Pada suatu hari, lapan dewa (“vasu”) sedang berkelah di dalam hutan di kawasan pergunungan bersama-sama isteri masing-masing. Mereka adalah Anala, Dhara, Anila, Aha, Pratyusha, Soma, Prabhasa dan Dhruva.
Seketika kemudian, isteri kepada Prabhasa terpandang seekor lembu betina (“nandi”) yang sedang meragut rumput tidak jauh dari tempat mereka sedang bersuka-ria.
“Oh, lihat lembu betina yang sangat sihat dan berisi itu! Bolehkah saya memilikinya?” tanya wanita itu kepada suaminya yang juga merupakan ketua bagi kumpulan dewa.
Para isteri lain serta suami masing-masing juga memandang ke arah lembu yang dimaksudkan. Ternyata lembu betina itu sihat dan pasti mampu memberikan susu yang segar dan banyak pula.
“Cuba kau lihat betul-betul. Lembu itu sedang meragut rumput di kawasan asrama (“ashram”) dan tentulah ada tuannya,” kata Prabhasa. “Untuk apa kau mahukan lembu itu yang sudah bertuan?”
“Khabarnya lembu itu menghasilkan susu yang mampu membuatkan seseorang hidup selama-lamanya seperti golongan vasu,” kata sang isteri sambil memandang ke arah para isteri lain; seperti mahu mendapatkan sokongan mereka.
Tujuh orang isteri itu juga kelihatan berminat dengan keistimewaan itu. Kelapan-lapan dewa pula ketawa. Mereka hairan mengapa isteri mereka mahu memiliki lembu yang menghasilkan susu seperti itu.
“Bukankah kita golongan dewa-dewi? Apa perlunya kita minum susu lembu dengan kuasa ajaib itu untuk mampu hidup selama-lamanya?” Dhruva bertanya.
Isteri Prabhasa mencebikkan bibir sebelum menjelaskan: “Kami para dewi ada seorang kawan iaitu manusia biasa di bumi. Kami berlapan mahu menghadiahkan lembu ajaib ini kepadanya supaya dia juga boleh hidup selama-lamanya dan bercerita selama-lamanya bersama-sama kami.”
Dipendekkan cerita, kelapan-lapan dewa itu bersetuju untuk mencuri lembu berkenaan berikutan desakan dan pujukan para isteri. Namun, pada saat mereka mengheret lembu betina itu keluar dari asrama, seorang maharishyi meluru keluar.
Beliau ialah Maharishyi Vasishta iaitu pemilik asrama berkenaan; sekali gus tuan punya lembu betina yang sedang dicuri. Beliau terkejut melihat lapan dewa sedang mengheret lembu betina miliknya.
“Betapa hina perbuatan kamu semua mencuri lembu ini!” Vasishta menjerit dengan penuh kecewa sambil cuba menyembunyikan amarah. “Saya sumpah kamu berlapan supaya lahir ke bumi sebagai manusia!”
Para dewa terbabit serta isteri mereka terkejut. Mereka meluru ke arah Vasishta dan menyembah di hadapannya sambil memohon keampunan. Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Bagaimanapun, Vasishta akur pada pujuk-rayu kesemua dewa itu dan para isteri mereka. Maharishyi itu bersetuju untuk melonggarkan sedikit sumpahan yang dilafazkannya; tetapi tidak akan menarik balik keseluruhan sumpahan itu.
“Kamu berlapan akan tetap lahir ke bumi sebagai manusia. Kamu mintalah ibu atau bapa kamu supaya membunuh kamu dalam tempoh tidak sampai setahun selepas dilahirkan. Maka, kamu akan mampu menjadi dewa seperti sediakala.”
Kelapan-lapan dewa berkenaan dan isteri mereka tetap terkejut dengan hukuman berupa sumpahan yang dikenakan itu. Namun, mereka mengucapkan terima kasih atas kesudian Vasishta memberikan sedikit kelonggaran.
“Kamu pula, wahai Prabhasa!” Maharishyi Vasishta menambah. “Oleh kerana kamu yang mengetuai kumpulan vasu yang bertindak mencuri lembu saya, maka kamu tidak akan berpeluang untuk segera kembali menjadi dewa. Sebaliknya kamu akan hidup sebagai manusia hingga usia tua.”
Prabhasa dan para dewa lain cuba memujuk Vasishta tetapi maharishyi itu tidak mahu melonggarkan sumpahannya. Beliau meminta mereka bertemu Dewi Gangga untuk urusan lanjut.
“Maka, kelapan-lapan dewa itu bertemu Dewi Gangga dan meminta beliau menjadi ibu mereka?” Hassan bertanya dengan penuh tidak sabar sewaktu mendengar cerita datuk.
“Ya, benar. Dewi Gangga yang muncul sebagai gadis bernama Gangga di hadapan Raja Santanu dan menjadi isterinya,” datuk menjelaskan.
“Sebab itulah Permaisuri Gangga membunuh tujuh bayi yang baru lahir itu? Iaitu sebagai memenuhi permintaan dewa-dewa itu yang mahu segera meninggalkan bumi dan kembali menjadi vasu?” Hussain juga bertanya untuk mendapatkan kepastian.
Datuk mengangguk. Kemudian beliau memandang kedua-dua cucu kembarnya bagaikan bertanya: “Mahu tahu apa pula yang berlaku kepada bayi kelapan iaitu Prabhasa?”
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/01/06/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-14/
No comments:
Post a Comment