“Tuanku adalah raja kerajaan keturunan Kuru di Hastinapura.
Tentu sahaja saya, anak saya dan seluruh komuniti nelayan berasa amat bangga dan bertuah apabila Satyavati menjadi isteri tuanku, sekali gus menjadi permaisuri bagi kerajaan ini,” kata lelaki tua itu dengan tenang tetapi tegas.
“Lalu apa pula yang merungsingkan jiwa dan pemikiran anda? Bukankah impian setiap rakyat adalah untuk menjadi setara dengan pemerintah atau sekurang-kurangnya mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemerintah dan golongan diraja melalui perkahwinan?
Peluang keemasan itu kini berada di depan mata,” Santanu cuba memujuk secara halus sambil matanya melirik ke arah Satyavati yang masih berdiri di tepi daun pintu rumah.
Bapa Satyavati ketawa mendengar hujah Santanu. Raja itu pula menyangka bahawa ketua komuniti nelayan itu bersetuju dengan kata-katanya. Maka baginda juga ketawa bersama-sama.
“Memang demikianlah tanggapan golongan pemerintah. Mereka tidak sedar bahawa golongan rakyat yang sebenarnya berkuasa bagi memastikan mereka terus berada atas singgahsana. Namun, kita lupakan dialog berkaitan topik itu dan kita tumpukan pada persoalan utama,” kata lelaki tua itu sejurus kemudian.
“Persoalan utama?” Santanu bertanya; sekali gus melupakan langsung topik berkaitan kuasa rakyat yang ditimbulkan oleh ketua nelayan itu. “Apakah persoalan yang anda maksudkan?”
“Devavrata.”
“Devavrata?” Santanu bertanya dengan penuh kehairanan.
“Ya, putera kelapan tuanku yang bernama Devavrata dan muncul secara tiba-tiba serta sudah pun ditabalkan sebagai yuvaraja iaitu raja muda di Hastinapura.”
“Kenapa dengan Devavrata?” Santanu masih kebingungan.
Beberapa saat selepas mengemukakan pertanyaan itu, fikiran raja berkenaan mula semacam memahami arah tuju perbincangan bapa Satyavati.
Saya sudah tua dan mungkin juga peluang untuk membuatkan Satyavati mengandung agak tipis. Malah, saya sudah lama mengamalkan cara hidup “brahmachari” iaitu hidup membujang; atau lebih tepat lagi, hidup menduda tanpa memikirkan soal berkahwin dan menikmati keseronokan hidup berkeluarga. Demikian Santanu mula berfikir dalam hati.
“Biarlah saya berterus-terang kepada tuanku,” ketua komuniti nelayan itu berkata sejurus kemudian. “Sesungguhnya Devavrata yang menjadi persoalan utama.”
“Devavrata? Apakah anda berfikir bahawa dia akan menghalang perkahwinan beta dan Satyavati? Atau …” Santanu mengerutkan kening. “Atau anda merasakan bahawa Devavrata lebih layak berbanding beta untuk menjadi suami kepada Satyavati?”
Ketua masyarakat nelayan itu ketawa terbahak-bahak mendengar kebimbangan yang diluahkan oleh raja berkenaan.
“Janganlah tuanku risau. Walaupun tuanku sudah tua, saya tidak akan melukakan hati tuanku dengan memilih untuk mengahwinkan anak saya dengan Devavrata. Tuanku tetap menjadi pilihan untuk menjadi menantu saya,” katanya.
“Lalu apa yang menjadi persoalan?”
“Biarlah saya berterus-terang dan saya mohon tuanku jangan masuk campur dengan mengemukakan pandangan dan andaian yang bukan-bukan.”
“Baiklah.”
“Devavrata sudah pun ditabalkan sebagai yuvaraja. Maknanya, raja muda itu bakal mengambil alih pemerintahan Kerajaan Hastinapura milik keturunan Kuru daripada tuanku.”
“Benar,” kata Santanu.
Ketua komuniti nelayan merenung tajam ke arah raja itu bagaikan berkata: “Bukankah saya sudah memberi amaran kepada tuanku supaya jangan masuk campur?”
Santanu memahami makna tikaman renungan mata itu dan terus terdiam.
“Saya yakin, percaya dan berharap bahawa apabila tuanku mengahwini Satyavati, maka anak saya masih berpeluang untuk mengandungkan dan melahirkan beberapa putera dan puteri. Soalnya, tentulah cucu-cucu saya yang dilahirkan oleh Satyavati tidak akan berpeluang untuk menjadi waris pemerintahan kerajaan ini kerana hak itu sudah diberikan kepada Devavrata selaku yuvaraja,” lelaki tua itu menjelaskan secara terperinci.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/02/10/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-19/
No comments:
Post a Comment