Monday, February 18, 2013

Mahabharata – Bahagian 20


“Sesungguhnyalah! Devavrata sudah pun beta tabalkan sebagai yuvaraja. Sebagai raja muda, dialah yang bakal mengambil alih pemerintahan kerajaan keturunan Kuru di Hastinapura selepas kemangkatan beta,” kata Raja Santanu tanpa menghiraukan amaran ketua komuniti nelayan itu supaya baginda tidak menyampuk percakapannya.

Bapa Satyavati pula terdiam seketika; sedikit terkejut mendengar ketegasan Santanu dalam mempertahankan keputusannya. Walaupun sedang dilamun cinta berahi terhadap Satyavati sejak melihat gadis itu mandi di Sungai Yamuna, nampaknya raja berkenaan masih waras dari segi pemikiran.

“Maka, bukankah sia-sia sahaja anak gadis saya menjadi permaisuri? Apalah gunanya jika ana-anak yang bakal dikandung dan dilahirkannya tidak ada sebarang peluang untuk menjadi waris pemerintah bagi kerajaan yang terkenal ini?”

Santanu tidak segera menjawab pada kali ini. Baginda mencuri pandang ke arah Satyavati yang masih berdiri menyembunyikan sebahagian tubuhnya di sebalik daun pintu. Kejelitaan gadis itu membuatkan jantung raja berkenaan berdegup kencang.

“Saya hanya akan membenarkan tuanku mengahwini Satyavati sekiranya tuanku boleh berjanji dan bersumpah bahawa anak sulung lelaki yang bakal dilahirkan olehnya akan ditabalkan sebagai yuvaraja,” ketua kumpulan nelayan itu meneruskan seraya menghulurkan tangan kanan bagi memeterai perjanjian.

Santanu menghela nafas bagi meredakan degup kencang jantung dan gelora dalam jiwa. Baginda memandang wajah lelaki tua di hadapannya; kemudian tangan yang terhulur dengan penuh harapan.

“Maknanya anda mahu saya membatalkan pertabalan Devavrata sebagai yuvaraja dan menyerahkan gelaran raja muda kepada putera yang bakal dilahirkan oleh Satyavati?”

Santanu bertanya bagi mendapatkan kepastian sementara fikirannya ligat memikirkan cara-cara yang mungkin ada bagi menyelesaikan masalah.

“Benar, tuanku. Itulah satu-satunya pilihan yang saya tawarkan jika tuanku masih berhajat memperisterikan anak gadis saya,” kata ketua komuniti nelayan itu sambil tersenyum kecil.

“Saya difahamkan bahawa tuanku sempat melihat anak saya semasa dia sedang mandi di Sungai Yamuna tadi. Jadi, memang moleklah kalau tuanku memperisterikannya. Masakan tuanku akan sanggup melepaskan peluang memiliki seorang jelitawan seperti Satyavati.”

Santanu termenung seketika. Dia terkenang akan Gangga yang pernah menjadi isterinya serta melahirkan lapan putera. Tujuh daripadanya mati dibunuh semasa baru berusia beberapa hari.

Satu-satunya waris yang tinggal kini adalah Devavrata, putera kelapan yang dibesarkan oleh Gangga sebelum diserahkan kepada Santanu beberapa tahun lalu.

Tidak! Beta tidak rela kehilangan Devavrata. Beta tidak sanggup melucutkan jawatan yuvaraja yang sudah diberikan kepadanya. Sesungguhnya dialah waris beta bagi meneruskan pemerintahan kerajaan Kuru ini.

Demikian Santanu berfikir dalam hati dalam keadaan mata terpejam. Sementara itu, bapa Satyavati sedang menunggu untuk mendapatkan jawaban yang memihak kepadanya. Tangan kanannya masih terhulur di hadapan Santanu.

Satyavati pula menjenguk dari sebalik daun pintu dengan penuh harapan. Sesungguhnya dia amat ingin menjadi isteri kepada Santanu walaupun raja itu sudah tua dan sudah pernah menjadi bapa kepada lapan orang putera.

Santanu akhirnya menggenggam tangan kanan yang dihulurkan sekian lama oleh ketua komuniti nelayan itu. Senyuman kecil mula muncul pada bibir lelaki berkenaan.

“Maafkan beta,” kata Santanu sambil menggenggam tangan itu dengan lebih erat. “Beta tidak dapat menerima syarat-syarat yang anda tetapkan.”

Satyavati dan bapanya terpinga-pinga. Begitu juga dengan beberapa wakil masyarakat nelayan yang sama-sama berada di rumah Satyavati pada waktu itu. Pemandu kereta kuda Santanu pula setia menunggu di luar sambil tetap memasang telinga.

“Beta tidak rela melucutkan jawatan yuvaraja yang sudah diberikan kepada putera kesayangan beta.”

Sambil berkata begitu, Santanu bergegas bangun dan meluru keluar dari rumah Satvayati. Gadis itu pula terpaku tanpa bicara di sebalik daun pintu.

“Tuanku akan menyesal!” Ketua komuniti nelayan itu memberikan amaran sambil menahan kemarahan sementara wajahnya memerah. “Tuanku pasti akan datang semula untuk memperisterikan Satyavati!”

No comments: