Monday, March 25, 2013

Mahabharata – Bahagian 25


Devavrata terkedu mendengar kata-kata bapa Satyavati. Putera yang baru sahaja bersumpah untuk mengisytiharkan dirinya tidak lagi menjadi yuvaraja kerajaan keturunan Kuru di Hastinapura terkejut apabila berdepan dengan pertanyaan itu.

“Saya boleh percaya pada sumpah dan janji kau tetapi bagaimana pula dengan anak-anak kau pada masa hadapan? Sekarang kau masih bujang dan boleh berkata apa sahaja. Akan tetapi, bagaimana pula apabila kau sudah berumahtangga dan ada beberapa putera?”

Putera kepada Raja Santanu itu berdiri kaku kerana dia tidak pernah memikirkan persoalan seumpama itu seperti yang sedang dikemukakan oleh ketua komuniti nelayan.

“Saya boleh membenarkan kau membawa Satyavati pada saat ini untuk diserahkan kepada Raja Santanu sebagai isteri. Putera yang dilahirkannya nanti mungkin menjadi yuvaraja dan juga raja kerajaan ini. Cuma, saya bimbang memikirkan apa pula yang mungkin dilakukan oleh anak-anak kau pada masa hadapan,” kata bapa Satyavati lagi.

“Janganlah risau memikirkan perkara-perkara yang mustahil seperti itu,” Devavrata berkata dengan suara yang perlahan.

“Tidak perlu risau?” Bapa Satyavati berdiri bercekak pinggang. “Saya berfikir secara logik.

Walaupun saya hanya seorang nelayan, saya tahu serba sedikit mengenai politik dan apa-apa yang berlaku dalam kalangan pemerintah. Dalam perebutan kuasa antara pemimpin, pemerintah dan bangsawan, rakyat yang biasanya menjadi mangsa.”

Devavrata merenung wajah ketua komuniti nelayan yang berkata seperti itu.

“Sebagai seorang bapa dan bakal datuk, saya berhak untuk berasa bimbang memikirkan segala apa yang mungkin berlaku. Saya percaya pada sumpah kau untuk melepaskan jawatan yuvaraja tetapi aku tidak yakin bahawa putera-putera kau akan berdiam diri. Mereka pasti akan berusaha merampas kuasa apabila mendapat tahu bahawa bapa mereka sebenarnya pernah menjadi raja muda.”

Putera berkenaan tidak mampu berkata apa-apa. Pandangan serta kebimbangan yang diluahkan oleh bapa Satyavati memang benar. Devavrata boleh mengawal dirinya tetapi akan mampukah dia mengawal tindak-tanduk anak-anaknya pada masa hadapan? Kalau seorang pemimpin dipuji oleh rakyat kerana melakukan pelbagai kebaikan serta memiliki integriti yang tinggi, tidak bermakna anak-anaknya akan meneruskan legasi itu.

“Jadi, apa yang patut saya lakukan?”

Pertanyaan itu sebenarnya ditujukan oleh Devavrata kepada diri sendiri. Putera itu memejamkan mata dan berdoa meminta petunjuk Tuhan. Dia sedar bahawa dia berada di suatu persimpangan penting yang bakal mengubah sejarah serta masa depan diri dan kerajaan Kuru.

Sejurus selepas itu, bagaikan sudah mendapat petunjuk daripada Tuhan, Devavrata mengangkat tangan kanan dan mula berikrar.

“Saya berjanji dan bersumpah atas nama Tuhan bahawa saya akan kekal bujang dan tidak akan berkahwin sampai bila-bila. Saya tidak akan menjadi bapa kepada anak kandung atau kepada anak luar nikah. Ini adalah sumpah saya dengan disaksikan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa.”

Bapa Satyavati serta golongan nelayan yang berkumpul di rumah berkenaan terpegun dan kaku seketika. Mereka bagaikan tidak mampu mempercayai apa yang baru sahaja dilafazkan oleh Devavrata.

“Bhisma! Bhisma! Bhishma!”

Tiba-tiba sahaja laungan itu bergema di segenap ruang udara. Ternyata suara itu datang daripada para dewa di angkasa. Istilah “Bhishma” merujuk kepada individu yang membuat ikrar yang amat sukar dan memenuhi sumpah itu hingga akhir hayat.

“Oh! Dari situlah mucul nama Bhisma?” Hussain yang khusyuk mendengar cerita datuk tiba-tiba bersuara.

“Maknanya Devavrata, iaitu anak kepada Raja Santanu dan Dewi Gangga, kemudian dikenali sebagai Bhisma. Bukankah begitu, datuk?” Kembarnya, Hassan, juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya kepada datuk yang bercerita tentang epik Razmnameh, iaitu versi Parsi bagi Mahabharata.

Datuk hanya tersenyum dan membiarkan pasangan cucu kembarnya meluahkan rasa kagum sebelum beliau meneruskan pelbagai kisah yang kurang diketahui generasi muda.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/03/24/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-25/

No comments: