Tambak itu akhirnya sempat kami siapkan dalam masa dua minggu. Itulah hasil usaha gigih seribu kera. Setelah penat memindahkan bukit-bukau ke laut, nampaklah tambak yang menganjur jauh dari Pantai Malabar ke Langkapuri.
“Kita perlu berehat dulu, Rama. Semua rakyat kera kepenatan kerana bekerja siang malam.”
Surgiwa duduk di atas batu sambil mengesat peluh dan mengibas-ngibas ekornya. Kaum Vanara yang lain turut duduk merehatkan diri. Ada yang duduk di atas dahan pokok, ada yang duduk di atas tanah. Masing-masing sudah tidak bermaya.
Rama berdiri megah memandang ke arah Langkapuri yang tidak terjangkau oleh mata. Apa yang kelihatan cuma tambak yang menghilang di tengah samudera.
“Usah risau, Surgiwa.” Rama ketawa. “Kau dan rakyat kau bolehlah pulang berehat. Kembalilah ke Kishikindha. Tugas kalian selesai di sini sahaja.”
“Tapi …”
“Usah mahu bertapi lagi, wahai Surgiwa. Khidmat rakyat kau tidak diperlukan lagi. Sekarang, aku dan tentera aku akan meniti ke Langkapuri. Kau bawalah rakyat kau pulang.”
Itulah keputusan yang diambil. Dan kami, kaum kera, perlu pulang meneruskan hidup seperti biasa. Mengapa? Tidak layakkah kami menjadi tentera memerangi Ravana?
"Apa pula fikir Ravana kalau tenteraku kera!”
Hinakah kami? Mengapa Tuhan harus mencipta kami sebegini rupa? Tapi cepat-cepat aku sedar akan kuasa Tuhan. Tuhan Maha Berkuasa. Tuhan Maha Arif. Ada hikmah di sebalik setiap tindakan-Nya.
Bukankah aku dicipta Dewata Mulia Raya untuk membantu Rama membunuh Ravana? Dalam sandiwara Tuhan, setiap watak ciptaan-Nya ada peranan tersendiri.
Cuma sesekali, apabila seseorang menunjukkan kehandalan, dia pun didewa-dewakan tanpa berbalik pada kenyataan bahawa semua itu adalah kuasa Tuhan. Tuhan adalah selamanya pemilik mutlak alam semesta.
“Aku sendiri akan berdepan dengan Ravana yang durjana.”
Itulah Rama, ayahku. Dia tidak memerlukan aku. Atau dia mungkin belum benar-benar memahami siapa aku dan apa sebenarnya keupayaanku yang dianugerahkan Tuhan.
Ibu tidak membenarkan aku membawanya keluar dari istana Ravana. Ayah pula tidak membenarkan aku membantunya. Lalu, apa yang boleh aku buat?
“Wira terbilang ini tidak memerlukan bantuan sesiapa pun kini. …”
Itulah Rama, ayahku yang masih belum mengakui aku anaknya. Tapi Rama tidak pula terus mengabaikan aku. Bukankah aku darah-dagingnya? Cuma tindakannya penuh ketaksaan. Agak implisit. –
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/12/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-27/
No comments:
Post a Comment