Apabila sampai masa, Gangga melahirkan anak kedua. Hati Raja Santanu berbaur antara rasa gembira, runsing dan sedih. Apakah putera kedua ini bakal menerima nasib yang sama seperti nasib putera sulung setahun lalu?
Beberapa jam sahaja selepas Gangga melahirkan anak kedua, perkara yang ditakuti Santanu pun berlaku. Permaisuri berkenaan mendukung bayi itu dan berjalan seorang diri menuju ke tebing Sungai Ganges. Santanu mengekori dengan jantung berdebar.
“Adakah Raja Santanu akan menghalang Permaisuri Gangga pada kali ini?” Hussain bertanya dengan tidak sabar sewaktu mendengar datuk menceritakan kisah daripada epik Razmnameh iaitu terjemahan Bahasa Parsi bagi Mahabharata.
“Saya harap baginda akan menghalang isteri baginda daripada melakukan jenayah pada kali ini. Saya harap Raja Santanu tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan setahun lalu,” kata Hassan pula dengan penuh yakin.
Datuk tidak segera memberikan sebarang reaksi. Beliau faham bahawa kedua-dua cucu kembarnya memberikan reaksi berdasarkan situasi semasa. Bagaimanapun, apa-apa yang digambarkan berlaku dalam epik Mahabharata ada mesej tersendiri yang cuba disampaikan oleh pengarang kepada masyarakat umum.
“Sebenarnya, demikian juga keinginan Raja Santanu. Baginda memang mahu menghalang isteri baginda
daripada mengulangi perbuatan yang dilakukan setahun lalu,” datuk memberikan sedikit ulasan sebelum meneruskan cerita.
Gangga sudah tiba di tebing Sungai Ganges dan mula melangkah masuk ke dalam air yang mengalir tenang. Santanu pula terus tercegat di belakang rimbunan pokok tidak jauh dari situ. Baginda sudah dapat membayangkan apa yang bakal berlaku.
Selepas melemaskan bayi yang baru berusia beberapa jam itu, Gangga berjalan tenang naik ke darat. Kemudian, sambil tersenyum puas, wanita itu berjalan pulang ke istana. Santanu pula berjaya kembali ke istana Hastinapura sebelum Gangga pulang.
Santanu sedang duduk di singgahsana apabila Gangga melangkah masuk. Permasuri itu tidak berkata apa-apa. Sebaliknya masuk ke kamar untuk berehat. Santanu pula menangis teresak-esak mengenangkan nasibnya yang sudah kehilangan dua putera dalam masa dua tahun.
Namun begitu, Santanu masih tidak berani bertanya apa-apa kepada Gangga mengenai tindakannya yang bukan sahaja pelik tetapi merupakan jenayah besar di sisi undang-undang. Santanu tetap berpegang pada janjinya kepada Gangga sewaktu mereka bertemu di tebing Sungai Ganges lebih dua tahun lalu.
Mengikut syarat yang diletakkan oleh Gangga, Santanu tidak berhak mempersoalkan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh permaisuri itu. Sekiranya Santanu melakukan apa-apa yang boleh ditafsirkan sebagai mengecewakan Gangga, maka wanita misteri itu akan segera meninggalkan istana.
Santanu yang masih dilamun cinta tidak sanggup berpisah dengan isteri kesayangannya. Maka, baginda sanggup berdiam diri walaupun sudah kehilangan dua putera. Seisi istana di Kerajaan Hastinapura juga memilih untuk berdiam diri dan langsung tidak mengungkitkan pertanyaan mengenai misteri kehilangan putera-putera tersebut.
Hampir tiga bulan kemudian, Gangga mengandung lagi. Seperti yang sudah dapat diduga, bayi yang baru lahir itu dibawa ke Sungai Ganges dan dibiarkan mati lemas. Begitu juga nasib yang menimpa bayi keempat, kelima, keenam dan ketujuh.
Dalam tempoh tidak sampai lapan tahun berkahwin, Gangga melahirkan tujuh anak tetapi kesemuanya hanya sempat hidup selama beberapa jam sebelum mati lemas akibat perbuatan ibu yang melahirkan. Santanu pula hanya mampu bersembunyi di sebalik pokok dan menyaksikan peristiwa sama berulang saban tahun.
Apabila Gangga mengandung anak kelapan pada tahun seterusnya, Santanu bertekad untuk tidak terus menjadi pengecut. Baginda sudah kehilangan tujuh orang waris dan tidak rela kehilangan seorang lagi putera. Tambahan pula, usia baginda semakin lanjut. Jika ditangguhkan, mungkin baginda tidak mampu menjadi seorang bapa.
Namun begitu, akan mampukah Santanu menghalang perbuatan Gangga?
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/12/23/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-12/
No comments:
Post a Comment