuatkan saya menolak tawaran ayah.

“Tambahan pula, orang tua seperti ayah tidak akan mampu menunggang kuda.

 Maka hilanglah segala peluang untuk menunjukkan kehebatan kepada orang ramai; khususnya golongan wanita.

“Sebelum ayah bertanya kepada saya, biar saya berikan jawapan saya,” pintas putera keempat. “Ketiga-tiga abang sudah memberikan gambaran yang jelas bahawa tiada gunanya hidup sebagai orang tua.”

Yayati melangkah menghampiri putera keempat itu dan memegang bahunya dengan tangan yang terketar-ketar.

“Janganlah cuba memujuk saya, ayah,” putera berkenaan segera menyambung kata-katanya.

“Oh! Dengar dulu tawaran baru yang ayah mahu kemukakan,” kata Yayati sebelum duduk di atas kerusi kerana kepenatan.

Putera keempat mengerutkan kening dan memandang tajam ke arah wajah ayahnya.

“Tawaran baru yang bagaimana?”


Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/11/10/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-55/

No comments: