Monday, May 28, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 31


Dengan matinya Patala Maharayan, maka rasmilah perang antara Rama dan Ravana. Ravana menghantar panglima tenteranya yang terbaik untuk memusnahkan Rama. Semua panglima itu berjaya dikalahkan. Lalu kami semua mula meniti ke Langkapuri.

Sampai di pantai Langkapuri, kami mendirikan khemah. Istana Ravana sudah semakin jelas di depan mata.
Rava menghantar lagi panglima tenteranya. Mula Matani, Kumbakarana, Gagak Sura, Badak Giganda semuanya habis dibunuh oleh Rama, Letchumanen dan tentera Vanara.

Tentera di pihak Rama, ramai juga yang cedera. Lalu aku terbang ke Banjaran Himalaya di bahagian utara Benua Hindia. Di sana terdapat pokok wasliwayan yang berupaya menyembuhkan kecederaan seteruk mana sekalipun.

Oleh sebab aku pasti bahawa perang tidak akan tamat dalam tempoh terdekat, aku mencabut semua sekali pokok tersebut untuk dijadikan bekalan sepanjang perang.

Aku pun membawanya pulang ke Langkapuri. Kecederaan para tentera Dravida dan Vanara berjaya disembuhkan dengan kuasa sakti akar wasliwayan.

Semasa perang masih berlanjutan, datang Bibasenam yang merupakan nujum di istana Ravana. Dia datang sambil memegang bendera putih. Maka tidaklah dia kami bunuh.

Menurut Bibasenam, dia dihalau oleh Ravana setelah dia menasihati Ravana agar memulangkan Sita. Ravana telah mengarahkan raksasa di bawah naungannya supaya membunuh Bibasenam. Itulah sebabnya dia datang mencari perlindungan daripada Rama. Nujum tua itu bersumpah akan taat pada perintah Rama. Maka Rama menerimanya.

Perang masih mengganas. Harta musnah, nyawa melayang. Apabila senja menjelma, perang dihentikan mengikut adat. Memang begitu syarat berperang. Perang bermula pada waktu subuh gajah dan wajib ditunda sebelum senja raya.

Pagi berikutnya, perang akan diteruskan lagi. Harta akan kembali musnah; nyawa akan pasti melayang.
Tentera Ravana sudah pulang ke kota. Tentera Rama juga kembali ke khemah. Masing-masing mahu melepaskan lelah sementara menanti esok bagi menggadai nyawa.

Senja itu, para tentera kera tidur terlalu awal. Begitu juga tentera Rama. Juga Surgiwa, Letchumanen dan Rama sendiri. Tinggal aku dan Bibasenam sahaja.

“Patik rasa semua ini angkara Indrajit.”

“Indrajit?”

“Ya, dia tentu telah melepaskan panah wimuasara.”

“Wimuasara?” Aku agak bimbang.

“Anak panah itu berkuasa membuatkan segala hidupan tidur nyenyak semalaman.”

“Kita?”

“Patik memakai tangkal yang berupaya menangkis kuasa anak panah itu. …”

“Saya?”

“Patik kurang pasti. …”

Indrajit sudah melepaskan anak panah saktinya. Apakah pula tindakan dia seterusnya?

“Kau berkawal di luar. Patik akan berkawal di dalam khemah Rama.”

Setelah Bibasenam masuk ke dalam khemah, aku terus duduk berkawal di luar. Biar siapa pun yang datang, tidak mungkin akan aku benarkan masuk.

Indrajit. Siapa yang tidak kenal nama itu. Indrajit sehebat Rama; Cuma dia memihak pada orang yang bersalah.

Malam bertamu. Aku terus berwaspada. Lama selepas itu, muncul sekujur lembaga dari sebalik rimbunan pokok renek.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/26/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-31/

No comments: