Monday, March 07, 2011

Dilema kaum India di Malaysia

Siapa sangka, kontroversi yang muncul berikutan langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan novel Interlok edisi murid (2010) sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tetap membawa kesan positif, walau sekecil mana pun.Pertama, kaum India yang dilabel pihak tertentu sebagai tidak meminati ‘sastera Melayu’ kini sudah berani tampil meneliti, memperkatakan, berhujah dan mengkritik sebuah novel karya seorang Sasterawan Negara secara ilmiah, akademik dan intelektual.

Kedua, semangat kesatuan semakin terserlah dalam kalangan kaum India tanpa batas ideologi politik, latar pendidikan, latar profesion dan kedudukan dalam masyarakat. Perkembangan ini pasti merisaukan mana-mana pihak yang mahu kaum India terus berpecah!

Ketiga, timbul semangat menimba ilmu dan memperkasa pengetahuan untuk menangkis segala fitnah, tohmahan, kritikan dan kenyataan berbaur perkauman yang dilontarkan pihak tertentu sejak tercetusnya kontroversi ini. Ilmu menjadi benteng paling kuat bagi manusia yang beriman. Ilmu jugalah yang mampu membawa mobiliti sosial dalam kalangan kaum minoriti ini.

Bayangkan! Bermula dengan hanya mempersoalkan perkataan ‘paria’ dan ‘kasta’ dalam novel Interlok edisi murid yang menyentuh sensitiviti kaum India, masyarakat itu sudah sampai ke tahap mampu berhujah secara berani untuk membuktikan bahawa watak Maniam dalam novel itu bukan daripada golongan ‘paria’.Kaum India juga semakin berani bersuara lantang mempersoalkan pelbagai kesalahan fakta mengenai budaya India dan agama Hindu dalam novel berkenaan. Untuk mampu bersuara, pasti sahaja perlu ada kesedaran, ilmu, fakta dan keberanian sejati.

Selepas diasak, diperlekeh, dipersenda dan dibuli pihak tertentu yang ghairah mengangkat novel Untouchable (1935) karya Mulk Raj Anand untuk menegakkan benang yang basah, kaum minoriti ini secara keseluruhan sudah ada kesedaran bahawa selagi satu pihak berdiam diri daripada bersuara menuntut hak, selagi itulah pihak lain akan terus menggunakan pelbagai cara dan taktik kotor untuk menindas dan menafikan hak yang sah di sisi undang-undang.

Bagi memungkinkan kelompok yang ditindas itu bersuara, tentu perlu ada maklumat dan fakta intelektual yang bakal menyokong segala hujah. Hal ini berbeza dengan kelompok tertentu yang sudah terbukti hanya melalak di pentas terbuka tanpa sedikit pun sedar bahawa novel Interlok edisi asal sudah pun melalui proses penyuntingan sebelum dijadikan teks Komsas.Cabaran awal yang terpaksa ‘ditanggung’ oleh kaum India adalah membuktikan hakikat itu kepada kelompok tertentu yang berjuang bermati-matian tidak membenarkan walau sepatah perkataan yang ditulis Datuk Abdullah Hussain diubah dalam novel berkenaan.

Koleksi paling komprensif

Sejak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) memikul tugas dan tanggungjawab melakukan kajian teliti dan tuntas terhadap pelbagai edisi novel Interlok (khasnya edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010), saya sendiri berpeluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat.Dalam keadaan biasa, mungkin sahaja tidak timbul keperluan, ruang dan peluang untuk saya bertemu masyarakat pelbagai kaum daripada pelbagai latar pendidikan, umur, pekerjaan, ideologi politik dan taraf sosial untuk sama-sama berkongsi maklumat dan ilmu ke arah memperkasa diri bagi menghadapi cabaran dan asakan.

Pada masa sama, suatu khazanah bernilai yang sebelum ini terlepas dari pandangan masyarakat, mula kembali menggamit perhatian. Dalam usaha memperkaya ilmu dan mengumpul maklumat terperinci mengenai realiti kaum India di Malaysia sejak lebih 150 tahun lalu, Kavyan merujuk pelbagai sumber premier dan sekunder.Namun, rupa-rupanya kebanyakan maklumat yang diperlukan itu sebenarnya sudah sedia terkumpul kemas dan diterbitkan dalam bentuk buku pada Mei 2009. Saya pula hanya mendapat tahu mengenai kewujudan buku itu pada 1 Februari 2011.

Selepas berpeluang membaca buku The Malaysian Indian Dilemma: The Struggles and Agony of the Indian Community in Malaysia (Edisi Kedua, Jun 2010), saya berani mengatakan bahawa buku ini adalah koleksi paling komprensif mengenai kaum India di negara ini sejak ratusan tahun dahulu.Buku ini terhasil daripada kajian dan pengumpulan bahan/data selama hampir 17 tahun oleh Janakey Raman Manickam berkaitan isu sosial, ekonomi, pendidikan dan politik kaum India di Malaysia.Janakey Raman bukan seorang pensyarah universiti atau memegang ijazah Kedoktoran. Namun, pengalaman beliau selama lebih 35 tahun sebagai aktivis sosial menjadikan beliau seorang ‘pakar’ dalam bidang yang diperkatakan.

Buku setebal 400 halaman ini terbahagi kepada 10 bab serta memuatkan hampir 200 foto nadir yang membantu pemahaman umum mengenai segala cabaran, perjuangan, masalah, penderitaan dan dilema yang dialami kaum India dalam membangunkan diri, masyarakat dan negara sehingga ke tahap serta kedudukan Malaysia seperti yang dapat kita perhatikan pada hari ini.Percayalah apabila saya katakan bahawa buku ini adalah teks yang wajib dibaca setiap individu kaum India di Malaysia untuk memahami sejarah silam serta membantu memantapkan perjuangan mempertahankan hak dan jati diri di tanah air tercinta ini.

Sejarah silam nenek-moyang

Buku ini juga teks wajib bagi setiap individu ‘Bukan Kaum India’ yang berminat memahami suatu kaum minoriti yang sebenarnya menitiskan peluh dan darah serta berkorban tenaga dan nyawa demi membangunkan negara ini sejak ratusan tahun dahulu.Bagi generasi muda kaum India, inilah buku paling lengkap yang mampu membantu anda mengenal sejarah silam nenek-moyang yang datang ke negara ini untuk memulakan hidup baru.Malah, sepanjang novel Interlok edisi murid menjadi teks Komsas (2011-2020), buku ini wajar dijadikan teks iringan untuk membantu guru dan pelajar lebih memahami kisah ‘Keluarga Maniam’.

Tentu sahaja segala fakta yang terkandung dalam The Malaysian Indian Dilemma: The Struggles and Agony of the Indian Community in Malaysia tidak terdapat dalam buku-buku Sejarah yang digunakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi negara kita.Bukan lagi suatu rahsia bahawa pelbagai fakta dan realiti berhubung kaum India dan Cina sudah ‘hilang’ daripada lipatan sejarah negara dan ‘terpadam’ daripada halaman buku teks Sejarah di sekolah. Realiti sosial, fakta dan sejarah kedua-dua kaum itu nampaknya hanya seperti yang terpapar dalam novel Interlok edisi murid!

Buku Janakey Raman yang diterbitkan Nationwide Human Development and Research Centre memberi sinar harapan bahawa generasi muda kaum India khasnya dan Bangsa Malaysia amnya, masih berpeluang mengetahui pelbagai fakta dan sejarah yang cuba disembunyikan ‘tangan-tangan halus’ dan dinafikan pihak tertentu demi kepentingan peribadi.

Mungkin agak keterlaluan untuk melontarkan cadangan supaya orang ramai segera mendapatkan buku ini sebelum ada usaha dan desakan berbaur hasutan untuk menarik balik buku ini dari pasaran. Namun, bukankah segalanya mungkin di negara bertuah ini?


Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan beliau boleh dihubungi melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut mengenai buku berkenaan.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/03/07/dilema-kaum-india-di-malaysia/


No comments: