“Siapakah nama kau, wahai juita?” Raja Santanu bertanya tanpa mengendahkan kata-kata gadis jelita itu.
“Nama saya Satyavati dan bapa saya adalah ketua masyarakat nelayan di kampung berdekatan,” gadis itu menjawab sambil segera berdiri membelakangi raja berkenaan kerana malu. “Seperti yang saya katakan, saya hanyalah anak nelayan sedangkan tuanku seorang pemerintah di Hastinapura.”
“Dan seperti yang sudah beta katakan, beta berhak membuat apa sahaja pilihan dan tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkan keputusan beta,” Santanu mengulangi seraya tidak melepaskan peluang membiarkan matanya menikmati kecantikan tubuh gadis yang berdiri membelakanginya.
Satyavati tersenyum gembira kerana dalam diam, dia juga sudah tertawan pada Santanu. Walaupun jarak usia antara mereka amat ketara, gadis itu tidak keberatan untuk menjadi isterinya. Tambahan pula, raja itu telah melihat tubuhnya semasa dia mandi di Sungai Yamuna. Maka, moleklah jika Santanu menjadi suaminya.
“Walau apa pun kata tuanku, sebagai seorang anak gadis yang masih di bawah jagaan orang tua, saya tidak patut dilihat berdua-duaan bersama tuanku di tebing sungai,” kata gadis itu seraya cuba melarikan diri.
“Bawalah beta bertemu bapa kau dengan segera,” Santanu pula membalas sementara tangan kanannya pantas memegang pergelangan tangan Satyavati.
Pipi gadis itu memerah menahan malu. Dipendekkan cerita, Santanu mengarahkan pemandu kereta kuda membawa mereka berdua ke rumah bapa Satyavati yang merupakan ketua kumpulan nelayan di sana.
“Oh! Saya memang sudah menjangkakan bahawa anak saya akan bertemu jodoh dengan orang besar, kaya dan berkuasa. Akan tetapi, saya tidak pernah bermimpi bahawa tuanku akan menjadi menantu saya,” kata ketua kumpulan nelayan itu setelah mendengar hajat Santanu mahu melamar anaknya.
“Beta tidak kisah tentang perbezaan darjat dan usia. Setelah sekian lama hidup sendirian, keinginan beta untuk berumahtangga muncul secara tiba-tiba setelah melihat Satyavati di tebing Sungai Yamuna sebentar tadi,” raja Kerajaan Kuru itu mengakui sambil matanya melirik ke arah si gadis yang berdiri di tepi daun pintu rumah.
Si bapa pula ketawa gembira mengenangkan rezeki anaknya. Tentu sahaja dia tidak pernah bermimpi bahawa pada suatu hari nanti, anaknya akan menjadi permaisuri di istana Hastinapura. Suatu hari yang lain pula, pada masa hadapan, cucunya akan menjadi raja Kerajaan Kuru.
Tiba-tiba sahaja tawa si bapa berhenti. Wajahnya menjadi serius dan dia memandang tepat ke arah Santanu yang duduk di hadapannya. Raja itu pernah menjadi bapa bagi lapan orang putera seperti diketahui umum. Tujuh daripada putera itu hilang dan kemudian dilaporkan meninggal dunia secara penuh misteri.
Isterinya iaitu Permaisuri Gangga pula hilang bersama-sama putera kelapan. Bertahun-tahun kemudian, putera kelapan yang bernama Devavrata muncul secara tiba-tiba dan sudah pun ditabalkan sebagai yuvaraja iaitu raja muda di Hastinapura.
“Ada apa-apa yang tidak kena?” Santanu bertanya apabila melihat ketua kaum nelayan itu merenung dengan penuh serius ke arahnya. “Jangan risau. Beta berjanji akan menjadi seorang suami yang baik, setia dan adil kepada Satyavati.”
“Bukan perkara itu menjadi persoalan yang merunsingkan saya.” Si bapa memandang ke arah anak gadisnya sebelum kembali mengalihkan pandangan ke wajah Santanu. “Saya lebih risau memikirkan nasib anak-anak yang bakal dilahirkan oleh anak saya.”
Kening Santanu berkerut. Apakah lelaki ini risau memikirkan kemungkinan cucu-cucunya nanti turut hilang dan didapati mati lemas secara penuh misteri seperti yang berlaku kepada anak-anak yang dilahirkan oleh Gangga dahulu? Demikian fikirnya.
“Jangan risau. Beta memberi jaminan bahawa tidak akan ada apa-apa bala yang menimpa mereka,” raja itu memberi jaminan tanpa berfikir sama ada baginda masih mampu menjadi bapa.
“Saya bukan risau memikirkan bala yang mungkin menimpa mereka. Ada persoalan lain yang jauh lebih penting,” pintas ketua komuniti nelayan itu dengan wajah yang serius.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/02/03/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-18/
No comments:
Post a Comment