Monday, May 07, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 25


Wira apakah itu yang menghantar seekor kera yang menjijikkan untuk menyelamatkan aku?” Sita memandang penuh keji. “Tidakkah jatuh daulatku? Tidakkah jatuh tarafku?”

Aku menunggul sahaja. Tenang hatiku, tenang. Semua ini adalah tanda kasih ibu padaku. Tenanglah hati.

“Kalau dia gagah, tentu dia akan datang sendiri untuk menyelamatkan aku.”

“Tapi itu bermakna Rama terpaksa datang ke Langkapuri dan memerangi Ravana terlebih dahulu.”

“Tidak mengapa,” Sita menjawab selamba sambil membetulkan ikatan sanggulnya.

“Tentu lama,” aku berkata dalam usaha mengubah pendirian Sita. “Bagaimana dengan keselamat diri …?”

“Pandai-pandailah aku menyesuaikan diri.”

“Tapi Rama sangat rindu untuk bertemu …”

“Kalau dia mahu melepaskan rindu bersamaku, suruhlah dia sahaja yang datang ke sini. …”

Aku pejamkan mata rapat-rapat. Dalam kegelapan itu, aku nampak seekor kera. Matanya persis mata manusia; cuma hijau. Telinganya antara milik manusia dan kera. Hidung, mulut ternyata kera.

Mukanya hampir berbentuk empat segi. Bahagian atas kepalanya separuh bulat, hampir menyamai bulan setengah purnama. Leher kera itu kejang dipenuhi otot pejal. Begitu juga dadanya yang bidang. Juga bahu. Tidak padan dengan usianya yang baru mencapai tiga belas tahun pada waktu itu.

Mata hijaunya redup. Ada sinar di dalamnya. Berkaca diselaputi air mata jernih. Di cuping telinga kirinya ada subang pemberian Rama.

Akulah kera itu. Kera putih, pengikut setia Rama. Kera yang berkeupayaan masuk ke dalam mimpi orang-orang yang disayanginya.

Kera yang kini menjadi raja memerintah Kerajaan Indus yang terentang dari Lembah Sindhu hingga ke sempadan Ayodhya.

Hodohkah aku seperti kata Rama; kata Sita?

Setelah gagal memujuk ibu mengikutku pulang ke Pantai Malabar di selatan Hindia, aku terbang sendirian untuk pulang ke sana. Hatiku benar-benar pilu memikirkan nasib yang menimpa diriku.

Sepanjang perjalanan – atau penerbangan – itu, air mata tidak berhenti-henti gugur ke dalam laut.
“Ampun, tuanku.”

Aku cepat-cepat mengesat air mata yang berlinangan. Penjaga kubur itu sedang berdiri di hadapanku sekali lagi. Apa pula yang dia mahu pada kali ini?

“Tuanku sudah terlalu lama duduk termenung di sini; sejak pagi tadi …”

Benar juga kata-katanya. Aku lihat matahari sudah mula condong ke barat. Makam Tamnat Gangga juga sudah basah akibat terkena air mataku yang mengalir deras.

“Saya mahu bersendirian lagi. Pergilah, saya tidak apa-apa,” aku berkata bagi meyakinkan penjaga kubur itu.

Dia pun berlalu setelah mengulangi sembah. Aku kembali merenung makam Tamnat Gangga. – Bersambung esok.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/05/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-25/

No comments: