Thursday, May 23, 2013

Mahabharata – Bahagian 33


Putera Salva dari Kerajaan Saubala sering terkenang akan kekalahannya di tangan Bhisma semasa swayamvaram (sayembara) yang diadakan oleh Raja Kaasi. Lebih malang apabila putera itu masih gagal sewaktu berdepan dengan Bhisma bagi kali kedua.

“Betapa aku telah dimalukan! Kekasih aku dibawa pergi di depan mataku sendiri,” katanya kepada diri sendiri dengan perasaan yang berbaur antara marah, kecewa dan malu.

Pada waktu itulah Puteri Amba sampai dari Hastinapura. Sebaik sahaja turun dari kereta kuda, putera itu berlari ke arah kekasihnya. Tanpa dirancang, air mata berguguran.

“Apa yang kau lakukan di sini?” Salva bertanya dengan nada hairan, terkejut dan marah. “Bukankah kau sudah dibawa pergi oleh Bhisma untuk dijadikan isteri?”

Amba segera mengesat air mata dan cuba tersenyum di hadapan kekasihnya. Puteri itu amat memahami rasa terkejut, hairan dan marah yang diluahkan oleh Salva menerusi reaksinya itu.

“Kita tersilap. Kami bertiga iaitu Ambika, Ambalika, saya dan ayahanda, Raja Kaasi tersilap,” Amba menceritakan dengan gembira. “Rupa-rupanya Bhisma bukan menyertai sayembara untuk mencari calon isteri bagi dirinya.”

Salva mengerutkan kening. Sambil itu dia memandang wajah Amba. Ternyata puteri itu amat ceria; berbeza dengan situasi semasa kali terakhir Salva melihat Amba, Ambika dan Ambalika dibawa pergi oleh Bhisma ke Hastinapura menaiki kereta kuda.

“Bhisma membawa kami ke Hastinapura untuk dijadikan isteri oleh adik tirinya, Vichitravirya,” kata Amba sebelum menceritakan dengan lengkap apa yang berlaku. Diceritakannya juga mengenai perkahwinan Vichitravirya dengan Ambika dan Ambalika.

Lama selepas Amba menghabiskan ceritanya, Salva terus duduk terdiam. Kepalanya tertunduk. Amba pula masih berdiri di hadapannya dengan penuh harapan.

“Cinta kita berdua ternyata amat hebat. Cinta itu akhirnya menyatukan kita. Akhirnya kita akan dapat merealisasikan impian menjadi pasangan suami-isteri.”

Kata-kata Amba tidak diendahkan oleh Salva. Sebaliknya, putera itu membayangkan semula kekalahan yang dialaminya dalam swayamvaram di istana Raja Kaasi. Tidak lupa juga kekalahan kedua yang amat memalukan apabila cuba menghalang perjalanan Bhisma pulang ke Hastinapura dahulu.

“Maafkan aku, Amba,” kata putera itu akhirnya sambil kepalanya masih tertunduk. “Aku tidak dapat menerima kau.”

“Apa?” Mata Amba terbeliak. “Bukankah kita pernah bersumpah untuk sehidup semati?”

“Semua itu adalah ucapan dan kata-kata romantik dari bibir orang yang sedang dilamun cinta. Namun, apa yang berada di depan mata pada saat ini adalah realiti, bukan lagi dunia fantasi dan lamunan seperti sewaktu kita berdua bertemu dahulu.”

Amba terkedu mendengar kata-kata itu. Dia cuba berkata sesuatu tetapi segera memutuskan untuk berdiam diri. Air mata kembali mengalir menuruni pipi.

“Keputusan aku adalah muktamad. Aku tidak dapat menerima kau sebagai isteri kerana ia melibatkan soal maruah. Bukan soal maruah kau sebagai seorang wanita, tetapi soal maruah aku sebagai seorang lelaki dan bakal pemerintah Kerajaan Saubala.”

“Apakah aku sedang bermimpi atau semua ini memang sedang benar-benar berlaku?”

“Semua ini adalah sebahagian daripada realiti kehidupan. Kau pulanglah ke Hastinapura dan berkahwinlah dengan Bhisma. Dia yang menjadi juara dalam sayembara anjuran ayah kau. Maka, Bhisma yang sepatutnya dan selayaknya menjadi suami kau, bukan aku.”

Pandangan mata Amba menjadi kabur. Kata-kata yang diucapkan oleh Salva sudah tidak kedengaran dalam telinganya. Puteri itu terus pitam dan jatuh terkulai.

Apabila Amba membuka mata hampir setengah jam kemudian, dia menyedari dirinya berada di dalam kereta kuda yang sama seperti tadi. Kereta kuda itu sudah meninggalkan Saubala dan sedang menuju ke Hastinapura.


Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/05/19/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-33/

No comments: