Wednesday, February 06, 2013

Mahabharata – Bahagian 17


Raja Santanu membawa puteranya, Devavrata, pulang ke istana di Hastinapura dengan penuh gembira. Para penghuni istana pasti sahaja menerima kehadiran kanak-kanak itu dengan gembira tanpa sebarang pertanyaan.

Apabila tiba masa yang sesuai, Devavrata ditabalkan sebagai yuvaraja iaitu raja muda. Memandangkan putera itu adalah waris tunggal Santanu yang masih hidup, tiada apa-apa masalah dalam melaksanakan upacara pertabalan itu. Mengikut perancangan, suatu hari nanti, Devavrata akan menjadi pemerintah kerajaan keturunan Kuru menggantikan Santanu.

Masa terus berlalu dan Devavrata sudah meningkat remaja. Dia sibuk dengan urusan ketenteraan yang memang menjadi minatnya sejak kecil. Benarlah seperti apa yang telah dinyatakan oleh ibunya, Dewi Gangga bahawa putera ini pakar bidang veda dan vedanta, bahasa, seni, sastera serta sains yang dinamakan sukra.

Pada suatu hari, Santanu sedang bersiar-siar tidak jauh dari Sungai Yamuna. Tiba-tiba baginda terhidu bau yang sangat harum. Raja itu segera mengarahkan pemandu kereta kuda berhenti, lalu baginda meluru ke tebing sungai mengikut arah datangnya bau yang sungguh harum itu.

Apabila tiba di tebing Sungai Yamuna, Santanu terpandang seorang wanita cantik yang benar-benar menggoda jiwa. Segala perasaan cinta dan berahi yang terpendam sejak ditinggalkan Dewi Gangga, mula muncul kembali dalam diri raja itu.

Agak lama juga Santanu berdiri di tebing sungai seperti kena pukau sambil melihat wanita cantik itu mandi dengan gembira. Tentulah dia tidak menyedari bahawa ada orang yang sedang menontonnya dari jauh secara percuma.

Hanya apabila selesai mandi dan menukar pakaian lalu naik ke tebing sungai, barulah wanita itu menyedari kehadiran seorang lelaki di situ. Dia segera menggelabah dan hampir mahu menjerit meminta tolong.

“Janganlah risau, wahai juita. Beta Raja Santanu, pemerintah keturunan Kuru. Maafkan beta kerana beta terpaku melihat kejelitaan kau semasa kau sedang mandi tadi. Beta begitu ingin memperisterikan kau. Adakah kau sudi?” Santanu bertanya tanpa berselindung.

Wanita itu pula segera tersipu-sipu menahan malu. Dia pernah mendengar kisah mengenai Santanu yang menjadi bapa kepada lapan putera di mana tujuh daripadanya dilaporkan meninggal dunia secara penuh misteri dalam masa beberapa hari sahaja selepas dilahirkan. Putera bongsu pula muncul kembali selepas hilang bertahun-tahun lamanya.

“Saya ada mendengar bahawa tuanku hidup sendirian bersama-sama seorang putera sejak ditinggalkan isteri,” kata wanita itu sambil tertunduk malu dan pipinya memerah. “Apakah pekerjaan tuanku sekarang adalah menghendap gadis-gadis yang mandi di sungai?”

Santanu ketawa kecil. Daripada cara wanita itu bercakap, baginda tahu bahawa dia tidak marah. Malah, lirik matanya menceritakan bahawa wanita itu – gadis itu – gembira apabila mendapat perhatian daripada seorang raja yang berkuasa.

“Beta pada mulanya ditarik ke mari oleh bau harum yang rupa-rupanya tersebar dari rambut kau yang menggerbang. Kemudian, selepas melihat tubuh kau yang menggoda, beta terus tertawan.

Apatah lagi apabila beta berpeluang melihat wajah kau yang jelita,” kata Santanu dengan suara romantik sambil jari-jemari tangan kanan memegang dagu gadis itu dan mengangkatnya perlahan-lahan.

“Apakah benar hajat tuanku mahu memperisterikan saya?” tanya gadis itu seraya kembali menundukkan kepala.

“Benar. Sudah sekian lama beta hidup menyendiri tanpa memikirkan soal kepuasan hidup suami-isteri. Segala kemahuan dan keinginan itu muncul tiba-tiba pada saat beta terpandang kau sebentar tadi,” Santanu yang mabuk dilamun cinta berahi mengakui tanpa segan-silu.

“Tapi saya hanyalah anak nelayan sedangkan tuanku seorang pemerintah di Hastinapura.”

“Semua itu tidak menjadi persoalan dalam urusan cinta. Beta berhak membuat apa sahaja pilihan dan rakyat jelata serta seluruh isi istana tidak akan dan tidak berhak mempersoalkan apa-apa keputusan beta,” raja itu menegaskan.

“Itu di pihak tuanku. Tapi di pihak saya pula, ada syarat-syarat tertentu,” kata gadis itu sambil mencuri pandang ke arah Santanu.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/01/27/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-17/

No comments: