Tidak lama kemudian, Gangga melahirkan anak kelapan. Seperti yang dibimbangi, permaisuri yang penuh misteri itu mendukung bayi berkenaan beberapa jam sahaja selepas dilahirkan dan berjalan menuju ke Sungai Ganges.
Sambil menahan perasaan marah, kecewa, bingung dan sedih, Raja Santanu mengekori isterinya dengan senyap. Hati baginda berbelah-bagi antara mahu menghalang tindakan Gangga dan kemungkinan kehilangan isteri tercinta.
Akhirnya, sewaktu Gangga sudah berada di dalam sungai, Santanu keluar dari tempat persembunyian di belakang pokok-pokok di tebing Sungai Ganges.
“Berhenti! Hentikan pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini! Hentikan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang Kerajaan Hastinapura dan keturunan Kuru!”
Hassan dan Hussain serentak bertepuk dan tersenyum girang mendengar kisah yang disampaikan oleh datuk. Mereka gembira kerana akhirnya Santanu sudah memberanikan diri untuk tampil menghalang perbuatan Gangga membunuh bayi-bayi yang baru lahir.
“Tujuh bayi sudah dibunuhnya dan Raja Santanu hanya mendiamkan diri,” Hussain tetap mengeluh mengenangkan cerita datuk sebelum ini berdasarkan Razmnameh iaitu versi terjemahan epik Mahabharata dalam Bahasa Parsi.
“Mujurlah akhirnya baginda memberanikan diri menentang kezaliman yang dilakukan isteri baginda,” kata kembarnya, Hassan, bagi meredakan sedikit kesedihan dalam jiwa.
“Benar. Selepas tujuh bayi dibunuh dalam masa tujuh tahun berturut-turut, akhirnya Santanu tampil menghalang perbuatan Gangga. Akan tetapi, tindakan baginda sekali gus melanggar perjanjian yang dimeterai hampir lapan tahun lalu,” datuk menyambung cerita.
Sebelum mereka berkahwin, Gangga mengenakan tiga syarat yang dipersetujui oleh Santanu. Syarat pertama adalah bahawa baginda tidak akan bertanya apa-apa mengenai asal-usul dan identiti sebenar Gangga.
Selepas mereka berkahwin, Santanu juga disyaratkan tidak akan menghalang apa-apa yang dilakukan oleh si isteri. Selain daripada itu, baginda diminta berjanji tidak akan mengecewakan isterinya. Kalau Gangga merasakan dirinya dikecewakan, maka wanita itu akan segera meninggalkan suami dan istana.
Gangga ternyata tidak berjenaka sewaktu mengemukakan ketiga-tiga syarat yang pelik itu. Santanu pula membiarkan sahaja Gangga melakukan apa sahaja – termasuk membunuh tujuh bayi sejak tujuh tahun lalu – kerana tidak mahu mengecewakan hati si isteri.
Namun begitu, akhirnya pemerintah Kerajaan Hastinapura itu sudah tidak dapat menahan kekecewaan dan kesedihan yang ditanggung sejak hampir lapan tahun lalu. Demi memastikan isteri tetap berada di sisi, baginda hanya berdiam diri apabila seorang demi seorang puteranya mati dibunuh Gangga di Sungai Ganges.
Kini, Gangga sedang berdiri di dalam sungai yang sama sambil mendukung putera kelapan. Santanu berlari masuk ke dalam sungai kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.
“Nampaknya tuanku sudah melanggar perjanjian yang kita persetujui hampir lapan tahun lalu. Tuanku sudah mula mempersoalkan tindakan saya. Malah, tuanku berani menuduh saya melakukan jenayah dan pembunuhan,” kata Gangga dengan selamba sambil mengukir senyuman sinis.
“Tapi bukankah perbuatan kau memang salah? Beta tidak sanggup membiarkan perbuatan gila seperti ini berterusan. Kalau putera kelapan ini juga dibunuh, nescaya beta tidak akan mampu mempunyai waris bagi meneruskan pemerintahan kerajaan keturunan Kuru,” katanya.
Gangga pula ternyata tidak berminat untuk mendengar keluhan dan rintihan Santanu. Wanita itu terus mendukung bayi berkenaan sambil memastikan suaminya tidak cuba menghampirinya. Mungkin bimbang bahawa bayi di tangan akan dirampas.
“Jika persoalan utama bagi tuanku adalah soal waris, maka saya berjanji tidak akan membunuh bayi ini,” Gangga berkata seketika kemudian sambil terus berdiri dalam Sungai Ganges.
Santanu cuba bergerak menghampiri Gangga untuk mengambil bayi berkenaan sebelum wanita itu mengubah fikiran. Bagaimanapun, Gangga menghalang dengan tegas.
“Biarlah saya yang membesarkan bayi ini kerana sayalah ibunya. Hanya seorang ibu yang tahu makna kasih sayang. Bagaimanapun, saya tidak sanggup hidup bersama-sama tuanku. Tuanku sudah melanggar perjanjian kita dan saya akan pergi membawa diri.”
Santanu terkejut dan matanya terbeliak. Baginda tidak dapat membayangkan sebuah kehidupan tanpa Gangga di sisi. Dan nampaknya, puteranya juga tidak akan tinggal bersama-sama baginda.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/12/30/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-13/
No comments:
Post a Comment