Pasangan kembar Hussain dan Hassan terus tekun mendengar kisah-kisah daripada epik Mahabharata yang diceritakan oleh datuk. Halaman demi halaman buku Razmnameh versi Parsi diselak sambil datuk bercerita kepada kedua-dua cucunya.
“Apakah Putera Vichitravirya akan mengahwini ketiga-tiga puteri itu?” Hassan bertanya dengan tidak sabar.
“Atau adakah Putera Salva dari Kerajaan Saubala akan berjaya membawa pulang Puteri Amba iaitu kekasihnya?” Hussain pula bertanya.
“Jangan terburu-buru. Biar kita sama-sama mengikuti kisah yang berlaku selepas Salva menahan Bhisma serta kereta kuda khas yang membawa Amba, Ambika dan Ambalika iaitu puteri kepada Raja Kaasi,” kata datuk sebelum meneruskan cerita.
Salva memujuk Bhisma supaya membenarkan Amba pergi bersama-samanya. Akan tetapi, cadangan dan pujuk-rayu itu tidak diendahkan oleh Bhisma. Memandangkan Bhisma menang dalam swayamvaram (sayembara) yang dianjurkan oleh Raja Kaasi, maka dia mahu membawa keiga-tiga puteri itu pulang ke istana Hastinapura.
Akhirnya, Bhisma mengajak Salva lawan pedang dengannya jika mahu mendapatkan Amba. Demi kerana cintanya serta tidak sanggup membiarkan kekasihnya dibawa pergi oleh Bhisma, maka Salva bersedia menerima tawaran itu.
Malangnya, Salva gagal mengatasi kehebatan Bhisma. Putera itu kalah bagi kali kedua pada hari yang sama. Amba yang duduk di dalam kereta kuda bersama-sama Ambika dan Ambalika hanya mampu mengalirkan air mata melihat kekasihnya tewas lagi.
“Aku sudah mengalahkan kau. Maka, hilanglah peluang kau untuk memiliki Amba. Jadi, sila pergi dari sini,” kata Bhisma dengan nafas tercungap-cungap.
Salva memandang sekilas ke arah Amba dengan penuh sayu. Kemudian putera itu menunggang kuda dan pergi dari situ. Bhisma pula meneruskan perjalanan ke Hastinapura. Ambika dan Ambalika berusaha meredakan tangisan kakak mereka sepanjang perjalanan.
Apabila tiba di istana Kerajaan Kuru, Bhisma diberikan sambutan hangat oleh orang ramai. Berita mengenai kejayaannya memenangi sayembara serta membawa pulang tiga puteri segera tersebar luas.
Adik tirinya, Vichitravirya, terasa amat terkejut dan hairan apabila Bhisma mempersembahkan tiga puteri untuk dijadikan isteri. Walau bagaimanapun, sebagai seorang putera yang berdarah muda, tentulah Vichitravirya terasa amat gembira dengan “hadiah” yang dibawa pulang oleh abang tirinya. Tambahan pula, dalam budaya keturunan Kuru, golongan raja memang mempunyai ramai isteri.
Vichitravirya tersenyum lebar sambil meneliti wajah dan tubuh ketiga-tiga puteri yang jelita itu. Ambika dan Ambalika hanya tertunduk kerana mereka sedar bahawa tidak ada apa-apa yang mampu mereka lakukan sekarang untuk mengubah sejarah dan nasib.
Sementara itu, Amba pula mula kembali teresak-esak. Matanya merah. Vichitravirya hairan dan sedikit terkejut melihat reaksi itu. Sepatutnya puteri itu berasa gembira kerana dapat menjadi permaisuri sulung berbanding dua orang adiknya.
“Kenapa kau menangis?”
Amba menceritakan secara terperinci punca kesedihannya. Vichitravirya mendengar dengan tenang sementara Bhisma pula hanya membisu. Amba menceritakan mengenai kekasihnya, Salva dan tentang pertarungan putera itu dengan Bhisma dalam perjalanan ke Hastinapura.
Vichitravirya terdiam seketika selepas Amba menghabiskan penceritaan. Putera muda itu termenung seketika. Kemudian dia memandang abang tirinya yang duduk di sisi.
“Saya amat menghargai usaha kekanda menyertai swayamvaram dengan niat mahu membawa pulang calon isteri untuk saya. Bukan hanya seorang, tetapi kekanda berjaya membawa pulang tiga puteri yang jelita,” kata Vichitravirya dengan suara tenang.
Bhisma memandang adik tirinya dengan kagum kerana ciri-ciri kepimpinan dan kematangan sudah semakin terserlah pada diri Vichitravirya.
“Saya bersedia untuk mengahwini Ambika dan Ambalika, tetapi saya tidak dapat menerima Amba,” kata putera itu.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/05/06/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-31/
No comments:
Post a Comment