Tuesday, May 07, 2013

Mahabharata – Bahagian 30


“Saya memilih ketiga-tiga puteri.”

Balasan yang diberikan oleh Bhisma bergema dalam gegendang telinga ketiga-tiga puteri Raja Kaasi. Amba, Ambika dan Ambalika tertanya-tanya siapakah di antara mereka bertiga yang terpaksa menjadi isteri kepada putera Kerajaan Kuru dari Hastinapua itu.

“Tidak bolehkah kau memilih salah seorang sahaja daripada puteri beta?”

Demikian Raja Kaasi telah bertanya sebentar tadi tetapi Bhisma yang rambutnya sudah beruban tetap dengan pendiriannya. Malah, dia juga masih merahsiakan realiti bahawa dia sebenarnya menyertai swayamvaram (sayembara) itu sebagai proksi kepada adik tirinya, Vichitravirya.

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian mahu membawa pulang ketiga-tiga puteri ini ke istana di Hastinapura,” tegasnya.

Para pembesar yang berkumpul di perkarangan istana Raja Kaasi terus terpinga-pinga. Tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkan atau mempertikaikan keputusan dan pendirian Bhisma. Jika mereka membantah, mungkin mereka menjadi mangsa pedangnya.


Amba, Ambika dan Ambalika saling berpandangan dengan penuh tanda tanya. Mereka tidak setuju dengan keputusan Bhisma tetapi sekiranya mereka membantah, mungkin Bhisma akan menjadikan bantahan itu sebagai alasan untuk memulakan perang terhadap Kerajaan Kaasi.

Akhirnya, selepas segala rundingan gagal, Raja Kaasi memohon maaf kepada ketiga-tiga puterinya dan meminta mereka mengikut Bhisma ke istana Kerajaan Kuru di Hastinapura.

“Maafkan ayahanda. Entah kecelakaan apa yang melanda kerajaan kita sehingga swayamvaram yang sepatutnya menjadi arena untuk kamu bertiga memilih pasangan hidup bertukar menjadi medan kamu menjadi mangsa keadaan.”

Dipendekkan cerita, ketiga-tiga puteri berkenaan bersiap-sedia untuk mengikut Bhisma. Putera yang sudah tua tetapi masih gagah dan perkasa itu menyediakan kereta kuda khas untuk mereka.

Maka bermulalah perjalanan Amba, Ambika dan Ambalika menaiki kereta kuda dari Kerajaan Kaasi untuk dibawa ke istana di Hastinapura. Ketiga-tiga puteri itu tidak dapat mengawal air mata yang gugur mengenangkan nasib diri.

Tidak lama selepas mereka meninggalkan Kerajaan Kaasi, rombongan itu tiba-tiba diserang seorang lelaki yang menunggang kuda. Pemuda berkenaan tiba-tiba muncul di tengah jalan dan cuba menghalang perjalanan Bhisma.

“Siapakah kau?” Bhisma bertanya dengan berani seraya menghunus pedang.

“Saya Salva dari Kerajaan Saubala,” pemuda itu menjawab dengan tegas sambil memandang tepat ke wajah Bhisma.

Bhisma segera cam wajah pemuda berkenaan. Dia adalah salah seorang daripada putera yang mengambil bahagian dalam sayembara yang diadakan di perkarangan istana Raja Kaasi.

“Bukankah kau sudah tewas dalam pertarungan tadi? Jadi, mengapa pula kau melakukan serang hendap semasa saya dalam perjalanan membawa ketiga-tiga puteri ini pulang ke Hastinapura?”

Bhisma bersiap-sedia untuk berdepan dengan Putera Salva sekali lagi. Putera itu masih muda tetapi Bhisma jauh lebih gagah dan perkasa. Kalaulah pertarungan berlaku sekali lagi, peluang untuk Salva menang memang amat tipis.

Bhisma memandang ke arah kereta kuda yang menempatkan Amba, Ambika dan Ambalika. Ketiga-tiga mereka sedang memandang keluar untuk menyaksikan apa yang sedang berlaku.

Bhisma meneliti riak wajah ketiga-tiga puteri berkenaan. Perasaan risau paling nyata pada wajah Amba iaitu puteri sulung. Maka, Bhisma dapat mengagak bahawa ada hubungan antara Amba dan Salva.

“Biar saya teka,” kata Bhisma sambil tersenyum. “Kau adalah kekasih kepada Puteri Amba. Sebab itulah kau menyertai sayembara yang diadakan di istana Raja Kaasi.”

“Ya! Akan tetapi kau telah menewaskan kesemua putera yang mengambil bahagian dan mahu merampas ketiga-tiga puteri ini untuk dijadikan isteri.”

Bhisma ketawa lagi sambil menyembunyikan rahsia bahawa ketiga-tiga puteri itu sedang dibawa pulang bukan untuk dijadikan isterinya; tetapi isteri kepada adik tirinya yang masih muda.


Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/04/28/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-30/

No comments: