Monday, August 05, 2013

Mahabharata – Bahagian 42

Apabila Kacha dibunuh oleh segerombolan asura bagi kali ketiga, mayatnya dikerat-kerat, dihancurkan sehingga lumat, dibakar menjadi abu dan dimasukkan ke dalam bekas kecil.

Sebagaimana diarahkan oleh ketua asura, bekas itu dibawa ke ashram milik Maharishi Sukracharya di Vrishaparva.

Penasihat kepada golongan asura itu tidak mengetahui semua ini.

Pada tengah hari, apabila Sukracharya meminta secawan air, Devayani segera pergi untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, seorang asura sempat memasukkan abu mayat Kacha ke dalam cawan minuman itu.

Menjelang senja, Devayani kembali risau. Kacha yang membawa lembu-lembu ke padang ragut masih belum pulang.

Tidak lama kemudian, lembu-lembu berkenaan sahaja kelihatan berjalan pulang ke ashram.

Gadis itu segera menangis kerana dapat mengagak bahawa sesuatu yang buruk telah melanda kekasihnya sekali lagi.

 Devayani tidak tahu mengapa Kacha sentiasa menjadi sasaran penjenayah dan pembunuh. Dia juga tidak tahu bahawa pembunuhan dilakukan oleh golongan asura sendiri.

Sukracharya turut terkejut dan hairan apabila berita kehilangan Kacha disampaikan kepadanya. Maharishi itu memejamkan mata dan mula membaca mantra.

Gambaran Kacha dibunuh, mayatnya dikerat-kerat, dihancurkan sehingga lumat lalu dibakar muncul dalam minda pendeta itu.

Maka tahulah Sukracharya bahawa anak muridnya sudah dibunuh oleh golongan asura bagi kali ketiga.

“Kacha adalah anak kepada Maharishi Brihaspati iaitu penasihat golongan vasu. Brihaspati kawan saya.

Sebab itulah saya menerima Kacha sebagai murid,” Sukracharya menceritakan kepada anak gadisnya.

“Apa yang sudah berlaku kepada Kacha?” Devayani bertanya dengan tidak sabar sementara air mata semakin banyak mengalir.

“Nampaknya ada golongan asura yang memang tidak akan berhenti daripada terus berusaha membunuh Kacha.

Memanglah berlaku perang saudara antara golongan vasu dan asura, tetapi saya tidak faham mengapa Kacha mahu dibunuh,” maharishi itu mengulas dengan tenang.

“Apakah Kacha sudah dibunuh?” Mata Devayani terbeliak sewaktu dia bertanya begitu. “Oh! Segeralah baca mantera Sanjivini dan hidupkan Kacha semula.”

Sukracharya tidak segera memberikan reaksi terhadap cadangan, saranan dan rayuan anaknya. Sebaliknya pendeta itu termenung seketika memikirkan tentang Kacha, anak Brihaspati.

Pemuda berkenaan datang untuk berguru kepadanya. Tentulah tidak ada apa-apa kaitan dengan perang saudara yang berlarutan sekian lama antara golongan sura dan asura.

Sukracharya adalah penasihat golongan asura manakala Brihaspati pula penasihat golongan vasu atau sura.

Kedua-dua pendeta itu sebenarnya masih bersahabat dan tidak membenarkan persengketaan antara sura dan asura menghalang persahabatan mereka.

“Mungkin Kacha telah berbuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan golongan asura. Sebab itulah mereka terus-menerus cuba menghapuskannya,” kata maharishi itu sejurus kemudian.

“Tolonglah gunakan mantera Sanjivini untuk menyelamatkannya,” Devayani terus merayu.

“Mungkin tidak. Walau berapa kali pun mantra sakti itu digunakan, golongan asura nampaknya akan terus berusaha membunuhnya. Jadi, apa kata kita biarkan sahaja Kacha mati pada kali ini?”

“Tidak!” Devayani menjerit. “Saya mencintai Kacha. Kami adalah pasangan kekasih. Tolonglah selamatkannya. Jika tidak, saya akan membunuh diri pada saat ini juga.”

Sesungguhnya Sukracharya terkejut mendengar kata-kata pengakuan anaknya. Maharishi itu langsung tidak menyedari bahawa pasangan itu sedang bercinta.

“Gunakanlah mantera Sanjivini untuk menghidupkan Kacha. Hidup saya tidak bermakna tanpanya,” gadis itu merayu lagi sambil menangis.

Sukracharya terdiam seketika. Dia amat mencintai anaknya dan tidak sanggup melihat anak itu menderita.

“Baiklah. Saya akan menggunakan mentera Sanjivini untuk menghidupkan semula Kacha. Akan tetapi, saya perlu mengetahui dahulu di mana pembunuhnya membuang abu mayat berkenaan.” –


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/07/28/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-42/

No comments: