Monday, May 20, 2013

Mahabharata – Bahagian 32


Nasib Puteri Amba bagaikan jatuh tangga ditimpa tangga. Sejak beberapa bulan lalu, dia bercinta dengan Putera Salva dari Kerajaan Saubala.

Walau bagaimanapun, ayahnya iaitu Raja Kaasi mengadakan swayamvaram (sayembara) bagi memilih bakal suami bagi Amba dan dua orang adiknya, Ambika dan Ambalika.

Salva tewas kepada Bhisma dalam sayembara melibatkan pertandingan bermain pedang. Malah, putera itu kalah kali kedua apabila cuba berdepan dengan Bhisma semasa mereka dalam perjalanan menuju ke istana di Hastinapura.

“Saya bersedia untuk mengahwini Ambika dan Ambalika, tetapi saya tidak dapat menerima Amba.”
Demikian pula keputusan Vichitravirya sebaik sahaja putera itu mendapat tahu bahawa hati dan cinta Amba sudah menjadi milik orang lain.

Bhisma terkejut mendengar kata-kata adik tirinya yang ternyata sudah semakin matang dalam membuat keputusan. Amba turut terkejut mendengar keputusan Vichitravirya. Ambika dan Ambalika berpandangan. Dalam diam, mereka gembira kerana kakak mereka masih ada peluang untuk bersama kekasihnya, Salva.

“Maknanya kau menolak hadiah yang aku bawa khas untuk kau?”

“Maafkan saya, kekanda. Saya tidak dapat menerima seorang wanita yang sudah menyerahkan jiwa dan raga kepada lelaki lain. Memanglah dalam budaya keturunan Kuru dan Bharata, seorang putera dan raja memiliki beberapa isteri. Akan tetapi, kalau saya mengambil Amba sebagai isteri, terasa seolah-olah saya menjadi suami kedua kepadanya.”

Kata-kata yang diucapkan oleh Vichitravirya sedikit sebanyak menghiris perasaan kewanitaan Amba. Walaupun puteri itu bercinta dengan Salva sejak beberapa bulan lalu, maruah diri dan kewanitaan masih terpelihara sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Amba masih terasa sedikit gembira mendengar keputusan tegas yang dibuat oleh putera berkenaan. Maknanya, Amba masih ada peluang untuk kembali bersama kekasihnya, Salva.

Di pihak Ambika dan Ambalika, mereka tidak keberatan untuk mengahwini Vichitravirya. Sebelum ini, pasangan adik-beradik itu menyangka bahawa mereka akan dijadikan isteri oleh Bhisma yang sudah tua.

Apabila menyedari bahawa bakal suami mereka adalah Vichitravirya yang masih bujang, belia, kacak dan bertubuh sasa, Ambika dan Ambalika sudah mula menyukai putera berkenaan. Malah, mereka tidak keberatan untuk berkongsi suami mengikut tradisi keturunan Kuru.

Dipendekkan cerita, majlis perkahwinan melibatkan Vichitravirya, Ambika dan Ambalika dilangsungkan secara besar-besaran di Hastinapura. Semua pihak terasa amat gembira; termasuk Bhisma dan Amba.

Malah, Amba mula menyedari bahawa Bhisma yang tegas, gagah dan bengis semasa menyertai swayamvaram beberapa hari lalu, sebenarnya memiliki jiwa yang lembut. Hasil perbualan dengan penghuni istana, tahulah Amba akan kisah Bhisma sejak kecil, iaitu sewaktu dia masih dikenali dengan nama Devavrata.

Amba turut kagum dengan tindakan putera kepada Raja Santanu dan Dewi Gangga itu yang berikrar untuk kekal bujang dan teruna demi memastikan ayahnya boleh berkahwin dengan Satyavati, anak kepada ketua komuniti nelayan.

Beberapa hari selepas majlis perkahwinan melibatkan Vichitravirya, Ambika dan Ambalika selesai, Amba bersedia untuk pergi ke Saubala bagi bertemu Salva. Puteri itu dapat membayangkan rasa terkejut pada wajah kekasihnya apabila putera itu mendapat tahu bahawa mereka berdua masih boleh merealisasikan impian menjadi suami-isteri.

Sepanjang perjalanan menaiki kereta kuda khas dari Hastinapura, Amba terbayang-bayang akan majlis perkahwinannya nanti bersama Salva. Pasti lebih meriah dan bermakna berbanding majlis perkahwinan Ambika dan Ambalika yang diperisterikan oleh Vichitravirya.

Seperti yang memang sudah dijangkakan, Salva sangat terkejut melihat kedatangan Amba di hadapan istana Kerajaan Saubala. Namun begitu, punca bagi rasa terkejut itu tidak sama seperti yang dibayangkan oleh Amba.


Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/05/12/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-32/

No comments: