Monday, March 25, 2013

Mahabharata – Bahagian 24


Devavrata sedar bahawa kedudukannya sebagai yuvaraja (raja muda) menjadi penghalang utama dalam merealisasikan impian ayahnya, Raja Santanu untuk memperisterikan Satyavati, anak gadis ketua komuniti nelayan.

“Tujuan kedatangan saya adalah secara tidak langsung untuk melamar anak tuan untuk dijadikan isteri kepada ayahanda saya. Satyavati bakal menjadi permaisuri kerajaan keturunan Kuru di Hastinapura,” putera itu mengulangi bagi menegaskan tujuan kedatangannya.

“Syarat dan permintaan saya adalah sama seperti yang sudah saya nyatakan kepada ayah kamu,” ketua kumpulan nelayan itu juga tidak mahu mengalah.

“Tidak perlulah tuan risau memikirkan soal itu. Saya sudah pun membuat keputusan untuk melepaskan jawatan saya sebagai yuvaraja.”

Beberapa nelayan yang turut berada di rumah Satyavati pada waktu itu mula berpandangan sambil berbisik-bisik. Satyavati yang berdiri di belakang daun pintu juga menjenguk keluar bagi memastikan Devavrata serius dalam membuat kenyataan itu.

“Maksud kau?” Ketua komuniti nelayan mengerutkan kening.

“Usahlah tuan risau. Saya sudah memikirkan soal ini sepenuhnya. Dahulu, saya membesar bersama-sama ibu saya, Dewi Gangga tanpa ada sebarang ikatan dengan Kerajaan Kuru. Saya menerima jawatan yuvaraja semata-mata kerana ayhanda tidak ada putera lain.”

Bapa Satyavati merenung wajah Devavrata tanpa kata. Lelaki itu bagaikan masih tidak dapat mempercayai apa yang sedang diperkatakan oleh putera berkenaan.

“Dengan ini, sambil disaksikan para nelayan yang berkumpul beramai-ramai di rumah tuan, saya berjanji dan bersumpah bahawa saya akan segera melepaskan hak serta jawatan sebagai raja muda. Saya juga memberi jaminan bahawa cucu tuan, iaitu putera sulung yang bakal dilahirkan oleh Satyavati, akan dinobatkan sebagai yuvaraja.”

Para nelayan yang berkumpul tersenyum gembira sambil berpandangan. Mereka sudah dapat membayangkan bahawa Satyavati bakal menjadi permaisuri dan puteranya pula suatu hari nanti akan ditabakan sebagai raja muda.

“Saya harap tuan berpuas hati dengan jaminan ini,” kata Devavrata sejurus kemudian apabila menyedari bahawa bapa Satyavati tidak menyatakan sebarang bantahan mahu pun persetujuan.
Ketua komuniti nelayan itu berpaling memandang ke arah anak gadisnya. Kemudian matanya melayari para nelayan yang kelihatan begitu ceria dan bersemangat. Cahaya harapan terpancar pada wajah mereka.

Namun begitu, apabila lelaki tua itu memandang Devavrata, putera berkenaan dapat merasakan bahawa masih ada sesuatu yang tidak kena. Masih ada sesuatu yang mengganggu fikiran bapa Satyavati.

“Saya menghargai ketulusan dan keikhlasan kau dalam memberikan jaminan itu. Akan tetapi, apakah ayah kau iaitu Raja Santanu akan bersetuju? Dua minggu lalu, baginda pergi begitu sahaja meninggalkan rumah ini kerana tidak bersetuju dengan syarat yang diletakkan,” bapa Satyavati mengingatkan.

“Saya tidak pasti mengapa ayahanda berbuat demikian. Mungkin kerana ayahanda terkejut dengan permintaan dan cadangan yang tuan kemukakan. Bagaimanapun, saya memberi jaminan bahawa masalah itu boleh dianggap sudah selesai. Saya sudah pun bersumpah untuk segera melepaskan jawatan yuvaraja. Izinkanlah saya membawa Satyavati ke istana untuk dipersembahkan kepada ayahanda sebagai isterinya.”

Lelaki tua itu mengangguk perlahan-lahan. Kemudian secara perlahan-lahan juga berdiri dan mula berjalan ke arah Satyavati.

“Saya sedia untuk percaya pada sumpah yang kau lafazkan. Saya sedia mengizinkan kau membawa Satyavati ke istana untuk disatukan dengan Raja Santanu. Saya faham bahawa kau akan membenarkan putera yang dilahirkan oleh Satyavati dinobatkan sebagai yuvaraja,” kata ketua komuniti nelayan sambil memegang tangan Satyavati dan matanya memandang tepat ke wajah Devavrata.

Putera berkenaan menghampiri mereka dan bersedia untuk membawa Satyavati pulang ke istana. Pada waktu itulah lelaki tua terbabit mengemukakan satu lagi pertanyaan.

“Tapi apakah jaminan bahawa anak-anak kau tidak akan tampil pada masa hadapan untuk menuntut hak mereka sebagai yuvaraja dan waris kepada kerajaan Raja Santanu?”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/03/17/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-24/

No comments: