Monday, January 07, 2013

Mahabharata – Bahagian 11


Raja Santanu terasa amat hairan memikirkan mengapa isterinya, Gangga, tergesa-gesa membawa putera yang baru lahir ke tebing Sungai Ganges.

Walau bagaimanapun, baginda tetap ingat pada janji yang dimeterai iaitu bahawa baginda tidak akan mempersoalkan atau menghalang apa-apa yang dilakukan oleh isteri kesayangannya itu.

Santanu terasa hairan. Baginda segera mengekori isterinya hingga ke tebing sungai. Sebaik sahaja sampai di sana, Gangga berjalan masuk ke dalam sungai. Apabila air sudah berada pada paras dada, ibu muda itu segera menenggelamkan bayi yang baru berusia beberapa jam.

Tentu sahaja Santanu terkejut menyaksikan apa yang sedang berlaku di depan mata. Bagaimanapun, baginda terus bersembunyi di belakang pokok. Gangga pula terus berdiri di dalam air sungai bagaikan sedang bertafakur. Bayi berkenaan pula ternyata sudah mati lemas dan mayatnya dihanyutkan air sungai.

“Oh! Begitu kejam sekali Permaisuri Gangga?” Hussian bertanya dengan mulut terlopong.
“Kenapa dia tergamak membunuh anaknya sendiri?” Hassan pula bertanya sambil matanya terbeliak.

Datuk yang sedang menceritakan kisah Mahabharata kepada pasangan kembar itu tidak segera menjawab. Beliau bagaikan turut terkesima mengenangkan episod yang baru diceritakannya.

“Sebenarnya, itulah juga pertanyaan yang timbul dalam fikiran Raja Santanu. Baginda tertanya-tanya mengapa isteri baginda tergamak membunuh putera sulung mereka yang baru lahir,” kata datuk sebelum meneruskan cerita.

Santanu terfikir untuk segera bergegas mendapatkan isterinya. Baginda mahu menampar pipinya dan menggoncang tubuhnya untuk menyedarkannya daripada apa sahaja mimpi atau pukau yang sedang dialaminya.

Baginda juga mula tertanya-tanya tentang asal-usul dan identiti sebenar isterinya. Namun begitu, baginda tetap ingat akan janji dahulu. Maka, raja berkenaan hanya mampu berdiri kaku sepanjang peristiwa Gangga membunuh anak mereka dengan melemaskannya dalam Sungai Ganges.

Sejurus kemudian, Gangga melangkah naik ke tebing sungai. Santanu terus memperhatikan dari tempat persembunyian di belakang pokok. Perasaan baginda berbaur antara marah, hairan, kecewa dan benci apabila menyedari bahawa Gangga tidak menampakkan reaksi sedih. Sebaliknya, wanita itu sedang tersenyum gembira dan puas. Wajahnya berseri-seri bagaikan baru sahaja berjaya melakukan suatu perkara yang membanggakan
.
Gangga kembali ke istana Kerajaan Hastinapura dan meneruskan kehidupan bagaikan tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Santanu juga pulang ke istana dan terpaksa berpura-pura tidak mengetahui apa yang sudah berlaku dan disaksikannya sendiri di tebing Sungai Ganges.

Maka, peristiwa Gangga mengandung dan melahirkan putera sulung, serta episod hitam bayi itu dibunuh dengan melemaskannya di Sungai Ganges bagaikan tidak pernah berlaku dalam hidup Santanu, Gangga dan sesiapa sahaja yang mengetahuinya.

Santanu terus menahan keinginan mahu meminta isterinya menjelaskan tindakannya yang merupakan jenayah besar dan wajar dihukum. Bagaimanapun, baginda sedar bahawa sekiranya baginda mengemukakan apa-apa pertanyaan, Gangga mungkin akan kecewa dan memutuskan untuk meninggalkan istana.

Lalu, Santanu menyembunyikan kesedihan dalam jiwa dan meneruskan hidup bersama-sama Gangga yang penuh misteri. Tidak lama kemudian, permaisuri itu mengandung lagi. Semakin dekat tarikh kelahiran bayi, semakin hati Santanu berdebar-debar memikirkan pelbagai kemungkinan. –


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/12/16/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-11/

No comments: