Devavrata segera pergi bertemu pemandu kereta kuda yang sering membawa Raja Santanu ke mana-mana tempat yang baginda ingin pergi.
“Saya rasa ada sesuatu yang amat mengganggu jiwa dan fikiran ayahanda. Baginda memberikan alasan bahawa saya sibuk dengan urusan ketenteraan dan beliau risau memikirkan keselamatan saya. Akan tetapi, pasti ada dilema lain yang menghantui jiwa ayahanda,” kata yuvaraja itu kepada si pemandu kereta kuda.
Maka lelaki itu pun menceritakanlah mengenai apa yang sebenarnya berlaku sekitar dua minggu lalu. Diceritakannya mengenai Satyavati yang ditemui Santanu di tebing Sungai Yamuna. Juga mengenai pertemuan raja keturunan Kuru yang memerintah Kerajaan Hastinapura itu dengan bapa Satyavati, iaitu ketua komuniti nelayan.
“Bapa Satyavati mempersoalkan apalah gunanya jika anak gadisnya menjadi permaisuri di Hastinapura jika anak-anak yang bakal dikandung dan dilahirkannya nanti tidak ada apa-apa peluang untuk menjadi waris pemerintah bagi kerajaan yang terkenal ini.”
Devavrata mendengar penceritaan pemandu kereta kuda itu dengan penuh minat. Raja muda itu kini memahami punca sebenar kemurungan dan perubahan sikap ayahnya. Terbukti bahawa Santanu dalam dilema; antara kasih kepada anak tunggal dan cinta kepada gadis bernama Satyavati.
Tanpa melengahkan masa, putera itu menunggang kuda menuju ke rumah Satyavati yang terletak tidak jauh dari Sungai Yamuna. Devavrata pergi tanpa pengetahuan Santanu.
“Selamat datang! Betapa komuniti nelayan di sini sangat bertuah. Sekitar dua minggu lalu, Raja Santanu datang ke rumah saya. Pada hari ini pula, yuvaraja sudi mencemar duli untuk datang,”
Bapa Satyavati mempersilakan dengan suara yang berbaur antara gembira dan sinis.
Selepas menikmati minuman yang dihidangkan oleh tuan rumah, Devavrata memulakan perbincangan tentang tujuan sebenar kedatangannya.
“Oh! Saya sangka selepas Raja Santanu tidak bersetuju dengan syarat yang saya tetapkan, mungkin raja muda datang untuk menyatakan hasrat memperisterikan anak gadis saya,” kata lelaki itu sebelum ketawa besar.
Devavrata tertunduk seketika. Satyavati pula sedang berdiri di belakang daun pintu, sama seperti semasa Santanu datang ke rumahnya sekitar dua minggu lalu. Sekumpulan nelayan yang tinggal berdekatan juga sudah datang sebaik mendapat berita mengenai kedatangan yuvaraja.
“Saya datang mewakili ayananda saya, Raja Santanu, untuk meminta kebenaran daripada tuan selaku ketua komuniti nelayan dan bapa kepada Satyavati. Raja Santanu berhajat mengahwini Satyavati dan menjadikannya permaisuri di Hastinapura,” Devavrata menceritakan dengan tenang.
“Ya, saya faham. Raja Santanu sendiri sudah datang membincangkan perkara ini sekitar dua minggu lalu. Tidakkah baginda menceritakan apa yang berlaku?” Ketua komuniti nelayan itu juga mula sedikit serius dalam percakapannya.
“Saya faham masalah yang timbul,” kata Devavrata tanpa mendedahkan bahawa kisah sebenar hanya diketahui daripada si pemandu kereta kuda.
“Kalau begitu, tidak perlulah saya mengulangi permintaan serta kemusykilan saya. Saya tidak mahu anak gadis kesayangan saya menjadi permaisuri tetapi anak yang bakal dilahirkannya langsung tiada peluang menjadi pemerintah kerana yuvaraja atau raja muda sudah pun dilantik dan ditabalkan,” lelaki itu berterus-terang.
Devavrata mengangguk-angguk kecil. Perkara itu memang sudah difikirkannya secara mendalam sepanjang perjalanan dari istana menuju ke rumah Satyavati.
“Saya memahami bahawa itulah impian setiap wanita yang berpeluang menjadi isteri kepada seorang raja, iaitu untuk melihat putera yang dilahirkannya membesar menjadi pemerintah kerajaan berkenaan,” raja muda itu berkata dengan tenang.
“Tapi malangnya Satyavati tidak boleh menyimpan impian seperti itu …,” kata si bapa sambil mencebikkan bibir.
“Janganlah tuan risau lagi memikirkan perkara itu. Saya sudah memikirkan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah yang wujud.”
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/03/10/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-23/
No comments:
Post a Comment