Monday, May 07, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 26


“Hanya kita berdua yang boleh membunuh Ravana dan menyelamatkan Sita.”

Demikian aku memberanikan diri untuk memberi pendapat setelah pulang daripada menemui Sita di Langkapuri. Rama, Letchumanen, Surgiwa dan para tentera sudah sampai di Pantai Malabar pada waktu itu.

“Kau?” Ayah senyum meleret.

“Ya, saya boleh terbangkan kita ke Langkapuri,” aku cuba meyakinkan Rama menerusi cadangan itu.

“Dan?” Rama hampir mahu ketawa.

“Ravana kita bunuh. Sita kita selamatkan!” Aku sudah dapat membayangkan Ravana mati dibunuh di hadapan istananya.

Rama ketawa berdekah-dekah hingga mengejutkan senja.

“Dan tenteraku?” Dia bertanya apabila ketawanya reda.

“Mereka boleh tunggu di sini sehingga kita pulang.” Aku senyum. Gembira.

“Jadi, yang pergi adalah kita berdua sahaja?”

Aku mengangguk di hadapan Rama yang masih belum mengakui aku anaknya. Mungkin selepas ini akan tiba masanya untuk aku memanggilnya ‘ayah’ sepuas hati.

“Itulah cara terpantas.”

“Wahai kera kecil, itu bukanlah tindakan yang wajar bagiku, seorang wira ternama. Perbuatan yang kau cadangkan ini samalah seperti mencuri. Atau membunuh seorang anak kecil yang sedang tidur nyenyak. Wirakah tindakan sebegitu?”

Rama berdiri dari tempat duduknya. Aku tergamam.

“Aku akan bawa tenteraku ke Langkapuri.” Rama menggenggam penumbuknya. “Aku akan musnahkan Ravana.”

“Tapi …”

“Tidak perlu bertapi lagi, wahai kera. Pergilah kau bermain. Ini urusan kami, para wira. Surgiwa, arahkan rakyat kau membina tambak ke Langkapuri!”

Aku terdiam. Tidak berani melawan cakap ayah.

Surgiwa memberi arahan kepada kaum Vanara iaitu kaum kera dari negeri Kishikindha supaya mengangkat batu-bata dari bukit dan membuangnya ke laut. Lalu, mulalah setiap kera mengangkat batu-batu yang termampu oleh tenaga untuk memulakan kerja menambak dengan segera.

Rama dan Letchumanen duduk memperhati. Kera-kera kecil mengangkat batu-batu kecil; kera-kera besar mengangkat batu-batu besar; kera-kera tua mengangkat mana-mana yang terdaya.

Aku pula tentunya berupaya mengangkat batu-batu yang paling besar. Rama dan Letchumanen terkejut melihatnya, tetapi didiamkan sahaja. Cuma Surgiwa yang memuji secara berlebih-lebihan.
Bukan pujian sebegitu rupa yang aku mahu, tapi secebis kasih daripada ayah dan ibu.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/06/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-26/

No comments: